Arkib untuk Jun, 2008

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-11

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 27, 2008 by syirfan

Hari ke-11 yang lesu. Pagi yang sejuk namun kami keluar juga mencari sarapan… Hari ini hari akhir di Mesir. Petang nanti kami akan terbang ke Yaman untuk meneruskan kembara mencari Zulkarnain, lelaki yang disebut dalam surah Al-Khafi.

” Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”. Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

Surah Al-Kahfi: ayat 83-92

Siapakah lelaki yang sangat istimewa ini?

Kami yang datang berempat (Aku, Bro Akmal, Zamani dan Farez) dari Greece ke Mesir tetapi akan bertiga ke Yaman. Zamani akan balik terus ke Malaysia awal pagi nanti. Di Yaman nanti kami akan menunggu ketibaan Bro Joe yang terbang dari Malaysia. Senario ini berlaku kerana Zamani hanya akan melakukan penggambaran di Greece, Mesir dan Rusia.

Kami tak memasuki Rusia dalam kembara ini kerana aku pernah sampai di kawasan tersebut hujung tahun 2007. Lokasi tembok Alexander iaitu di Derbent, Dagestan telah aku lawati dan sudah tahu bagaimana ceritanya. Untuk bab Rusia ini nanti aku catatkan dalam blog ini. Bro Joe pula akan membuat penggambaran di Yamen, Iran, Uzbekistan dan India. Untuk kembara kali ini pun kami tidak akan memasuki Uzbekistan kerana ramai kawan-kawan di ofis telah menjejak kaki ke sana.

Petang itu dengan pesawat IY 603, Yemen Airways kami terbang ke bumi yang menyimpan rahsia cinta Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Meninggalkan Alexander The Great yang sangat kami yakini bahawa dia bukanlah Zulkarnain yang dicari…

 

8.00 malam kami tiba di Lapangan Terbang Sanaa, Yaman. Usai segala urusan pasport dan bagasi kami ke ruang ketibaan. Degup jantung kami bertiga tiba-tiba menjadi laju. Guide kami,  Firdaus a.k.a Kurt tidak kelihatan. Lama juga kami menunggu. Handphone pula tidak boleh digunakan. Hati berdebar. hendak menggunakan telefon awam, kami hanya ada Euro.

Untuk menukar ke matawang Yaman kami harus berpusing semula ke ruang pengurusan visa. Pengawal yang bersenjata di situ melarang kami untuk masuk semula. Walaupun Farez boleh berbahasa arab namun bahasa arab Yaman sungguh berbeza. Kami menjenguk ke luar lapangan terbang. Gelap dan sangat menakutkan. Manakan tidak, kami melihat kebanyakan orang-orang Yaman mempunyai sejenis senjata terselit di pinggang mereka. Letaknya hampir seperti keris tetapi senjata itu melengkung sedikit. Oh sudah, negara apa pula ini!

Peluh sudah mula menitik di dahi. Guide kami masih tidak kelihatan. Bro Akmal dan Farez akhirnya berjaya menyakinkan pengawal bersenjata itu untuk masuk sebentar di ruangan pengurusan untuk menukar wang. Itu pun setelah berjanji untuk memberi sedikit duit kopi. Peh, rasuah memang milik sejagat.

Aku menunggu di luar. Hati semakin risau. Lebih merisaukan melihat senjata yang diselit di pinggang. Hampir semua mempunyai senjata itu. Lebih menakutkan, senjata api juga dibawa bagai membawa payung. Oh sudah…

Akmal dan Farez kembali dengan matawang rial Yaman. Cuba membuat panggilan, gagal. Hati kian kuat bergetar. Mana nak pergi malam-malam ni…

Waktu itulah kami mendengar suara ” Abang… abang… abang Syirfan, abang Akmal….” Peh, nasib baik. Kurt dan Bob datang sambil berlari-lari. Cepat mereka menghulur tangan meminta maaf. Kesesakan lalulintas katanya. Tak mengapalah, yang penting mereka dah sampai…

Tidak menunggu lama terus ke hotel. Hadramaut Hotel. Hotel yang dipilih Kurt memang tidak mengecewakan. Sebuah bilik besar dengan 2 katil kecil dan 1 katil besar serta sofa yang boleh memuatkan 2 orang lagi untuk tidur. Sangat memuaskan dan sangat murah.

“Jom makan.. makan ikan siakap stim nak?” Apa? siakap stim di Yaman. Biar betul budak Kurt nie.

