Arkib untuk Oktober, 2008

Altantuya Shaariibuu dan 31 Oktober

Posted in Buah Fikiran, Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Oktober 30, 2008 by syirfan

31 Oktober dinanti oleh isteri ku kerana 2 sebab. Pertama kerana kami dijangka akan menerima cahaya mata ketiga pada 31 Oktober. Sebab kedua adalah kerana keputusan pembunuhan Altantuya Shaariibuu juga diumumkan pada 31 Oktober.

Jelas pada wajah bahawa isteriku sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama di mahkamah untuk mendengar keputusan kes ini. Ini kerana beliau memang telah membuat laporan kes ini dari awal lagi. Lebih 2 tahun beliau bergelumang dengan nota prosiding dan laporan. Tak sangka pula pada penghujungnya, dia tidak ada bersama.

Itu sebabnya, dalam bercuti untuk bersalin pun beliau masih menaip saban malam untuk menyiapkan rencana terakhir menjelang pengumuman esok. Sebagai wartawan yang telah mengenai hati budi semua keluarga tertuduh, insiden-insiden penting,  serta sering berkongsi rahsia dengan para tertuduh , banyak yang ingin dikongsi. (Bab ini akan aku ceritakan nanti).

Untuk itu aku sebagai suami yang sentiasa menyokong (memuji diri sendiri) pun melampirkan rencana yang di tulis dan telah disiarkan di BERNAMA. Sudi-sudikanlah baca. (orang rumah sebenarnya marah bila editor tukar intro dan edit terlalu banyak hasil tulisannya ini. heheh)

Nasib Tiga Tertuduh Kes Pembunuhan Altantuya Jumaat Ini

Oleh Zalina Maizan Ngah

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) — Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menjadi perhatian orang ramai dan media pada Jumaat ini apabila Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar (kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak Abdullah Baginda malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai.

Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babak-babak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding.

Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lepas.

Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.

SIKAP BERDIAM DIRI

Ketika ditanya Bernama semasa perbicaraan apakah yang akan dilakukan sekiranya dibebaskan, Azilah, 32, yang mempunyai seorang anak angkat walaupun belum berkahwin berkata “terlalu banyak hendak dibuat, tetapi saya nak lepaskan rindu pada anak dahulu dengan memeluknya dan buat kenduri kesyukuran”.

Sirul Azhar, 36, pula hanya tersenyum dan sememangnya anggota UTK yang berkhidmat sebagai pengiring orang kenamaan ini amat sukar meluahkan perasaan. Beliau lebih banyak berdiam diri ketika di kandang tertuduh tetapi gemar meminta asam dan gula-gula daripada wartawan yang berada di belakangnya bagi menghilangkan rasa mengantuk.

Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia pula menyatakan beliau berhasrat untuk bersama anak perempuan tunggalnya Rowena ke luar negara setelah semuanya selesai nanti.

Beliau sentiasa ditemani isteri, Mazlinda Makhzan, kedua ibu bapa dan ahli keluarga terdekat sepanjang perbicaraan tetapi pada peringkat awal, kehadiran Mazlinda tidak disenangi bapa Altantuya, Shaariibuu Setev yang menyatakan wanita itu telah mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya hingga memaksa anggota keselamatan memastikan kedua-dua mereka tidak bertembung.

Sepanjang perbicaraan kes ini pelbagai peristiwa telah berlaku yang bukan sahaja melibatkan pertukaran hakim dan pendakwaan malah timbul juga perebutan antara dua peguam untuk mewakili tertuduh.

GANGGUAN SEMASA PROSIDING

Selain itu, gelagat Abdul Razak juga kadang-kala mengejutkan dengan beliau beberapa kali mengamuk dengan menendang pagar kandang tertuduh dan menyumpah orang tertentu. Dia adalah tertuduh yang paling kerap meminta peguamnya Wong Kian Kheong memohon perbicaraan dipercepatkan tanpa sebarang penangguhan hingga memaksa Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah menempelak Wong dengan berkata bukan Abdul Razak seorang sahaja yang berada dalam penjara.

Kehadiran bilangan besar orang awam yang ada di antaranya berperangai ‘pelik’ ketika perbicaraan juga menunjukkan ada yang mahu mengambil kesempatan daripada publisiti meluas akan kes pembunuhan ini.

