Membina Istana 2

MEMBINA ISTANA 2

ku susun juga batu-batu fikir ini
jadi benteng istana rimba
ku junjung akar meranti terbaik
untuk jadi tangga ke puncak istana…

ku lilit tegap dedaun hikmah
ku carik semambu kuning warisan ayah
ku empang taufan nafsu payah
agar ceritera kita tidak terpisah…

ku jenguk juga kolam masa itu
jernihnya masih seperti semalam
teratai manja malu untuk tenggelam
dan cinta berudu itu tetap segar hingga ke malam…

semalam aku didatangi merpati wangi
tersedan dalam ratap
ku kumpulkan semua waris rimba
untuk dengar tangisnya bercerita

“di luar sana cengkerik tidak lagi berbunyi,
kelkatu hilang sayap menjelang senja..
dan kita akan hilang bunga cinta
dan ribuan kata-kata”

lantas nujum ku menderita
menjerit meningkah gunung sejarah…
dan lantai istana ku merekah..
berdarah!

 

syirfan

*sekadar sebuah karya sambungan…

2 Respons to “Membina Istana 2”

  1. hebat Tuah dalam meningkah
    hebat Jebat tika meradang
    kalau lantai istana merekah
    belum tentu panglima kecundang

    Janji palsu hanya di mata
    layak dihumban ke dalam sawah
    walau dipuja bunganya cinta
    jangan dilupa akar di bawah

    menjahit kerongsang kebaya nyonya
    sambil mengunyah buah berangan
    teguh istana kerana sultannya
    kukuh istana kerana dukungan

    anak dara tersenyum rapi
    terubat luka jiwa nan parah
    nujum cuma penafsir mimpi
    kita jugalah penentu sejarah!

  2. Auww..
    malu pulak nak membalas.

Tinggalkan komen