Memang ada siakap stim di Yaman. lebih menarik lagi dimasak oleh orang Malaysia. Lebih mengasyikan lagi restoren ini memang milik orang Malaysia. Lebih memeranjatkan, restoran tertutup ini hanya boleh dimasuki oleh orang Malaysia. Bertanya juga kenapa tak buka restoran ini untuk umum. Mesti lebih banyak pelanggang.

“Tak boleh, orang arab Yaman suka buat kacau..” ujar pengusaha restoran dari Sabah ini.

Restoran ini memang dipenuhi oleh pelajar-pelajar Malaysia. Selain berbincang, main ping-pong, chess dan pastinya mendengar ceramah politik. heheh. Biarlah. Asal mereka selamat disini.

Malam itu, aku tidur awal. Tidur dalam kesejukan di Yaman. Mengenang Himyar, mengenang Saba. Esok aku cerita tentang dua empayar Islam ini. Aku dah sampai Yaman. Kalau cikgu sejarah aku tahu, mesti dia bangga punya… hehehe

Advertisements

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-10 (MENGENANG CLEOPATRA)

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 26, 2008 by syirfan

Sekadar mengenang ….

Dia perempuan yang penuh teka-teki, penuh muslihat dan dikenali sebagai perempuan paling merbahaya dalam sejarah. Dialah Cleopatra (69 SM-30 SM).

Propaganda barat banyak meletakkan Cleopatra sebagai perempuan muda yang sukakan keraian dan gilakan lelaki-lelaki yang berkuasa. Antara lelaki penguasa yang pernah tewas ialah Julius Caesar dan Marcus Antonius. Namun bukti di Mesir membuktikan sebaliknya.

Cleopatra Ptolemy VII mempunyai cita-cita yang tinggi. Beliau impian sebuah negara dunia dan beliau adalah ratunya.

Cleoptara mempunyai keinginan untuk mengembalikan visi Hellenistik (gabungan Timur dan Barat) walaupun pada masa itu kekuasaan Rom semakin hebat dan empayarnya semakin kecil. Kehadiran Julius Caesar ke Mesir untuk menuntut hutang lama digunakan sebaiknya oleh Cleopatra. Ini kerana beliau sedang bermusuhan dengan adiknya Ptolemy XIII.

Tidak diketahu bagaimana Julius Caesar yang dikenali sebagai pemikir yang hebat boleh kalah dalam pelukan Cleopatra. Julius Caesar yang kemudiannya kembali ke Rom meninggalkan Cleopatra untuk memerintah Mesir bersama Ptolemy XIII. Perlu diketahui, pada masa itu Cleopatra mengandung anak Julius Caesar.

Apabila Cleopatra bersama anaknya itu datang ke Rom, Julius Caesar sangat gembira. Buktinya Julius Caesar meletakkan patung Cleopatra dalam kuil dan disembah bagaikan dewi. Dikatakan Cleopatra dan Julius Caesar sudah merancang untuk menggabungkan Mesir dan Rom dibawah memerintahan mereka. Hal ini akhirnya membawa kepada kematian Julius Caesar di dewan Senat.

Cleopatra kecewa dan kembali ke Mesir.

Kehadiran Marcus Antonius yang meminta bantuan untuk menyerang Parsi sekali lagi dilihat sebagai peluang untuk menguasai dunia. Hubungan itu mengzahirkan 3 orang anak. terdapat satu petikan menarik daripada Plutarch (penulis Yunani) :

Ketika Marc Antony sedang memancing ikan dan Cleopatra memerhatikan Marc Antony mengail jorannya dengan ikan kering. Marc Antony menarik Cleopatra dan Cleopatra menyindirnya, “Awak tak sepatutnya memancing sampah ini. Awak sepatutnya memancing jajahan dan empayar!”.

Konflik besar mula berlaku apabila Octivius mula menyedari bahawa Rom dan Mesir kini berada dalam kawalan Cleopatra dan Marcus. Beliau mengumpulkan bala tentera dan mula menyerang Mesir. Kekuatan angkatan tentera itu telah menakutkan Cleopatra dan beliau sedar bahawa beliau akan kalah. beliau telah bersembunyi.

Apabila Marcus Antonius gagal mencari Cleopatra (disangkanya telah mati), beliau akhirnya menikam dirinya. Beliau kemudiannya mati dalam pangkuan Cleopatra. Cleoptara kecewa dan mula memakai pakaian dewi isis sebagai lambang ketuhanan.

