MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-13

Hari ke-13

Jujurnya hari ini bermula dengan perasaan yang sangat gembira. Hari ini aku akan sampai ke satu lagi lokasi yang menjadi idaman sejak dahulu lagi. Mungkin pembelajaran sejarah Islam terutamanya mengenai kerajaan Saba dan Himyar menjadikan perjalanan awal pagi ini cukup berharga.

Dari Sanaa, kami akan ke Dzafar, lokasi yang pernah menyaksikan kemunculan kerajaan Islam Himyar. Mengapa lokasi ini menjadi pilihan? Apabila kita bercakap tentang Zulkarnain: lelaki misteri dari surah Al-Kahfi, kita tidak boleh menafikan kemunculan seorang pemimpin besar di kawasan ini. Pemimpin ini mendapat jolokan “Zulkarnain”. Adakah dia benar Zulkarnain yang sedang kita cari, atau beliau hanya seorang yang bernasib baik kerana dianugerahkan dengan nama penguasa istimewa -Zulkarnain.

Catatan sejarahnya akan dilampirkan nanti. Untuk masa ini marilah bersama menghayati – Himyar!

Awal pagi itu, dengan seorang pemandu berbangsa arab Yaman, dengan pacuan 4 roda, kami menyusuri sejarah. Jujurnya, dalam gambaran hanyalah sebuah kota yang luka… Luka dalam sejarah. Seperti yang diberitahu sebelum ini, Sanaa berada di kawasan yang agak tinggi (lebih dari 2000 meter dari aras laut), lantas kami perlu menuruni kawasan tinggi ini untuk ke Dzafar. Pengalaman menuruni kawasan tinggi ini sememangnya akan kekal dalam ingatan. Visual betapa indahnya pemandangannya tidak dapat kami berikan dalam bentuk kata. Hanya mata yang melihat dan akal yang mentafsir saja yang punya jawapan. Buat sesiapa yang ingin ke Sanaa, ambillah peluang untuk melalui laluan berbukit ini sebagai kenang-kenangan.

Dzafar adalah salah satu wilayah yang agak terpencil di Yaman. Sekiranya kita hendak keluar dari satu wilayah ke wilayah yang lain, pelancong memerlukan kebenaran bertulis yang boleh diperolehi dalam sehari (jika bijak dan mempunyai duit) dari Kementerian Pelancongan. Kurt dan Bob yang bertindak sebagai guide sememangnya cekap dalam hal sebegini.

Sememangnya agak sukar untuk melancong di Yaman sekiranya tidak mempunyai guide yang cekap. Pemeriksaan ketat yang dikenakan dan beza latar bahasa akan membawa masalah yang serius. Tentera bersenjata dan orang awam yang bersenjata cukup merungsingkan.

Pengalaman ini membawa aku kembali ke Dagestan, Rusia yang pernah dikunjungi hampir setahun yang lalu. Masih ingat lagi, perjalanan dari Makchakala ke Derbent, sekitar 2 jam akan melibatkan 9 pemeriksaan oleh pihak tentera dan separa tentera. Kalau kurang bernasib baik, pihak pengganas turut membuat pemeriksaan. Untungnya ialah nama Malaysia laku disana. Sebut saja Malaysia, mereka terus takbir. Nama mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammmad cukup lekat di hati mereka. Masyarakat di Rusia percaya  pada kenyataan bahawa akan wujud sebuah negara Islam yang sangat besar dan istimewa di sebelah timur sebelum berlakunya kiamat. Mereka percaya negara itu ialah Malaysia. Subhanallah.

Sepanjang perjalanan, retina mata hanya akan tumpah yang keindahan, kecantikan dan seumpamanya. Dzafar memang kekal dengan keunikannya tersendiri. Lokasi yang menjadi tujuan kali ini ialah tapak terbinanya empayar Himyar. Sesuai dengan namanya, lokasi ini terletak 10,000 meter dari aras laut. Untungnya kenderaan pacuan 4 roda bolah sampai ke puncak. Malangnya ialah kesukaran untuk bernafas yang sangat ketara. Dada bagai hendak pecah.

Penduduk dikawasan ini sudah biasa dengan keadaan yang sebegini. Mereka hanya tidak biasa dengan kedatangan pelancong. Kami dianggap manusia pelik yang datang dari Timur. Mereka sememangnya jauh tertinggal dari senjata yang bernama kemodenan. Sepanjang masa kami dikerumuni dan sekali lagi beza bahasa cukup menyukarkan. Hanya salam dan senyuman yang menjadi perantara.

Muzium Himyar yang dibina antara ‘sudi atau tidak’ sekurang-kurangnya menjadi cenderahati disini. Banyak bahan-bahan penting ada di dalam muzium ini. Sayangnya ia tidak dijaga rapi. Bahan-bahan ini akan hilang tidak lama lagi…

Kawasan yang luas ini kami terokai perlahan-lahan. Lokasinya yang agak merbahaya – terbina di lereng bukit agak menyukarkan pergerakan. Ditambah lagi dengan kesukaran bernafas. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana krew yang akan datang nanti untuk penggambaran. Mesti mereka minta ‘nyawa’!

Namun yang boleh kami gambarkan ialah Himyar pada suatu masa dahulu sememangnya cukup besar dan istimewa. lokasinya yang seunik ini pasti membewa mesej besar pada negara-negara lain pada masa itu. Lokasi ini memang luka. Luka dalam sejarahnya. Boleh kita lihat rumah-rumah penduduk di sini terdiri dengan batu-batu berukir indah dengan simbol-simbol yang tidak difahami. Aku yang melihat cukup mengetahui bahawa batu-batu itu sangat bersejarah. Jika tidak ada usaha serius, Himyar ini akan hilang. Seperti mana hilangnya emas-emas tinggalan Himyar lama yang dikatakan pernah tertanam disini.

Kubur-kubur lama hilang begitu sahaja. Bangunan-bangunan penting entah bila runtuhnya. Surau-surau kecil sunyi sebegitu. Ini lagi satu kenyataan yang sangat menguris hati – tempat wuduk, yang dikatakan pernah dikunjungi oleh Ratu Balqis kini tempat kambing dan kaldai beristirehat!

Kami tinggalkan Dzafar dengan tekad untuk kembali semula secepat mungkin – sebelum senjata yang bernama kemodenan sampai. Untuk masa ini biarlah senjata yang bernama ‘tidak tahu menilai sejarah’ itu kekal disitu. Sebelum kenderaan bergerak, kami dihimpit dengan anak-anak Dzafar menghulur tangan meminta helaian duit barang sehelai. Oh Tuhan, berkatilah anak-anak ini.

Bila saja kami bergerak pulang, suasana dalam kereta sunyi seketika. Huluran dan rempuhan anak-anak Dzafar tadi cukup mengusik hati kami- para pelancong yang sentimental ini. Bro Akmal cepat menyampaikan arahan – “datang sekali lagi nanti bawa makanan, gula-gula atau apa sahaja untuk budak-budak tadi tu..”

Hati seorang bapa, wajah anak-anak di Malaysia segera muncul…

Malam itu di Sanaa kami bercadang untuk menyelongkar rahsia bandar yang dibina Sam b. Nuh…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: