Arkib untuk Kategori Dokumentari : Rosli Dhobi

Rosli Dhoby muncul di Singapura!

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on November 12, 2009 by syirfan

rosli-dhoby-di-tangkap-british-update

Dalam kerunsingan hati saya yang kian berdebar dek Suatu Ketika – Puteri Gunung Ledang dan Suatu Ketika – Sybil Karthigesu yang kian menghimpit masa, SMS yang saya terima awal pagi tadi membuat saya tersentuh dan pastinya tersenyum puas.

Tidak ada ayat yang mampu merakam rasa itu. Semua wajah yang pernah hadir untuk merealisasikan Suatu Ketika – Rosli Dhoby terbayang di mata. Terima kasih semua kerana sudi berkongsi susah dan lelah. Rasanya apa yang kita dapat hari ini cukup untuk membalas segala kesusahan itu.

Saya secara peribadi ingin berkongsi rasa gembira ini apabila Suatu Ketika – Rosli Dhoby di pilih menjadi finalis Asian Televisyen Award 2009 (ATA 2009) untuk kategori Best Cross- Platform Content. Suatu Ketika – Rosli Dhoby akan bersaing dengan BitWorld-Two Rooms: The Past and Present (NHK Japan), Live & Loaded (Mediacorp, Singapura) , As The Bell Rings (The Walt Disney, Singapura) , Hip Korea – Rain ( Discovery Asia, Singapura) dan First Class (mediacorp, Singapura).

Turut berkongsi gembira itu pastinya  Drama – Warkah Terakhir yang turut menjadi finalis Best Drama Series.

ATA 2009 akan berlangsung di  Singapura pada 3 Disember ini. Menang atau tidak sudah tidak menjadi keutamaan saya ketika ini. Saya hanya mahu merasai rasa ini… Rasa yang mustahil saya impikan pada tika pertama treatment yang saya siapkan untuk Rosli Dhoby ditolak!

Sekadar terfikir jika karya ini menang di Singapura, ia pasti satu yang agak unik… Adalah kita semua lupa bahawa Rosli Dhoby digantung hingga mati oleh seorang sang algojo yang dibawa khas dari Singapura!

Maklumat lanjut tentang ATA 2009 boleh diperolehi di sini.

Rosli Dhoby kembali hidup…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on September 2, 2009 by syirfan

Rosli Dhoby kembali hidup…

9416_1126697087952_1242912409_30366998_4698716_n

Kali ini hidup bukan lagi dalam kepercayaan keluarga terdekat sahaja, tetapi hidup mekar dalam ingatan masyarakat yang mengetahui suatu masa dahulu pernah lahir seorang pejuang bernama Rosli Dhoby.

Gambar diatas adalah tugasan yang sedang dilaksanakan oleh seorang pelajar Unimas (Farah Othman) dengan judul Final Year Project Edition~ Chronological History of Rosli Dhoby”. Saya tak sabar menanti hasilnya.

Sebuah galeri sejarah memperingati Rosli Dhoby juga sedang giat dilaksanakan oleh seorang guru (Suhana Sarkawi) di Kuching. Sekali lagi saya kian teruja.

Bukan untuk berbangga, tapi saya mula faham bahawa apa yang tersiar di kaca  televisyen boleh mengubah sejarah sebuah negara, sebuah bangsa serta mengubah persepsi yang mungkin telah terjajah sekian lama jika ia dilaksanakan dengan betul.

Penggiat media punya kuasa istimewa untuk menentukan kemana alur pemikiran wajar mengalir. Namun, jika salah arahnya, bisa rosak satu negara…

Sejarah akan terus bersuara dan membantu kita… percayalah…

* Untuk Farah dan Cikgu Suhana- selamat menghadam sejarah!

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi on Julai 31, 2009 by syirfan

 Sekadar berkongsi gembira… Sudilah menonton..

 

“Rosli Dhoby” bawa pulang piala…

Posted in Buah Fikiran, Dokumentari, Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 30, 2009 by syirfan

Festival Dokumentari Malaysia 2009 membawa makna baru… 94 dokumentari bertanding dalam gelanggang..