Cleoptara mati tidak lama selepas itu. Terdapat pelbagai versi menyatakan kematiannya. Versi yang paling kuat adalah beliau mati membunuh diri dengan patukan ular tedung di dada dan tangannya. Inilah cara dikatakan paling suci kerana ular merupakan penjaga bagi Firaun dan merujuk kepada keabadian.

Terdapat dalam lagenda bahawa Cleopatra cantik dari paras rupa tetapi bukti sejarah memberikan gambaran berlainan. Ahli sejarah mengatakan: Jika anda berada di pesta koktel, anda akan melihatnya sekali pandang dan tidak akan tertarik untuk memandang buat kali kedua.

Cleopatra tidak dirujuk sebagai perempuan santun atau lelaki sejati tetapi sebagai seorang individu yang didorong matlamat dengan penuh disiplin.

Beliau adalah  ratu yang telah membangunkan semula negaranya, seorang ratu yang aktif dan telah menjauhkan Mesir dari Rom selama 20 tahun. Ketika penghujung zaman pemerintahan Cleopatra, baginda telah memerintah dengan begitu cekap sehingga khazanahnya telah menyebabkan kadar bunga hutang telah menurun sebanyak 2/3 apabila di bawa masuk ke Rom.

Kini beliau digelar, wanita yang paling popular dan bijak. Itulah juga keabadian yang mungkin telah dipilih oleh beliau sendiri: abadi dan ternama dalam lipatan sejarah.

 

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-10

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 26, 2008 by syirfan

 

Hari ke-10 dalam kembara mencari lelaki bernama “Zulkarnain” bermula agak awal. Ini kerana lokasi hari ini adalah antara lokasi yang merupakan salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, Piramid.

Perjalanan menyusur bandar Cairo/Kaherah sangat mengasyikan. Sempat leka memandang sungai Nil yang membelah 9 buah negara. Sepanjang sungai ini, tertera sejarah yang cukup panjang, sesuailah ia digelar sungai terpanjang di dunia. Perlu diketahui juga, bahawa perkataan “Nil” berasal dari perkataan greek yang bermaksud lembah sungai. Sungai ini berakhir di lautan Mediteranean.

Kini sungai Nil adalah simbol kepada peradaban manusia. Satu hakikat yang tidak boleh dinafi bahawa air adalah sumber kepada ketamadunan.

Kerajaan Mesir bermula di lembah sungai Nil. Pada mulanya ia adalah kawasan pertanian dan secara perlahan-lahan membentuk wilayah-wilayah kecil di pinggir sungai. Pada 3200 S.M, Firaun Menes telah menyatukan wilayah-wilayah ini menjadi kerajaan Mesir dan era dinasti pun bermula.

Kewujudan Universiti Al-Azhar juga tidak boleh dinafikan memberi satu lagi nadi istimewa kepada Mesir. Universiti yang mulanya dibina pada 969 (kerajaan Fatimiyyah) merupakan universiti kedua tertua di dunia selepas Universiti Al-Qarawiyin, Maghribi. Sebagai satu institusi pendidikan yang sangat dikenali, kebajiran pelajar di Mesir memberi impak yang sangat positif. Di sepanjang jalan, sanario pelajar menelaah dan berbincang menjadi satu panorama yang cukup istimewa.

Kawasan terletaknya piramid tidak lah terlalu jauh dari bandar. Sekitar 2 jam sahaja (itupun jika keadaan lalu lintas mengizinkan). Bercakap mengenai lalulintas, percayalah : kita tidak mahu memandu di Mesir!

Dari kejauhan piramid Kufu yang merupakan piramid terbesar sudah menampakkan dirinya. Di tengah padang pasir, ia menjadi satu monumen yang sangat menakjubkan. Jika kita pada zaman ini sudah melihat terdirinya piramid sebagai satu keajaiban, bayangkan Alexander The Great yang tiba lebih awal disini. Unsur kekaguman ini yang membawa satu senario baru kepada cara pemerintahan Alexander. Sehingga hari ini beliau dianggap sebagai salah seorang Firaun selepas beliau dikatakan sebagai anak tuhan oleh penilik di Kuil Amon, di Siwa.

Akhirnya, kami tiba di kawasan piramid. Selepas melalui kawalan keselamatan yang tak seberapa ketat (gaya ajer lebih, namun disini duit lebih berkuasa)), akhirnya kami berdiri mengadap Piramid Agung Kufu. Piramid Kufu merupakan piramid terbesar di bandar kematian Giza ini. Ada dua lagi piramid kecil yang bersebelahan dengan piramid Kufu iaitu piramid Khafre dan piramid Menkaure. 3 piramid paling kecil pula dikenali sebagai piramid permaisuri.