Mungkin pembaca tidak lupa kehadiran seorang wanita yang berpakaian seperti peguam yang mendakwa dirinya mewakili satu badan keamanan serta diberi kuasa oleh pegawai tertinggi polis dan Jabatan Peguam Negara.

Beliau tidak mahu duduk di kerusi bahagian belakang setiap kali hadir dan pernah memaksa polis mahkamah meletakkan kerusi khas untuknya. Beliau bukan sahaja sering menunjukkan aksi kurang senang dengan barisan pendakwa raya dan peguam malah ketika hakim bercakap dia akan menyampuk.

Akhirnya satu laporan polis dibuat terhadapnya bagi mengelak prosiding terus terganggu yang bukan sahaja melibatkan suara rungutannya tetapi juga bunyi dua telefon bimbitnya.

Pernah juga di awal perbicaraan muncul seorang wanita (wanita lain dari tadi) mendakwa dirinya mewakili satu organisasi hak wanita dengan membawa poster mengutuk Abdul Razak kerana menurutnya telah membunuh wanita dengan kejam.

Demonstrasi yang dilakukan seorang diri itu mencetuskan kemarahan polis kerana menganggu orang ramai serta perbicaraan yang sedang berlangsung hingga memaksa polis mengeluarkan amaran untuk membawanya keluar daripada perkarangan mahkamah.

Bagaimanapun, wanita lewat 40-an itu tanpa rasa takut berteriak dengan berkata, “Saya ada hak, polis cubalah halang saya dengan guna senjata api, biar orang awam jadi saksi”, sedangkan ramai yang menyaksikan peristiwa itu sedar bahawa polis tidak membawa sebarang senjata pun.

Ketika ditanya pemberita apakah perasaan Mazlinda melihatkan emosi orang ramai terhadap suaminya, beliau berkata, “Saya menyerahkannya kepada Allah. Razak tidak bersalah.”

PERBICARAAN SELAMA 151 HARI

Perwatakan Azilah dan Sirul Azhar yang menutup muka mereka ala ninja menjadi ikutan tertuduh kes-kes lain dan ketika ditanya Bernama mengapa mereka berbuat begitu Azilah berkata “Hidup ini masih panjang, ada yang perlu disembunyikan.”

Sepanjang perbicaraan selama 151 hari ini juga berlaku peristiwa mengejutkan apabila seorang anggota polis mahkamah Lans Koperal Othman Abdul Rahman, 47, rebah semasa membawa masuk ketiga-tiga tertuduh ke bilik perbicaraan dan disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Mengimbas kembali isu yang dihujahkan sepanjang perbicaraan lepas, Azilah dan Sirul Azhar yang dituduh membunuh Altantuya antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006 dikatakan mengambil bahan letupan jenis PE (Plastic Explosive), detonator cord dan CLC (cutting liner charge) dari stor UTK dan mereka sememangnya mempunyai kepakaran mengendalikan bahan letupan.

Abdul Razak, yang didakwa bersubahat dengan dua anggota UTK itu pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Okt 2006 di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Lembaga Getah Asli Malaysia (LGAM), Jalan Ampang di Kuala Lumpur dan dia didakwa mempunyai motif dalam pembunuhan itu berikutan tekanan dan ugutan daripada Altantuya.

Berdasarkan kepada keterangan saksi pendakwaan Deputi Supritendan Muhammad Koey Abdullah, bahan letupan itu berkemungkinan diletakkan dalam mulut dan bahagian atas badan Altantuya menyebabkan tulangnya berkecai manakala Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood pula berpendapat ketika itu Altantuya telahpun dibogelkan kerana tiada sebarang cebisan kain dijumpai di tempat kejadian.

TELITI 6,000 MUKA SURAT NOTA PROSIDING, HUJAH DAN NAS

Bagaimanapun peguam J. Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah tetap menegaskan bahawa anak guamnya tidak terlibat dalam pembunuhan itu malah penemuan tempat kejadian di atas bukit itu juga bukanlah kerana ditunjukkan oleh Azilah kerana polis seolah-olah telahpun mengetahuinya terlebih dahulu.

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal juga meletakkan anak guam mereka sebagai orang yang tidak bersalah dan teraniaya kerana kehadiran barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar dan darah Altantuya pada selipar yang dijumpai dalam jeep Sirul Azhar dikatakan amat meragukan kerana sepanjang perbicaraan timbul percanggahan keterangan daripada beberapa penyiasat dan kenderaannya ketika itu boleh diakses oleh orang lain.