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh tiba-tiba menjadikan aku ketar dalam malam anugerah tersebut. Tak lalu makan, serta tak selesa.

Aku benar-benat terperanjat apabila Rosli Dhoby dicalonkan dalam 6 kategori dari 10 kategori keseluruhan. Benar. Saya benar-benar takut. Antara memang atau tidak dan jadi isu nombor dua. Saya benar-benar takut dengan pencapaian ini. Rosli Dhoby merupakan dokumentari yang dicalonkan paling banyak kategori.

Bermula dengan Skor Muzik terbaik  dan Suntingan terbaik. Kredit ini sepenuhnya wajar diberikan pada Zaidi (editor dan penolong pengarah) yang tanpa jemu membuat kajian dan ujian. Gagal, gagal dan gagal. Akhirnya, Rosli Dhoby bersiaran dengan penuh emosi pasca sentuhan muzik dan suntingannya.

Rosli Dhoby juga dicalonkan dalam Sinematrografi terbaik. Wajah-wajah krew yang terlibat dalam penggambaran muncul satu persatu dalam kotak ingatan. Masih aku ingat basah peluh mereka melayan kerenah aku yang mahu memulakan pengambaran seawal pagi hingga santak azan subuh. Masih aku ingat lagi Intan yang terjelepok tidur di tangga keletihan.

Rosli Dhoby turut tercalon dalam kategori Skrip terbaik. Ini mungkin pencapaian tertingggi aku. Lebih menakutkan dalam kategori skrip terbaik, skrip Alexander Bukan Zulkarnain juga dicalonkan. Dari 5 pencalonan, aku pegang 2 pencalonan. Ia sememangnya saat aku mengingati wajah-wajah mereka yang tanpa jemu mengajar dan memberi sentuhan ajaib tentang makna sebuah penulisan skrip. Dari RTM yang mengajar aku menulis hingga Astro yang menajamkan lagi pena aku – semuanya buat aku sebak. Rasanya baru semalam skrip aku di tong sampahkan… Kredit untuk skrip Rosli dhoby ini wajar aku serahkan pada Jaya dari Astro yang sangat-sangat keras untuk menjadikan Rosli Dhoby sebuah karya istimewa.

Pengarah terbaik dan Dokumentari Ilmiah terbaik menjadi cagaran seterusnya. Untuk semua ini, kredit aku serahkan pada Aman (penyelidik dan Penolong Penerbit) yang tak pernah mengecewakan dalam kajianya serta Intan (Penolong Penebit) yang sentiasa mengiakan setiap arahan. Terima kasih juga pada Abang Bol Hassan (anak saudara Rosli Dhoby) yang tak pernah berkata “tidak” pada saya. Terima kasih pada semua kawan-kawan di FM Production yang memberi ruang kepada karya ini. Terima kasih pada tenaga kerja di Astro yang mengizinkan Rosli dhoby bersuara.

Pada penghujungnya, “Rosli Dhoby” tersenyum kerana memenagi anugerah Dokumentari Ilmiah Terbaik serta menjadi salah satu dari 4 dokumentari yang bakal merebut anugerah Dokumentari terbaik Malaysia di Festival Filem Malaysia awal bulan hadapan.

Bila sang wartawan bertanya pada aku sebaik sahaja memenangi anugerah ini tentang perasaan dan harapan peribadi untuk memenangi dokumentari terbaik Malaysia awal bulan depan, aku dengan yakin berkata “dengan anugerah Doku Ilmiah terbaik, dicalonkan dalam 6 kategori serta saya dikelilingi oleh kawan-kawan yang pasti bersama dan menyokong saya dalam penerbitan yang lain, saya sudah menang. saya tak perlu berharap lagi. masa depan masih jauh. Anugerah ini hanya sebuah permulaan kecil. Doalah masa depan yang lebih cerah…”

Aku rasa, makam pahlawan di Sibu wangi malam tadi…

Rosli, Alexander Masuk Gelanggang…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 29, 2009 by syirfan

Alexander Bukan Zulkarnain mula bersiaran awal tahun ini selepas lebih dari setahun dalam pembikinan. Ia satu permulaan kepada karya dokumentari ilmiah antarabangsa hasil dari sentuhan anak tempatan. Bukti bahawa anak tempatan juga berani mempertikaikan sejarah demi kefahaman sejagat.