Piramid Kufu dibina untuk Firaun Kufu yang memerintah pada 2606-2583 SM. tempoh pembinaan piramid ini mengambil masa 20 tahun. Ia mempunyai 2 juta blok batu kapur dan setiap satunya seberat 1 tan. Pada asalnya ketinggian piramid ini ialah 146.5 meter. Akibat hakisan dan kecurian batu disebelah atas, ketinggian piramid ini merubah menjadi 139 meter.

Penyelidikan, penemuan  dan pemetaan kawasan ini masih berlangsung hingga hari ini. Dikhabarkan banyak lagi piramid yang tertimbus di bandar kematian ini.

Peluang untuk mendaki piramid Kufu tidak kami lepaskan. Walaupun tidak bolah sampai ke atas kerana kecerunan, berdiri di atas salah satu dari tujuh keajaiban dunia ini sudah cukup memberi kepuasan.

Selepas lelah meneroki piramid-piramid ini, kami bergerak ke satu kawasan padang pasir yang agak tinggi sedikit. Inilah kawasan paling ideal untuk melihat kesemua piramid-piramd tersebut.  Selain merupakan kawasan jual beli, perkhidmatan untuk berkuda dan ber”unta” juga disediakan. Perlu diingat, barangan yang dijual disini sangat mahal. Lebih dari 1 kali ganda jika dibeli di pasar.

Kemudian kami terus ke kawasan Sphinx Giza. Ia terletak bersebelahan dengan piramid Khafre.

Patung Sphinx yang berbentuk separuh manusia dan separuh singa ini merupakan salah satu patung yang terbesar di dunia. Ia berukuran 73.5 meter panjang, 6 meter lebar, and 20 m tinggi.

Nama Sphinx berasal dari perkataan greek yang merujuk kepada singa. Kehadiran pelancong dikawasan ini amat memeranjatkan. Terpaksa beratur panjang dan bersesak-sesak dengan mereka dari pelbagai ras budaya, agama dan pastinya warna kulit. Lebih meletihkan bila matahari tepat di kepala. Semuanya sangat teruja untuk melihat sphinx dengan mata sendiri. Untunglah kami semua lelaki dan sangat perkasa. Kami memanjat batu-batu  disekitar itu dan dapatlah melihat Sphinx dengan jelas dan penuh emosi.

Lama juga kami disini. Kepanasan matahari nampaknya hampir tak membawa erti. Menung dan mungkin berfikir, bagaimana piramid dan sphinx ini dibina. Persoalan lain pula : adakah peluang untuk sampai disini lagi..?

Kami harus bergerak. Lokasi seterusnya ialah Piramid Memphis. Kewujudan piramid ini agak menarik. Selain baru ditemui dan bentuknya tidak tajam disebelah atas, piramid Memphis ini dikatakan menyimpanan mayat Alexander The Great!!!

Piramid ini tidaklah terlalu jauh dari lokasi piramid-piramid yang lain. Sekitar setengah jam perjalanan menyusur padang pasir, piramid Memphis menonjolkan dirinya.

Kembali pada sejarah, pada 29 Mei, 323 BC, Alexander telah hadir ke sebuah jamuan makan yang disediakan oleh sahabatnya Medius dari Larissa. Dalam jamuan tersebut, Alexander telah meminum arak dengan kapasiti yang banyak. Selepas itu, Alexander jatuh sakit. Pada 11 Jun 323 BC, Alexander mati di dalam istana Nebuchadrezzar II di Babylon.

Kematiannya membawa pelbagai spekulasi. Medius pastinya tidak terlepas kerana dikatakan meracun Alexander dalam jamuan tersebut. Alexander juga dikatakan juga diracun oleh anak Antipater. Antipater adalah penyokong kuat Alexander dan ayahnya. Ada juga mengatakan Alexander sakit akibat malaria. Sesuai dengan kematiannya, kuburnya juga membawa pelbagai spekulasi. Selain dikatakan dikuburkan di Babylon, ada juga mengatakan mayatnya dihantar ke Greece. Satu teori paling unik ialah Alexander dikebumikan di dalam piramid Memphis. Mungkin sesuai dengan keinginannya, menjadi pemerintah dan menjadi tuhan!