Wong yang mewakili Abdul Razak pula menyatakan pembunuhan Altantuya tiada sebarang kaitan dengan anak guamnya dan tiada sebarang bentuk arahan pembunuhan dibuktikan sepanjang perbicaraan. Beliau juga menimbulkan keraguan mengapa pihak pendakwaan tidak memanggil beberapa pegawai kanan polis untuk memberi keterangan.

Apapun, segala hujahan dan keterangan dari 84 saksi akan dirangkumkan oleh hakim Mohd Zaki untuk membuat keputusan pada Jumaat ini yang akan meneliti 6,000 muka surat nota prosiding perbicaraan, hujah-hujah dan nas undang-undang yang telah dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak.

Sebelum keputusan pertuduhan utama dibacakan, Mohd Zaki dijangka terlebih dahulu membuat keputusan terhadap permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Lans Koperal Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah) ketika memberi keterangan di mahkamah, keputusan bicara dalam perbicaraan tentang penemuan barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar dan keputusan bicara dalam perbicaraan berhubung kenyataan polis bahawa Azilah yang menunjukkan tempat Altantuya dibunuh dan diletupkan.

Walau apapun, semua pertuduhan dan spekulasi akan terjawab pada Jumaat ini apabila Mohd Zaki menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggukan ini.

— BERNAMA

Alahai… Selamat Hari Raya!

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Oktober 29, 2008 by syirfan

Di penghujung Aidilfitri, kami bersama di ofis menganjurkan pot luck. Sekadar suka-suka dan menghabiskan masa bersama. Maklumlah sama ofis tetapi jarang berjumpa.

Tahniahlah pada Mak Yam (paling kanan) yang berjaya menguruskan majlis ini.

Semua bersedia untuk makan. Ini hanya beberapa pelakon di FM Production. Kami ada lebih dari 100 pelakon!

Antara pelakon yang suka makan…

Oleh kerana kami di bahagian production sangatlah western oriented, maka kami pun menyediakan pizza pada tika bahagian lain menyediakan sate, laksa, lemang dan seumpamanya.

Tapi yang menjadi persoalan, kenapa mee kari cik murni juga yang jadi pilihan!

Syahmi dan Allahyarham Bakhtiar

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Oktober 29, 2008 by syirfan

Sewaktu aku menyelongkar ribuan gambar-gambar yang sedia ada, aku tiba-tiba terperasan salah satu gambar yang diambil lewat awal Aidilfitri yang lalu. Gambar ini diambil di tanah perkuburan di kampung halaman ku.

Sememangnya setiap kali kembali ke kampung, aku akan berkunjung ke tanah perkuburan ini. Tidak ada bezanya kunjungan kali ini. Selain aku datang bersendirian, aku juga pernah hadir ke tanah perkuburan ini dengan Syahmi. Bezanya kali ini, aku mulakan perjalanan ke kubur dengan bercerita pada Syahmi tentang konsep kawan, sahabat dan persahabatan.

Bila sampai ke kubur syahmi bertanya ” kat kubur pun ada kawan ayah?”

Pada Syahmi aku ceritakan tentang persahabatan aku dengan Bakhtiar dan bagaimana beza dunia yang kami diami kini tidak pernah memutuskan makna persahabatan kami.

Syahmi mengangguk tanda faham dan mengangkat tangan berdoa seperti biasa…

“Ayah sihat, umi sihat, adik sihat, … kawan ayah sihat. Amin”

Perlukah aku menangis?

Kepuasan Kerja

Posted in Buah Fikiran, Senyum Tangis 'Aku' on Oktober 29, 2008 by syirfan

Apabila aku menerima email yang bertajuk : Modern Slavery, Zombie Employees dan Kepuasan Kerja tidaklah aku endahkan sama sekali. Namun bila beberapa email yang dihantar kenalan-kenalan rapat mempunyai tajuk yang sama, aku gagahkan juga untuk membaca.

Hasilnya, aku terhenyak di kerusi bila aku mula menafsir dan mentakrif setiap isu yang disampaikan. Lantas aku pun mengatur persoalan sama seperti yang ditulis. Pekerja moden sememangnya menghabiskan lebih dari 40 jam seminggu di ofis. Malah ada yang mencapai 60 jam seminggu. Aku? mencapai juga tahap maksimum itu.

Persoalannya adakah aku puas? Apakah kayu ukur yang wajar aku gunakan untuk membawa kepada kesimpulan : aku puas dengan apa yang aku usahakan!