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh baru sahaja bersiaran. Sebuah karya sejarah yang dipersembahkan dengan gaya yang agak kontemporari. Karya yang mempertikaikan fakta yang menyatakan Rosli Dhoby adalah pembunuh dan dalam masa yang sama mengangkat Rosli sebagai ikon kepada konsep perjuangan demi kemerdekaan.

Malam ini, kedua-dua karya ini masuk gelanggang. Gelanggang untuk penilaian.

Adakah mungkin Alexander atau Rosli membawa pulang gelaran Dokumentari Terbaik atau sekadar penghias majlis..

Tunggu semuanya dalam MALAM ANUGERAH FESTIVAL DOKUMENTARI 2009, malam ini di FINAS.

Rosli Dhoby : Cerita Penerbit 9

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on Jun 21, 2009 by syirfan

Salam perjuangan…

Lama betul saya tidak menjengah blog ini. Kesulitan untuk mendapatkan layaran internet yang baik serta tekanan kerja yang mencengkam menjarakkan saya dengan Magnum Opus,  Rosli Dhoby ; Pejuang atau Pembunuh. Ia benar terjarak dari sudut geografi kerana saya sekarang lelah di kota Cairo untuk menyiapkan satu lagi tugasan untuk siaran Ramadhan tahun ini.

Namun Rosli Dhoby sangat sebati dengan saya. Saya sentiasa ternanti-nanti dan sentiasa teruja dengan komen dan nasihat yang semua sampaikan dari pelbagai medium.

Ada juga yang terkeliru antara tugasan saya dan Wan Hasliza. Saya sebenarnya terlibat dalam penerbitan dokumenteri manakala Wan Hasliza terlibat dalam penerbitan drama. Kami berkongsi idea. Saya menterjemah Rosli Dhoby untuk pemahaman sejarah dan impaknya kepada sejarah yang telah lama dilupakan, Wan Hasliza menterjemah karya itu untuk pengzahiran sejarah dari sudut kreatif  dan memungkinkan wajah sejarah itu divisualkan dengan sebaik mungkin.

Sehingga kini, saya masih tidak berpeluang untuk melihat karya saya atau Wan Hasliza di kaca televisyen lagi kerana saya telah pun ke luar negara pada tika ia ditayangkan di Malaysia. Saya sangat yakin Wan Hasliza telah memberi sebuah drama yang cukup istimewa hingga ada yang menyatakan ia lebih cantik dai PGL. hehe

Harap ada yang merakam setiap siri warkah Terakhir. Bolehlah saya menontonnya kemudiaan hari.

Harap anda semua akan terus memberi sokongan kepada penghasilan karya-karya sebegini. Saya secara jujur menghargai setiap komen yang anda berikan.. Terima kasih daun keladi.

Salam dari Dewan Malaysia Abbasiah, Mesir.

Rosli Dhoby : Cerita Penerbit 8

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi on Jun 10, 2009 by syirfan

Syukur…

Nampaknya dokumentari ini bawa sinar baru. Saya dihujani dengan mesej dan komen di blog ini. Tak sempat lagi saya hendak mejawap kerana tekanan internet yang sangat mengecewakan.

Namun, jauh di sudut hati, saya mengingati setiaap kata yang dilemparkan. Bila saya mendapat tempat yang baik untuk berinternet, saya akan mebalas mesej2 yang diberikan.

salam perjuangan. Moga apa yang dihajati oleh Rosli Dhoby tersempurna sudah…

 

salam dari hadramaut

Rosli Dhoby : Cerita Penerbit 7

Posted in Dokumentari : Madrasah, Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on Jun 5, 2009 by syirfan

Salam dari Hadramaut,

Dokumentari Rosli Dhoby nampaknya membuat blog saya dikunjungi tanpa henti. Syukur, saya rasa kesan dari drama Rosli Dhoby dan promo tak henti. syukur.

