Arkib untuk November 5, 2009

Hari Kanak-Kanak

Posted in Buah Fikiran, Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on November 5, 2009 by syirfan
1 358
Syahmi, Syahmina, Syamil

Secara jujurnya saya tak tahu pun bila sambutan Hari Kanak-Kanak. Bila Syahmi dan Syahmina menunjukkan surat dari pihak sekolah tentang sambutan hari kanak-kanak yang akan dilaksanakan jumaat ini di sekolah mereka,  baru saya sedar bahawa sambutan ini telah lama saya ditinggalkan…

Hari Kanak-kanak Antarabangsa  diraikan biasanya pada 1 Jun setiap tahun. Tidaklah jelas mengapa 1 Jun ditetapkan sebagai Hari Kanak-kanak Antarabangsa. Sejak 14 Disember 1954, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNESCO menetapkan 20 November sebagai hari kanak-kanak sedunia. Namun begitu sambutan ini berbeza tarikh antara negara-negara yang menghidupkan sambutan kanak-kanak ini. Saya pun tak pasti kenapa sekolah Syahmi dan Syahmina melaksanakannya pada jumaat ini.

1 012

Namun, yang sedikit memukul pemikiran saya adalah beza zaman kanak-kanak saya dengan anak saya sendiri – Syahmi, Syahmina dan Syamil.

Tidak boleh dinafikan bahawa masa telah membawa beza yang besar antara zaman kanak-kanak yang dilalui oleh kita dan anak-anak kita. Kadang-kadang wajar kita simpati pada mereka…

syamil

Kita mahukan anak-anak kita dewasa lebih awal. Kita mahu dia lebih pandai, lebih matang, lebih genius, lebih berketrampilan, lebih berjaya, lebih segalanya. Kita paksa mereka untuk segera meninggalkan zaman kanak-kanak. Kita paksa mereka untuk dewasa. Dari satu sudut, adakah itu yang mereka mahu…

anak-anak

Saya sangat yakin bahawa anak-anak saya akan banyak terlepas kenikmatan zaman kanak-kanak yang saya lalui. Saya tahu anak-anak saya tidak akan berpeluang untuk main dalam parit, mencuri tebu, letupkan katak dengan mercun, main meriam buluh, kutip buah getah, bersembunyi dalam lalang, mandi atas atap rumah waktu hujan,  baling sarang lebah, berguling dalam lopak air, main dari awal pagi sampai malam serta macam-macam aktiviti lagi yang pastinya mengundang kemarahan ibu dan ayah saya. Satu mungkin saya tak beri kebenaran dan satu lagi mungkin kawasan itu telah tiada. Kemajuan memang telah mengasingkan…

Anak saya kini lebih selesa mandi di kolam renang dan menonton kartun di televisyen, CD atau di youtube. Anak saya lebih suka bermain game di internet dan bercakap benda-benda yang memang saya tak tahu pada umur sebaya dengan mereka. Syahmi boleh bercerita pasal angkasawan negara dan bagaimana roket boleh memasuki ruang angkasa walaupun kadang-kadang ditambah dengan cerita keupayaan Ultraman dan Power Rangers di angkasa. Syahmi tahu bahawa bulan ada 1 dan bagaimana kita boleh melihat bulan dari kawasan yang berbeza. Sumpah, pada waktu sekolah rendah, saya rasa bulan ada seribu. Pada umur 5 tahun syahmi dah bercakap pasal awek. Saya pada umur 10 tahun masih mandi bogel di sungai!

syahmi syamina

Syahmina yang berumur 4 tahun sudah bercakap pasal diet dan dia tahu bahawa perempuan tidak akan nampak cantik jika bertubuh besar. Mereka sudah bercakap tentang cita-cita untuk jadi doktor pakar bedah. Saya pada umur 12 tahun hanya mampu bercita-cita nak jadi polis. Hampir satu kelas nak jadi polis atau tentera. Hanya ada seorang yang bercita-cita hendak jadi penoreh getah dan seorang hendak jadi kereta! Bayangkan betapa jauh beza pemikiran itu.

Hari ini saya mahu menilai semula beza ruang itu dan mahu memberi peluang kepada anak-anak saya untuk merasai nikmat zaman kanak-kanak itu. Saya mahu dia dewasa dengan membawa cerita-cerita yang gembira walaupun kadang-kadang sakit kerana di rotan.

mina dan syamil

Adakah itu tindakan yang wajar?

Untuk semua anak-anak yang sedang menikmati zaman kanak-kanak itu – Selamat Hari Kanak-Kanak.