Piramid Memphis yang baru ditemui ini terus menajdi saksi antara sejarah dan spekulasi…

Dalam perjalanan pulang,  kami dibawa oleh Alak dan Farish ke satu lagi lokasi pilihan pelancong. Kilang memproses kristal. Memasuki dewan pamerannya sangat memeranjatkan. Pelbagai potongan dan bentuk kristal yang sangat eksklusif. Istimewanya, harga yang ditawarkan agak murah. Sempat juga membeli beberapa set rantai kristal untuk keluarga.

Dalam perjalanan petang ini, wajah Cairo makin jelas di hati dan di akal. Beberapa kawasan yang kami lalui sangat kotor. Tidak dapat kami bayangkan sampah sarap yang dibuang ditengah jalan raya. Sememangnya di Cairo, jurang kaya dan miskin makin melebar. Kehidupan 16 juta penduduk di kota Cairo pasti menyulitkan.

Malam akhir di Mesir kami habiskan dengan berjalan-jalan sekitar Cairo. Dalam hati tersusur juga mencari lokasi-lokasi yang disebut dalam novel “Ayat-Ayat Cinta” yang dibaca sebelum memulakan kembara. Tak sabar untuk kembali ke Malaysia dan menonton filem yang digarap dari novel istimewa itu.

Dalam kesejukan malam itu, hatiku sudah tiba di Malaysia. Lupakan kegagahan Alexander, lupakan kecantikan Cleopatra. Hatiku hanya pada keletah Putera Syahmi Zafran, manjanya Puteri Syahmina Zafirah dan pelukan isteri yang jauh di timur sana…

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-9 LAGI

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 19, 2008 by syirfan

Sekadar berkongsi gambar-gambar Alexandria… diambil oleh jurufoto amatur!!!

 

 

 

 

 

 

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-9

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 19, 2008 by syirfan

Alexandria… 331 BC / 334 BC : Alexander The Great.

Ia sememangnya kota idaman. Biarlah wujud 13 Alexandria serata dunia (ada yang menyatakan 9 dan ada menyebut 10), Alexandria Mesir adalah yang terbaik. Ia adalah kota Alexandria paling besar yang dibina oleh Alexander the Great. Ia menjadi kota nombor dua dari sudut keluasan dan kekayaan selepas kota Rom.

Terletak disebelah barat laut Cairo, Alexandria menjajar sepanjang 32 km sepanjang lautan Mediteranean. Alexandria mengalami kejatuhan selepas terbinanya kota Kaherah (Cairo) oleh kerajaan islam sekitar tahun 641. Pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyyah, Alexandria menjadi perkampungan nelayan.

Kini Alexandria yang bangun dari lenanya merupakan kota idaman pelancong serta menjadi pelabuhan utama Mesir.

Kami yang bangun awal pagi banyak menghabiskan masa pagi dengan merenung lautan Mediteranean dari tingkap rumah yang disewa. Pembangunan yang pesat sekitar Alexandria (disebut juga Iskandariah) menjadi pilihan pelancong untuk kesini.

Lokasi pertama pilihan kami adalah Bibliotheca Alexnadrina (perpustakaan baru di Alexandria). Perlu diberitahu bahawa Alexandria pernah mempunyai perpustakaan terbesar di dunia. Ia didirikan pada abad ke 3 pada pernah menyimpanan 700,000 naskah pada zaman kemuncaknya (700,000 dalam bentuk golongan papirus). Royal Library of Alexandria ini pernah menjadi salah satu dari tujuh keajaiban dunia.

Dikatakan inilah tempat ke-72 cendiakawan Yahudi menerjemahkan Kitab-kitab perjanjian lama atau Tanakh yang berbahasa Ibrani ke bahasa yunani. Ibrani adalah bahasa Semantik yang menjadi bahasa yang digunakan pakai oleh orang yahudi. Penterjemahan ini menghasilkan sebuah buku berjudul Septuaginta. Buku ini menjadi sangat terkenal. Antara punca ia terkenal kerana nama buku ini sering ditulis sebagai ‘LXX”

Menariknya, pada tahun 640, sewaktu bangsa arab menakluk Mesir, perpustakaan ini telah lenyap. Kehadiran Julius Caesar yang membakar sebahagian kota ini dikatakan punca utama. Ada juga menyebut perbalahan agama antara yahudi, Kristean dan agama lain menjadi punca kemusnahannya. Apa pun sebabnya, banyak karya-karya penting termasuk catitan sejarah hilang begitu sehaja.