Saya dan editor kesayangan saya (zaidi) nampaknya tak berpeluang untuk menonton 7 jun ini. Kami sekarang terperangkap dalam gunung batu dan rumah tanah – Hadramaut Yaman. Kami dalam proses menyiapkan rancangan untuk ramadhan nati.

Moga semuanya gembira dan puas. Kami menanti komen dengan penuh besar hati.

Beransur dulu, internet di sini sangatlah mengecewakan. Untuk entry ini sahaja saya sudah mengambil masa 2 jam.

Salam, bye.

Rosli Dhoby : Cerita Penerbit 6

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on Jun 2, 2009 by syirfan

Salam…

Saya dikejutkan dengan hit yang tinggi hari ini. Hit paling banyak merujuk kepada dokumentari Rosli Dhoby. Saya juga banyak menerima komen-komen yang membuat saya rasa sangat berbaloi dengan kesusahan merealisasikan dokumentari ini.

Dalam dokumentari ini, saya mulakan dengan satu perkataan penting – Merdeka. Saya juga akhirkan dengan satu perkataan yang masih penting  – Merdeka. Dari kacamata pembikin dokumnetari, ini digelar dokumentari 360 darjah. Memberi harapan dan akhirnya membuktikannya.

Namun pada saya, ia adalah garapan sejarah. Satu titik yang membawa kita dalam satu barisan. Tanpa titik, tidak ada barisan untuk yang kita perolehi hari ini. Tanpa titik itu, tiada ada makna keamanan dan kejayaan. Mungkin tiada makna kehidupan. Harap selepas tanyangan ini, makna pada kemerdekaan boleh digarap lebih telus dan lebih jujur. Biar bila kita berkata -saya anak Malaysia, kita menyebutnya dengan bangga.

Kembali kepada Rosli Dhoby. Salah satu kejutan yang saya bawa dalam dokumentari ini berkait dengan persoalan – adakah Rosli Dhoby mati dihukum gantung. Jika beliau mati dengan cara demikian, dimana tulangnya. Ini berlaku ketika proses pemindahan kubur Rosli.  Mereka gagal mencari tulang, tengkorak dan seumpamanya.

Dimana Rosli Dhoby sebenarnya? Adakah dia masih hidup?

Nantikan kemunculannya 7 julai ini di Astro Prima!

Pembetulan – 7 Jun. (maaf Lin.. hehehe)

Rosli Dhoby : Cerita Penerbit 5

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on Mei 31, 2009 by syirfan

Bila kita mengucapkan ” Aku sayang kamu atau aku cinta kamu…”. sejauh mana atau sedalam mana makna pada bait kata yang diucapkan?.

Adakah maknanya “cinta”?

Untungnya aku bila  cuba mendokumentasikan Rosli Dhoby, aku ketemu satu elemen ‘cinta’ yang  boleh dikatakan tuntas. Inilah yang menzahirkan makna ” Aku sayang kamu atau aku cinta kamu…” secukupnya.

Rosli Dhoby yang kita ketahui meninggal dunia pada umur 17 tahun. Dialah pejuang paling muda di Sarawak. Namun, dia juga manusia biasa. Dia juga jatuh cinta.

Cintanya berbalas. Wanita itu diberi nama Ani bt Ali. Cinta mereka diranumkan dengan surat dan jelingan. Namun, ia cukup bermakna.

Apabila Rosli Dhoby ditangkap dan dihukum gantung sampai mati, Ani Ali masih terlalu muda waktu itu. Namun hatinya hanya pada Rosli.

Itu yang dia pilih. Itu yang dia cinta. Hanya seorang, tiada lain.

Buktinya….

IMG_3163

sehingga kini, Ani bt Ali masih belum berkahwin… Adakah itu tandanya ‘cinta’?

Aku sangat bernasib baik kerana dipermudahkan untuk bertemu, bercerita dan menganalisis rasa Ani Ali atau kini dikenali sebagai Hajah Ani Ali.

Ini adalah pendedahan pertama di televisyen Malaysia! Cerita sejarah dari watak yang masih hidup tentang Rosli Dhoby.

Nantikan rentetan kisah cinta seorang pejuang muda di Astro Prima – 7 Julai ini…