MENCARI ZULKARNAIN : HARI KE-14

“Sejarah adalah filosofi yang mengajar dengan contoh…” – Thucydides

Sudah dua minggu kami diperantauan. Jujurnya akal kini agak kurang tajam. Perasaan kini mengambil tempat. Rindu sudah kian membuak-buak. Pastinya semuanya ada di Malaysia. Hanya Bro Joe saja yang nampaknya bersemangat. Maklumlah dia baru menyertai kembara ini. Zamani telah pun sampai di Malaysia. Mungkin sedang leka bercerita tentang perjalanan dari Greece ke Mesir. Arrggghhh.. kami akan terperangkap dalam rindu lebih dari 2 minggu lagi…

Pagi di Sanaa bermula dengan perjalanan kami dari satu jabatan ke jabatan, dari satu kementerian ke kementerian yang lain mencari maklumat dan individu-individu yang boleh membantu bagi pelaksanaan penggambaran dokumentari ini nanti. Beruntungnya, banyak tangan yang sudi membantu. Pastinya pengambaran di sini nanti penuh dengan kejutan dan keunikan.

Langkah seterusnya pastinya menuju ke Old Sanaa City. Kota lama yang dibina oleh Sam b. Nuh menjadikan Sanaa kota yang sangat unik untuk dilawati. Rupa bentuk bangunan dan warna yang serata sama menjadikan Sanaa kota yang punya status tersendiri. Old Sanaa City mempunyai sejarah yang cukup panjang. Satu pertemuan yang cukup memeranjatkan ialah apabila kami diberitahu bahawa Kaabah Abrahah berada di tengah-tengah kota lama ini.

Seperti yang kita ketahui, Abrahah sangat mencemburui Kaabah Di Mekah. Maka beliau telah membina Kaabah (sebetulnya sebuah gereja yang dinamakan al-Qalis) yang dikatakan sangat cantik. Sayangnya Kaabahnya tidak mendapat perhatian kerana Kaabah di Mekah ditujui bukan kerana kecantikan tetapi falsafah dan amalan yang dijunjung tinggi oleh umat islam. Untuk itu, Abrahah merancang untuk menyerang Kaabah dengan tentera bergajahnya.

Kesudahannya sudah sedia kita maklum. Abrahah dan tenteranya musnah oleh burung Ababil. Abrahah cedera parah diserang burung Ababil tersebut. Beliau akhirnya mati di Sanaa.

Kini Al-Qalis adalah lokasi tempat pembuangan sampah…

Old Sanaa City dibina lebih dari 2500 tahun lalu dan diistiharkan sebagai Kota Warisan Dunia pada 1986. Kota lama ini dikelilingi oleh tembok besar setinggi 20-30 kaki. Kota ini sangat besar. Menurut laman-laman web, terdapat 100 buah masjid didalam kota ini. Mengikut guide kami, Kurt – terdapat lebih dari 100 buah masjid di sini. Bayangkan betapa besar kawasan ini. Terdapat 6500  buah rumah dan setengahnya agak tinggi sesuai dengan kawasan berbukitnya.

Lokasi membeli belah pastinya Suq Al-Milh. Semuanya ada di sini. Barangan yang murah dan pastinya boleh tawar-menawar. Satu amaran, sila bawa mereka yang pandai jalan-jalan di sini. Kalau silap jalan, anda akan keluar di kawasan yang lain. Kawasan pasar ini sangat besar. Terdapat sebuah masjid besar disini iaitu Al-Jami’ Al-Kabir dan beberapa buah masjid kecil lain. Boleh bayangkan betapa besar pasar ini?

Kota lama ini mempunyai beberapa pintu gerbang yang terkenal. Salah satunya dan yang masih jelas kelihatan ialah Bab Al Yaman (Yaman gate). Gerbang yang berusia lebih 700 tahun ini menjadi saksi bisu kepada perubahan pemerintahan dan gaya hidup. Beberapa lubang peluru menguatkan sejarahnya.

Panjang jalan-jalan kami hari ini. Kami betul-betul berhenti bila Suq Al-Milh mula menutup tirainya. Sesuatu yang pasti, kunjungan ke Yaman sangat berbaloi dari sudut sejarah dan kepentingannya untuk produksi nanti.

Esok awal pagi, kami akan terbang sekali lagi. Kali ini tanah idaman para penguasa mengambil tempat. Iran, bersedialah!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: