Arkib untuk November, 2008

Keliru

Posted in Buah Fikiran on November 30, 2008 by syirfan

Seorang pengembara berhenti di satu persimpangan. Dia keliru untuk memilih laluan untuk ke kanan atau kiri. Bertanyalah pengembara itu kepada seorang tua yang lalu disitu, “kemanakah sampainya jika saya melalui salah satu laluan ini?”.

Orang tua itu berkata, “kemanakah tujuan anda?”. Pengembara itu menjawap, “saya tidak tahu.”

Orang tua itu menghela nafas panjang sambil berkata, “kalau begitu ikutlah laluan manapun. Apakah bezanya?”

Advertisements

Happy Birthday Princess!

Posted in Kisah sebuah Istana on November 30, 2008 by syirfan

img_1367-edit

Sabtu yang lalu adalah Ulang Tahun Kelahiran Puteri Syahmina Zafirah. Tiada sambutan besar-besaran. Hanya kami sekeluarga sahaja yang meraikanya. Penuh dengan kegembiraan dan kenangan.

Namun, disebalik itu, ada perkara penting yang berlaku pada puteri yang seorang ini.

Awal pagi, Syahmina kembali menyebut kehendaknya. Kali ini jauh lebih yakin. Beliau mahu menindik telinga dan mahu memakai subang.

Akhirnya kami mengambil keputusan yang melaksanakannya. Ia mungkin akan lebih diingati kerana ia dilaksanakan pada Ulang Tahun Kelahirannya yang ke-3.

29112008006

29112008008 

Selepas beebrapa titik air mata mengalir dek kesakitan menindik telinga, Puteri Syahmina Zafirah kini jauh lebih cantik dan comel dengan subangnya… Alahai anakku…

Oh, kehidupan

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on November 27, 2008 by syirfan

7 pagi – Aku mulakan kerja dengan mengemaskini treatment History Channel yang tak siap-siap tu di rumah.

11 pagi – Aku, my bos – Akmal dan Akob dah terpacak depan Wisma Penyayang untuk meeting bersama ASTRO berkenaan dengan program epik. Meeting selesai jam 1 tengahari.

1.15 hingga 2 petang – Aku, Akmal dan Akob makan tengahari bersama Jaya dari ASTRO sambil meeting berkenaan program baru yang mesti diselesaikan segera.

2.30 petang – Aku dan my lovely team CAM 2 meeting dengan Jaya di Wisma Penyayang. Akmal dan Akob balik ofis dulu.

27112008001

27112008

5 petang – meeting selesai. Aku drive balik ke ofis di Shah Alam. My lovely team menghilang pergi shoping.

6.15 petang – sampai ofis. Terus meeting bersama CEO berkenaan program baru.

6.45 petang – aku jadi presenter untuk news break. News break ini akan dipresent ke telco.

27112008004

27112008010

8 malam – Aku diinterview untuk Alexander Bukan Zulkarnain.

27112008017

10.00 malam – aku baru duduk di meja aku dan baru buka laptop dan check email.

10.45 malam – balik rumah sambil bersms dengan bos aku berkenaan apa yang berlaku hari ini.

11.30 malam – sampai rumah dan terus makan makanan yang baru disediakan oleh isteri aku.

11.50 malam – aku angkat sorang-sorang anak-anak aku untuk letak mereka di bilik tingkat atas. Kalau aku balik lewat, memang anak-anak aku tidur dulu di ruang tamu. Aku balik baru aku angkat mereka. Namun hari ini hari paling istimewa kerana aku perlu dukung 3 orang anak untuk ke bilik atas. Ini pertama kali Syamil tidur di bilik atas. Letih sikit. Biasa kena angkat dua, hari ini tiga!

27112008018

Namun, banyak-banyak benda yang aku lakukan hari ini, 2 perkara terakhir itulah yang paling indah di hati aku…

Oh, kehidupan…

Membina Istana 2

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on November 26, 2008 by syirfan

MEMBINA ISTANA 2

ku susun juga batu-batu fikir ini
jadi benteng istana rimba
ku junjung akar meranti terbaik
untuk jadi tangga ke puncak istana…

ku lilit tegap dedaun hikmah
ku carik semambu kuning warisan ayah
ku empang taufan nafsu payah
agar ceritera kita tidak terpisah…

ku jenguk juga kolam masa itu
jernihnya masih seperti semalam
teratai manja malu untuk tenggelam
dan cinta berudu itu tetap segar hingga ke malam…

semalam aku didatangi merpati wangi
tersedan dalam ratap
ku kumpulkan semua waris rimba
untuk dengar tangisnya bercerita

“di luar sana cengkerik tidak lagi berbunyi,
kelkatu hilang sayap menjelang senja..
dan kita akan hilang bunga cinta
dan ribuan kata-kata”

lantas nujum ku menderita
menjerit meningkah gunung sejarah…
dan lantai istana ku merekah..
berdarah!

 

syirfan

*sekadar sebuah karya sambungan…

Membina Istana

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on November 26, 2008 by syirfan

Membina istana
(untuk di mengertikan)

Ingin rasa dirikan sebuah istana
Nun, jauh di dalam belantara.