Untungnya rencana pendek itu telah memberikan 4 elemen yang boleh membantu. Elemen pertama yang disebut adalah makna dan cabaran kerja. Ia merujuk kepada ruang yang membolehkan kita membuka dimensi kita sendiri. Ruang untuk bereksperimen dan ruang untuk melakukan kesalahan. Dalam ruang lingkup kerjaya aku, ruang-ruang ini penting untuk memperkasakan individu (pekerja). Memperkasakan pekerja barulah kemudian memperkasakan sistem. Sistem pada peringkat awal hanya pagar yang mengawal. Bila perkerja telah matang, pagar hanya berfungsi sebagai tanda – sejauh mana pergi, tahu mana ia bermula.

Secara jujur ruang ini ditawarkan di tempat aku bekerja kini. Jika ruang ini disediakan, “makna dan cabaran kerja itu” lengkaplah sudah.

Elemen kedua yang dipersoalkan dalam rencana dan diri aku kini ialah ganjaran. Ia pastinya merujuk kepada tangga gaji, kenaikan, bonus, dan seumpamanya. Ia impian semua dan pastinya cabaran bagi majikan. Secara jujur juga elemen ini terasa tidak terisi dalam diri aku.

Satu lagi yang wajar dirujuk adalah ganjaran spiritual. Ganjaran dari majikan yang berkata – “bagus, ada telah memulakan sesuatu yang baik”,  “Usaha lagi”, “tidak mengapa, kita akan cuba lagi” dan sebagainya. Ganjaran serupa ini sebenarnya lebih dinilai terutama dari aku, producer cabok yang lebih mengimpikan kata-kata manis dari ucapan serupa “ini arahan, anda mesti selesaikannya!”.

Tolonglah, pada tahap ini aku sebenarnya sudah cukup letih. Menjadi penerbit, penyelidik, penerbit content, penulis skrip dan pengurus produksi untuk satu program mega sudah cukup mencabar. Ditambah dengan menjadi perantara, penulis skrip dan penerbit untuk content mobile. Kadang-kadang aku berfikir, ada tak orang yang boleh buat kerja macam aku buat. Kalau ada, confirm aku akan jadikan dia mentor seumur hidup.

Itulah sebabnya ada kenalan rapat yang berkata, “Syirfan, kalau kau pergi ke company lain, mereka akan berebut dan sanggup bayar gaji kau dua kali ganda dan mungkin lebih”…

Aku hanya mampu tersenyum kerana akal aku pun bertindak kilat – adalah company baru boleh menawarkan “ruang” dan dalam masa yang sama adakah boleh aku lupakan pada company yang mengajar aku makna “ruang” itu.

Tengoklah sebulan ini. Apa muzik yang dimainkan, dan apa tari yang harus aku tarikan…

Elemen ketiga merujuk kepada sokongan rakan sekerja. Dengan sokongan, pekerja biasa pun boleh pergi jauh. Di ofis ini, elemen ini jadi yang utama. Semua mendukung satu sama lain. Kita naik sama-sama. Segelintir sahaja yang memilih untuk “bermain” dengan “semalu”. Memanglah semalu mengucup bila dipegang, tapi jangan lupa durinya juga tajam menikam.

Elemen terakhir adalah bos yang sentiasa menyokong. Dalam hal ini aku sentiasa terkenang dan berterima kasih Puan Simah Husain – Penerbit Rancangan TV, RTM. Dalam sejarah kerjaya aku, dengan beliaulah aku pertama kali bekerja. Bagusnya beliau, beliau sentiasa menyuruh aku buat benda yang baru yang memang aku tak tahu. Hasilnya pastilah kesilapan dan kegagalan. Namum bagusnya, dia sentiasa berkata “tak pelah kalau silap. Buat lagi sampai betul..”

Dek kerana membuatnya berulang kali,  aku bersyukur dalam tempoh 4 tahun di RTM, khatam sudah pengajianku di sana. Itulah sebabnya aku tak malu berkata, RTM adalah universiti kedua aku. Jujurnya aku merindui nasihat.

Akhir kata, keempat-empat elemen inilah yang mampu menzahirkan kepuasan kerja. Lantas, dalam rona-rona ini, dimana aku? 

Dokumentari?