Perpusatakan baru yang menjadi buruan kami dikatakan mempunyai maklumat yang banyak tentang Alexander. Ini termasuklah tulisan naskah asli sejarah penjajahan Alexander serta beberapa patung dan lukisan penting. Semua ini amat kami perlukan apabila kami hadir sekali lagi nanti untuk penggambaran dokumentari “Mencari Zulkarnain’.

Perpustaakan yang sangat besar ini (setiap pengunjung perlu membayar tiket untuk memasuki ruang perpustakaan) mempunyai sekitar 8,000,000 buah buku.

Usai di perpustakaan ini, kami ke Citadel of Qaitbay (1477) yang terdiri mengadap laut Mediteranean. Ianya sebuah monumen lama yang membuktikan kehadiran bangsa arab di sini. Kami leka sebentar disini sambil menikmati aiskrim Alexandria yang sangat terkenal itu.

Selepas itu kami berpusing-pusing sekitar bandar. Menjelajah masjid-masjid yang sangat cantik, kedai-kedai lama yang sangat sentimental hinggalah ke lokasi perkelahan.

Oleh kerana tekanan masa kami beredar segera dengan harapan untuk kembali semula ke sini. perjalanan seterusnya ke kota Cairo yang bertuah. Perjalanannya sekitar 5 jam. Sepanjang perjalanan, hanya mimpi-mimpi menjadi teman. (mimpi semestinya pada keluarga yang sudah makin dirindu..)

Hanya yang timbul dalam persoalan, Alexander the Great bukan sahaja seorang penakluk, tetapi dia juga seorang pembina? Pembina yang ulung jika dia mampu membawa Alexandria sehebat itu… fikir-fikirkan…

Akhirnya kami tiba di Cairo dan terus ke rumah sewa yang telah disediakan… Dalam keletihan, kami terus lena…

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE 8 (SAMBUNGAN)

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 17, 2008 by syirfan

Siwa sebenarnya terkenal kerana Kuil Amon. Amon merupakan salah satu tuhan penting dalam Greek metodologi. Di kuil ini, terdapat seorang ahli nujum yang sangat terkenal. Alexander mengambil keputusan untuk berjumpa ahli nujum ini untuk mengetahui siapa pembunuh bapanya. Namun dalam perjalanan yang jauh itu, Alexander membawa bala tenteranya untuk memerangi dan menakluk setiap negara dalam laluan itu. Apabila tiba di Mesir, Alexander menemui sesuatu yang baru; firaun.

Alexander mula melihat keupayaan manusia disembah seperti tuhan. Menurut cerita rakyatnya, Alexander turut mengaku beliau adalah Firaun dan wajar disembah selepas peristiwa di Siwa. Malah menurut cerita rakyat Mesir, Alexander adalah salah seorang Firaun selepas menguasai Mesir. Sejauh mana pun kebenarannya : ia masih dipertikaian hingga hari ini.

Kami tiba di Kuil Amon awal pagi. Kuil ini dikelilingi pohon tamar dan bangunan-bangunan lumut yang hampir musnah. Siwa boleh diketengorikan sebagai pekan untuk penduduk miskin. Wajah kemiskinan ini melata-lata.

Kuil Amon adalah kawasan yang turut dibina dengan lumpur. Kebanyakan stuktur bangunan ini telah musnah. Namun kemusnahan itu mengzahirkan satu senario dan pemandangan yang menarik. dari kejauhan, kami boleh melihat Siwa Oasis yang terkenal itu. Dikatakan Alexander pernah tiba di Oasis tersebut.

Kembali kepada sejarah… Apabila Alexander tiba di kuil ini, beliau telah memasuki kuil ini seorang diri. Apabila bertemu dengan ahli nujum tesebut, beliau bertanyakan tentang pembunuhan ayahnya. Menariknya, Alexander diberi tahu bahawa ayahnya tidak mati dan masih hidup. Persoalannya siapa yang dibunuh sebelum ini?

Kami yang tiba dengan keletihan menyusur padang pasir mengambil keputusan yang mengelongkar sepenuhnya Kuil ini. Kami memasuki hampir setiap pintu dan blok bangunan. Sempat juga memasuki sebuah lubang bertangga di sebelah kanan kuil. Namun sayangnya, sebelum sempat tiba didasar, kami disergah oleh penjaga kawasan itu. Dalam loghat arab yang tidak difahami, kami diusir dari situ. Berkemungkinan besar, disitulah lokasi pertemuan Alexander dengan ahli hujun tersebut.

Pertemuan ini telah membawa dimensi yang lain bagi Alexander. Pertemuan ini juga yang membuktikan bahawa Alexander bukanlah lelaki “Zulkarnaian” yang disebut dalam surah Al-Kahfi.

Dalam pertemuan itu, ahli nujum tersebut menyatakan yang mati dibunuh adalah Phillip II. Namun Phillip II bukanlah bapa kepada Alexander!

Menurut beliau, bapa Alexander adalah Zeus!

Zeus  adalah nama seorang dewa yunani kuno. Dewa ini juga dikenal di Rom dan India kuno. Dalam bahasa Latin disebut Iopiter sedangkan dalam bahasa Sansekerta disebut Dyaus-pita.

Dalam Greek mitologi, Zeus adalah dewa pemimpin yang bertahta di Olympus. Zeus berkahwin dengan adik perempuannya, Hera yang menjadi dewi penikahan. Zeus membagi dunia menjadi tiga dan membagi dunia-dunia tersebut dengan kedua saudaranya, Poseidon yang menjadi dewa penguasa lautan, dan Hades yang menjadi dewa penguasa kematian.

Jika Zeus itu tuhan, ini bermakna Alexander The Great adalah anak tuhan atau bayangan tuhan di dunia. Kenyataan ini dipegang kuat oleh Alexander dan beliau makin angkuh dengan standard baru yang diperolehinya. Dengan kenyataan ini, sokongan yang diperolehi Alexander semakin besar dan beliau mula berfikir secara serius untuk menakluk dunia.

Persoalannya, adakah kenyataan yang diberitahu oleh ahli nujum itu benar (mungkin boleh dinafikan dari sudut agama)? adakah benar kenyataan yang disebarkan oleh Alexander kerana perlu kita ketahui bahawa hanya Alexander seorang sahaja yang menemui ahli nujum tersebut. Alexander boleh menyampikan apa sahaja jika dilihat dari sudut kebijaksanaanya.

Usai di Kuil amon kami bergerak di Mountain Of The Death. Lokasi yang dikatakan tempat menyimpan mayat. Namun sebelum sampai disitu, kami singgah sebentar di Cleopatra Spring. Lokasi ini terkenal untuk mandi manda. Seperti biasa semua tak sabar-sabar untuk mandi di kolam yang sememangnya dalam ini. Dengan cerita bahawa ada yang pernah mati selepas terjun ke kolam seperti ini, dan selepas berfikir panjang, aku sorang sahaja yang tak menukar pakaian. Tinggallah aku sorang sahaja yang tak mandi… hehehehe

Selepas berpanas meneroka beberapa kawasan di padang pasir ini, kami bergerak kembali ke pekan Siwa untuk mencari makanan tengahari. Dapatlah sebuah kedai makan yang mungkin paling bersih dikawasan ini. Paling bersih pun, meja dan kerusi semuanya berdebu. Dengan lafaz bismillah, telan ajelah semuanya.

Sepanjang berada di sini, hati benar-benar terusik dengan kemiskinan. Kawasan ini jauh dari kemodenan. Ia benar-benar jauh dari kemajuan. Mungkin jarak Siwa dengan bandar-bandar besar serta kongkongan perjalanan yang sangat menyulitkan, tinggallah Siwa terus luka sedemikian.

Sebelum berangkat ke Alexandria, aku sempat mencoret sesuatu..

Siwa dalam luka

 

tarian hidup berlagu maharisi

belangsukawa Alexander

belangsukawa Cleopatra

belangsukawa sejarah

belangsukawa kemodenan

mereka hidup kerana warisan.

 

Debu jadi warna

Siwa lama yang musnah

anak-anak menadah tangan

sambil lalat-lalat jadi teman

tetamu terus bingung

adakah kemiskinan ini yang jadi warisan

 

Mentari  terus resah

menghampar rasa gelisah

Siwa terus menangis

dan tetamu akan terus bingung

 

di Siwa

bulan pun luka sebelah…

Petang itu kami meneruskan kembara ke Alexandria. Sekali lagi kami bakal berhadapan dengan padang pasir Libya. Perjalanan hampir 10 jam itu berakhir dengan kesejukan di Alexandriah. Secara peribadi, Alexandria adalah salah satu lokasi yang menjadi idaman setelah sekian lama.

Alak selaku guide memang bagus dalam hal ini. Kami bermalam di sebuah rumah yang sangat besar dan selesa sambil menikmati laut Mediterranian yang sangat mengasyikkan.