Ingin ku cipta bentuknya
Dari lapisan langit yang jujur
Atapnya nanti biarlah awan semangat
Dindingnya angin gerak manja
Lantai tanah sumpah: api dan air.

Pakis, meranti,senduduk dan selasih…
Kuang, reriang, kelkatu dan kancil…
Bersatu…pasti…

Matari akan tertangguh-tangguh
Masa menyiram cahaya
Pelangi kian segan untuk muncul
Dalam ritma bengkoknya.

Bulan akan jadi lampu tidur
Selimut adalah bayu telus
Bintang ketawa
Bersama riang unggas belantara.

Kita lihat nanti
Berudu di tasik masa
Memadu cinta hingga ke tua
Walaupun ia sedar
Usianya sejengkal cuma.

Kita petik nanti
Zat-zat dedaun tegar
Biarkan embun segar
Menumpang kasih
Lalu titik
Dalam lirik alir lembut matamu.
Akan terluah nanti
Tangis pungguk
Tangis gembira
Tangis bangga
Bila rembulan mula tunduk
Mencari makna: sejahtera sebuah istana

Kita resapi nanti
Ulas-ulas makna kata-kata ahli rimba
Menyahut, menjerit, merintih, meminta
Supaya istana kita jadi kota…
Untuk biarkan kita jadi raja.

 

syirfan

*Sekadar sebuah karya yang dah lama bersembunyi…

Ypatia dari Greece

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on November 26, 2008 by syirfan

Tika masing-masing sibuk untuk menyiapkan “Alexander Bukan Zulkarnain”, Alexandros- teman dari Greece mengantar beberapa keping gambar sewaktu sesi penggambaran di sana. Salah satu gambar tu terselitlah gambar aku dan Ypatia di Pella.

Ypatia adalah salah seorang teman penyampai yang turut serta dalam pembikinan “Alexander Bukan Zulkarnain”. Ypatia adalah anak tempatan yang mula jatuh cinta pada sejarah bangsanya. Mungkin rezekinya lebih baik kerana teman aku – Alexandros adalah pakwe beliau. Alexandros memang kekar dan tegar dengan kepercayaan bahawa Alexander adalah menakluk dunia yang terbaik yang wujud di muka bumi ini.

Maka, kalau korang tak nak tengok muka aku yang tak kacak ini di skrin televisyen tika menikmati dokumentari “Alexander Bukan Zulkarnain, sekurang-kurangnya tengoklah dokumentari tu kerana nak tengok Ypatia yang diakui oleh krew dokumentari ini sebagai perempuan paling cantik yang kami temui di Greece. hehehehe 

Sunat aka khatan

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on November 23, 2008 by syirfan

Lewat malam tadi, sewaktu melayan kerenah anak-anak yang hendak tidur, sempat juga menonton sebuah drama berjodol “sunat”.

Ia sebuah cerita mudah. Ada tiga Plot. Satu berkait dengan sepasang suami isteri yang baru dapat anak lelaki dan mereka hendak sunatkan budak itu pada usia masih bayi. Plot kedua berkait dengan seorang remaja yang kebingungan dan ketakutan untuk bersunat walaupun usianya telah jauh dewasa. Plot ketiga berkait dengan seorang mamat orang putih yang hendak masuk islam dan dalam masa yang sama takut untuk bersunat.

Ia memang sebuah cerita yang sangat gembira. Tidak wujud langsung tekanan. Ia memang sebuah drama yang menghiburkan. Pemilihan topik sunat juga menarik apatah lagi sudah tiba musim untuk melihat anak-anak menjerit ketakutan dan ada yang berlari satu kampung ketakutan.

Walaupun drama ini memaparkan sedikit krisis budaya berkait dengan bersunat di kampung dihadapan mudim atau di bandar berhadapan dengan doktor, ia masih relevan dengan persoalan yang basa-basi dalam masyarakat. Kini walaupun selesa dengan doktor, peranan mudim masih ada kalau mahu diusahakan.

Tahukah anda bahawa rekod terawal berkait dengan sunat/khatan ini tercatat pada batu bersurat Mesir purba di Saqqara. (Aku dah sampai tempat ni, tapi tak tahu pulak batu bersurat itu merujuk pada aktiviti bersunat. kalau tahu, confirm aku akan kaji kerana ia berkait dengan budaya yang kita guna pakai hari ini.)

Sekadar menzahirkan gembira menonton drama sebegitu. Ia benar-benar menghantar aku pulang dalam kenangan. Masih ingat lagi gembiranya bila dah bersunat. Rasa dah bersedia nak khawin aje.. hahaha.

Masih ingat lagi cerita-cerita kawan yang melalui detik-detik untuk dewasa itu. Macam-macam cerita suka dan gembira. Memang, bersunat adalah salah satu budaya yang sungguh gembira bila dilaksanakan…

Waktu itu juga aku berfikir, anak aku nanti nak aku sunatkan kat kampung atau di bandar?

Korang macam mana?

Entry ini tidak ada gambar disertakan. Kalau ada, confirm dilabel lucah. hehe