Posted in Buah Fikiran, World Documentary on Oktober 28, 2008 by syirfan

Awal pagi lagi aku dihukum dengan satu soalan. Adakah wujud bentuk-bentuk tertentu dalam dokumentari?

Memang wujud bentuk-bentuk itu. Bagi yang bertanya, aku lampirkan nota yang merujuk kepada bentuk dokumentari. Harap boleh membantu walaupun dalam bahasa Inggeris. Nota ini aku petik dari bahan bacaan yang sedia ada. Bagi sesiapa yang sekadar hendak membaca, anggapla ia sebagai ilmu.

Bentuk dokumentari:

1) EXPOSITORY DOC’S
Commenting on the Acting of the scene rather than being a part of it
-A lot of times Propaganda films (TV NEWS)
-Express point of view clearly and leave little room for misinterpretation

2) OBSERVATIONAL DOC’S – MIRROR TO THE WORLD
  Way it’s going on, is going on
-Keeping the camera rolling
-Story comes out of the life of the people, not from the actions of individuals
-Conveys the rhythms and texture of everyday life

3) REFLECTIVE DOC’S
A relationship between the filmmakers and its subjects
-Seen through the eyes of the filmmaker. They are usually the main character in their own film and fimmaker ia a part of the film.

4) IMPRESSIONISTIC DOC’S
NO RULES-Poetic instead of argumentative-Generally categorized under Experimental film

Bantal oh bantal…

Posted in Buah Fikiran, Kisah sebuah Istana on Oktober 28, 2008 by syirfan

Cuti yang lalu aku banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan pastinya meluangkan lebih banyak masa untuk isteri yang sedang menunggu untuk melahirkan cahaya mata kami yang ketiga.

Salah satu aktiviti kami berdua adalah shopping!

Pada fikiran aku yang agak kuno ini, shopping bolehlah dianggap terapi pada si isteri yang sedang tertekan untuk melahirkan cahaya mata kami. Malah mengikut sejarah kelahiran anak-anak kami yang lepas, sebelum kami ke hospital untuk melahirkan baby, confirm kami bermula di pusat membeli belah dan kemudian barulah ke wad bersalin.

Untuk kali ini, jangkaannya begitu juga. Berputar-putarlah kami berdua di pusat membeli belah dan gudang jualan perhabisan stok. Sampai hari ini, baby tak keluar-keluar lagi. Mungkin masih selesa dalam kandungan uminya.

Kali ini yang tercetus pada fikiran ku bukanlah pasal kelahiran baby, tetapi pasal bantal!

Sewaktu kami berputar-putar di salah satu jualan gudang yang kami kunjungi setiap hari, 2 kali sehari.. ternampaklah bantal yang sangat istimewa. Harganya, sebelum potongan adalah RM1100. Selepas potongan bolehlah dibeli pada harga RM550.

Ia agak murah selepas potongan harga. Persoalannya, mengapa bantal ini dijual dengan harga yang sebegitu tinggi. Bantal yang kami gunakan dengan harga yang jauh lebih rendah tetap membuat tidur kami lena.

Adakah dengan menggunakan bantal seperti ini akan menyebabkan mimpi akan lebih indah atau mimpi akan berbau wangi?

Entahlah, sehingga kini kami berdua masih terfikir tentang mereka yang membeli bantal-bantal istimewa ini…

Shamsiah Fakeh dan “Keadilan Sejarah”

Posted in Buah Fikiran, Sebuah negara bernama "Malaysia" on Oktober 22, 2008 by syirfan

 

20 Oktober 2008, perginya “Wanita Komunis Terakhir” – Shamsiah Fakeh jauh dari kita. Pergi untuk melengkapkan kembaranya. Pada jam 5.30 petang, diiringi dengan tangisan, jenazah Allahyarhamah Shamsiah Fakeh dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Perginya dengan meninggalkan tanda tanya dalam sejarah…

Shamsiah Fakeh dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Gemuruh kira-kira satu batu dari pekan Kuala Pilah. Shamsiah merupakan puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok.

Pada peringkat awal perjuangan menuntut kemerdekaan, lahir beberapa parti politik berhaluan kiri umpamanya API atau Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai Ahmad Boestamam dan AWAS ataupun Angkatan Wanita Sedar yang diketuai oleh Shamsiah. Penglibatan dalam parti inilah yang membuahkan semangat nasionlisme yang tinggi pada Shamsiah

Shamsiah  Fakeh berkahwin sebanyak 5 kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir baginya. Beliau juga pernah berkahwin dengan Ahmad Boestamam namun Boestamam tidak pernah menulis darihal perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau.

Perkahwinannya dengan Boestamam terganggu dengan penahanan Boestamam oleh kerajaan penjajah British pada April 1947. Dalam hal ini Shamsiah menyatakan betapa Boestamam telah diheret ke mahkamah atas pertuduhan menghasut melalui karya panas beliau “Testamen API” yang telah diharamkan oleh pihak penjajah. Boetamam telah didapati bersalah dan kemudiannya didenda seribu dua ratus ringgit ataupun 9 bulan penjara. Boestamam telah membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan.

Isu nya bermula disini. Pada Shamsiah, seorang nasionalis akan lebih rela merengkok di dalam penjara. Namun bagi Ahmad Boestamam, beliau lebih diperlukan diluar. Tindakan Boestamam membayar denda dan tidak rela dipenjara membuatkan Shamsiah Fakeh kecewa dan dikatakan itulah puncanya mereka bercerai.

Apabila penjajah British mula mengekang gerakan politik Melayu yang dianggap ekstrim dan kiri, Shamsiah dan rakan-rakannya mula terasa tertekan. Penahanan Boestamam dan ramai lagi mengakibatkan API dan badan-badan gerakan kebangsaan lain kemudiannya diharamkan dan lumpuh. Akibat daripada tekanan pihak penjajah yang berterusan inilah akhirnya Shamsiah membuat keputusan menurut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya untuk lari masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan bersenjata dari sana.

“Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan.”

Hutan  akhirnya mendewasakan Shamsiah dan memantapkan lagi pegangan beliau terhadap perjuangannya.

Seterusnya dari hutan pada tahun 1956 Shamsiah berhijrah dengan suaminya Ibrahim Mohamad ke China, dihantar oleh PKM untuk belajar. Pasangan ini terus berada di sana dan memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa. Pada tahun 1965 mereka ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shamsiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.

Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China.

Shamsiah kemudiannya menghadapi situasi pergolakan dalam PKM sehinggalah beliau dan suaminya dipecat dari parti yang mereka anggotai itu lalu menjadi rakyat biasa di China sehinggalah berjaya pulang ke tanahair pada tahun 1994 atas keizinan kerajaan Malaysia. Kepulangannya ekoran perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dan PKM pada tahun 1989 yang bagi beliau menandakan tamatnya permusuhan 41 tahun kedua-dua pihak.

Uniknya perjuangan Shamsiah, beliau dikatakan tidak pernah pun membunuh malah menembak tentera Melayu.

“Sebenarnya anggota Polis dan tentera memang tak perlu berdendam dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis atau tentera kerajaan. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka.”

Namun sebagai seorang pejuang tulen, bagi Shamsiah perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan.

Bagi Shamsiah beliau adalah pejuang kemerdekaan Negara walaupun tidak diiktiraf demikian oleh kerajaan. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah walaupun cuba dinafikan oleh pihak-pihak tertentu.

“Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.”

Sejauh mana kita boleh menerima perbezaan ini? Sejauh mana pula memberi tafsiran pada setiap tindakan dan fahaman yang dipegang hingga mati oleh Shamsiah Fakeh. Perlu kita ketahu bahawa derita Shamsiah tidak pernah berakhir

Cuma yang paling beliau kesalkan adalah apabila bekas Pengerusi PKM Musa Ahmad pernah semasa wawancara di RTM pada tahun 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai untuk mati. Dan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1987 seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis.

Kedua-dua kenyataan tersebut dinafikan oleh Shamsiah Fakeh.

Lantaran itu karya beliau yang telah diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia berjudul Memoir Shamsiah Fakeh Dari AWAS ke Rejimen ke-10 harus dianggap usaha mulia walaupun sedikit lewat.

Mungkin buku ini tidaklah seberapa jika dikira dari sudut nilai harganya ataupun keuntungannya, tetapi membaca buku ini sekurang-kurangnya memberi keadilan sejarah pada Shamsiah Fakeh. Mungkin cerita-cerita Shamsiah Fakeh telah tabu dalam kotak pemikiran kita, namun berilah sedikit ruang untuk mengetahui apakah sebenarnya dalam kotak pemikiran wanita komunis terakhir.

Apapun, pemergian Allahyarhamah akan terus dirasai pada tika mula berfikir tentang “keadilan sejarah”.

Al-fatihah.