Dalam kesejukan dan kekenyangan menjamah burger, kami lena dalam mimpi yang wangi…

MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-8

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on Jun 17, 2008 by syirfan

Siwa terletak hampir 50 km disempadan libya dan lebih kurang 560 km dari Cairo. Siwa adalah pekan yang terpencil dengan sekitar 23, 000 penduduk. Kebanyakan mereka petani yang mengusahakan olive dan tamar. Mereka juga mengusahakan kraftangan. Siwa ini terkenal dengan kewujudan tempat keramat yang merujuk kepada tuhan Amon.

Kami yang hadir seawal pagi dikejutkan dengan runtuhan demi runtuhan bangunan tanah yang melatari Siwa. ia sememangnya bandar yang jauh terperusuk dari kemodenan. Namun perlu diingat bahawa Siwa merupakan salah satu lokasi penting dalam sejarah.

Kami tiba sejurus azan subuh berkumandang. Dengan kesejukan yang tiada bandingnya, kami solat subuh berjemaah. Selepas lena sebentar, kami bergerak ke Kuil Amon. Persoalannya, apa yang ada di kuil Amon. Kita kembali menjenguk sejarah.

Pada tahun 336 SM, Philip dibunuh sewaktu menyertai istiadat perkahwinan anak perempuannya, Cleopatra dari Macedonia dengan Maharaja Alexander dari Epirus. Pembunuhnya, Pausanias yang merupakan seorang bangsawan muda yang kecewa, dikatakan bekas kekasih Philip yang berdendam dengannya kerana baginda tidak mengendahkan satu rungutan yang dikemukakan olehnya.

Pada waktu itu, pembunuhan Philip dianggap telah dirancang dengan pengetahuan dan penglibatan Alexander atau Olympias. Lagi satu kemungkinan adalah Darius III yang merupakan Maharaja Parsi yang baru sahaja menaiki takhta. Plutarch menyebut tentang sepucuk surat dari Alexander kepada Darius yang menyalahkan Darius dan wazir agungnya, Bagoas, terhadap pembunuhan ayahandanya.

Selepas kematian Philip, angkatan tentera mengisytiharkan Alexander yang berumur 20 tahun sebagai maharaja baru untuk Macedonia. Bandar-bandar Yunani seperti Athens dan Thebes, yang telah dipaksa berikrar untuk taat setia kepada Philip, melihat maharaja baru itu sebagai peluang untuk menuntut balik kemerdekaan penuh mereka.

Alexander bertindak dengan pantas memerangi Thebes, yang paling aktif menentanginya. Pada tahun yang berikut, iaitu 335 SM Alexander untuk bertempur dengan Thrace dan Illyria. Alexander akhirnya menakluk  Danube sebagai sempadan utara untuk kerajaan Macedonia.

Sewaktu Alexander berkempen dengan berjaya di utara, orang Thebes dan Athens memberontak sekali lagi. Alexander bertindak balas dengan segera, dan sewaktu bandar-bandar yang lain teragak-agak tentang apa yang hendak dibuat selanjutnya, Thebes memutuskan untuk menentang dengan segala keupayaan mereka pada kali ini.

Penentangan itu sia-sia; pada akhirnya, bandar itu ditewas dengan banyak pertumpahan darah. Orang-orang Thebes menghadapi penderitaan yang amat teruk sewaktu bandar mereka dibakar dan wilayah mereka dibahagikan kepada bandar-bandar Boeotia. Tambahan pula, kesemua orang-orang bandar itu dijual sebagai hamba, kecuali bagi pendeta-pendeta, ketua-ketua parti pro-Macedonia dan keturunan-keturunan Pindar. Pengakhiran Thebes menakutkan Athens untuk menyerah, dan Athens sanggup menerima desakan Alexander untuk membuang semua ketua parti anti-Macedonia, terutamanya Demosthenes.

Selepas kejayaan ini, Alexander mula dilihat sebagai Komander yang bukan sahaja boleh menguasai Yunani, tetapi seluruh dunia dengan syarat: mengalahkan empayar terbesar pada masa itu, Parsi. Namun Alexander bertindak lebih dari itu. Pada Alexander, usaha mencari pembunuh ayahnya lebih utama kerana jika dia berjaya mencari pembunuh itu, semua pembesar yang sangsi kepada keupayaannya akan menyokongnya kelak.

Untuk itu, Alexander Ke Siwa!

bersambung… (terlalu panjang ceritanya)