MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-12

Hari ke-12. Mari belajar sejarah..

Republik Yaman secara teorinya bermula pada 22 Mei 1990. Namun kalau dikaji lebih dalam, kerajaan ini telah merdeka lebih awal. Perlu semua ketahui bahawa Yaman adalah antara pusat peradaban manusia. Banyak tamadun-tamadun besar dan tertua di dunia pernah terbina di sini. Inilah negara yang digelar kawasan “arab gembira” kerana kekayaannya dari sudut perdagangan dan pertanian.

Bercerita tentang pertanian, kita harus meneliti sejarah Empangan Maarib yang terkenal itu serta melihat kejayaan empayar Saba. Kehebatan Saba ini disebut di dalam Al-Quran.

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.

Surah Saba ayat 15.

Saba juga terkenal dengan kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Kerajaan-kerajaan lama yang turut terbina di Yaman adalah kerajaan Himyar, Qataban, Hadramaut, Awsan dan Minaean.

Dari sudut perdagangan pula, rempah adalah bahan yang membawa kekayaan di kawasan ini. Ia sememangnya kawasan yang ingin ditakluki oleh penguasa-penguasa besar. Augustus Ceaser juga pernah mencuba untuk menguasai Yaman tetapi kerajaan Parsi lebih awal tiba dibawah pemerintahan kerajaan Parsi Sassanid.

Apabila empangan Maarib musnah, orang-orang Saba mula berhijrah ke utara. Yaman yang dahulunya kawasan yang subur menjadi kering kontang kerana kerajaan Parsi dan Rom lebih mementingkan perdagangan rempah yang jauh lebih menguntungkan. Pada abad ke-7 khalifah Islam mula menguasai kawasan ini. 

Pada abad ke-16 dan sekali lagi pada abad ke-19, Yaman utara adalah sebahagian dari empayar Turki Uthmaniyyah. Yaman utara menjadi republik pada tahun 1939. Yaman selatan pula berbeza nasib kerana dikuasai British terutamanya di kawasan Aden. Namun selepas serangan Mesir, British mengundur diri dan Yaman selatan mengamalkan komunisme. Hanya pada 1990, utara dan selatan disatukan. Kekallah hingga kini, Republik Yaman yang bersempadan dengan Laut Arab dan teluk Aden di selatan, Laut Merah di barat, Oman di timur laut dan Arab Saudi di utara.

Pagi ini, kami hanya berputar-putar di Sanaa, ibu kota Yaman. Sejujurnya, Sanaa bukanlah ibu negara yang moden. Ia merupakan bandar terbesar di Yaman dan menanggung lebih 2 juta penduduk. Bolehlah dianggap seperti Malaysia tahun 80an. Ia sebuah bandar yang mula bangun dari tidur lenanya yang panjang (atau sebenarnya masih lena dibuai mimpi?).

Satu hal yang perlu diketahui pengunjung ialah kedudukan Sanaa itu sendiri. Sanaa terletak 2,200 meter dari aras laut. Lebih kurang setengah dari ketinggian Gunung Kinabalu. Boleh bayangkan? Pengunjung akan menghadapi masalah pernafasan yang ketara disini. Sesuai dengan kedudukannya itu, Sanaa juga dikelilingi oleh beberapa buah pergunungan lain. Untuk beberapa hari awal, pengunjung akan berasa ketidakselesaannya.

Satu tabiat buruk masyarakat Yaman adalah memakan sejenis daun bernama Qat. Daun ini bertindak sebagai dadah. Hampir kebanyakan lelaki Yaman akan dilihat kembong di pipi. Ini kerana mereka mengunyah daun-daun itu dan kemudian menyimpannya di tepi pipi. Mereka hanya menghirup cecair yang keluar dari kunyahan tersebut. Hasilnya, mereka mula aktif berkerja dan tidak lama kemudian, mereka longlai.

Satu cadangan: jangan pergi membeli belah di Sanaa yang sebelah petang kerana pada waktu itu mereka sedang ‘lalok’. Anda tidak akan dilayan dengan sepenuh hati. Datanglah pada sebelah pagi atau malam.

Sukanya hati tidak terkata apabila mula melihat ‘Old Sanaa City’. Old Sanaa dibina oleh Sam b. Nuh (anak nabi nuh). Reka bentuk bangunan-bangunan di sini yang seragam dan berwarna merah putih pasti menambat hati. Walaupun melihat Old Sanaa dari seberang jalan, kepuasan sudah mula terasa. Esok dan lusa, Old Sanaa pasti kami lawati.

Tidak banyak aktiviti kami hari ini. Paling utama adalah menunggu ketibaan Bro Joe dari Malaysia yang dijangka tiba awal malam di lapangan Terbang Sanaa. Apabila Bro Joe tiba, kami terus berputar sekitar Sanaa. Seperti biasa, bro Akmal akan menyuarakan cadangan “jom cari teh tarik?”

Apa? teh tarik di Sanaa Yaman?

 

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: