Promosi Alexander Bukan Zulkarnain (4)

* Diambil tanpa ubah suai dari Berita Harian 2 Januari 2009

Siapa sebenarnya Iskandar Zulkarnain?

Oleh Zul Husni Abdul Hamid


DOKUMENTARI Alexander Bukan Zulkarnainmengupas kekeliruan yang selama ini dipegang oleh masyarakat Islam terutama di Asia Timur dan Selatan.

Dokumentari lima episod merungkai misteri tokoh hebat yang ditulis dalam al-Quran dan Hikayat Sejarah Melayu

KEKELIRUAN mengenai identiti Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam surah Al Kahfi serta kaitannya dengan Alexander The Great yang berlarutan sehingga 3,000 tahun cuba dijelaskan menerusi penerbitan dokumentari, Alexander Bukan Zulkarnain yang bersiaran di Astro Prima, mulai 9 Januari ini.

Topik penting dalam dokumentari lima episod terbitan Firdaus Maju Sdn Bhd ini selain menjelaskan kekeliruan itu, turut mengupas status siapa lelaki sebenar dalam surah Al-Kahfi ayat 89 hingga 98 yang secara jelas menyatakan tokoh perang itu ialah Nabi Zulkarnain.

Kupasan itu dibuat berikutan timbul persoalan apabila masyarakat Islam terutama di Asia Selatan dan Timur mengaitkan Nabi Zulkarnain sebagai Alexander The Great, tokoh perang bangsa Greek dari Macedonia.

Kekeliruan yang berlarutan tanpa huraian sejarah terperinci menyebabkan umat Islam terus mempercayai Alexander The Great berjaya menakluk hampir separuh dunia menerusi puluhan siri peperangan hingga ke sempadan China sebagai Nabi Zulkarnain.

Kepercayaan itu diburukkan lagi apabila persuratan Melayu termasuk Sulalatul Salatin (sejarah Melayu), Hikayat Raja-Raja Pasai dan pelbagai manuskrip kerajaan Islam yang pernah bertapak di India mengaitkan jurai keturunan mereka sebagai pewaris Alexander The Great yang disifatkan sebagai Iskandar Zulkarnain.

 

KETUA Pegawai Eksikutif FM Production, Zainal Rashid Ahmad (tengah), menyerahkan surat perjanjian kepada Naib Presiden Kanan Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmudin Abdullah sambil diperhatikahn oleh Pengarah Eksekutif Astro, Zainir Aminullah (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi SKMM Mohamad Shahril Mohamad Tarmizi (dua dari kanan).

Sehubungan itu, penerbitan dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain dilihat sebagai perintis jalan untuk membuktikan penerbit dokumentari perlu memainkan peranan lebih besar, signifikan dan relevan selain membetulkan tanggapan yang diwarisi tanpa berasaskan fakta sejarah.

Ketua Pegawai Eksekutif FM Production, Zainal Rashid Ahmad berkata, dokumentari itu juga mempunyai kaitan secara langsung dengan bangsa Melayu terutama dalam memperbetulkan fakta Sulalatul Salatin dalam bab pertamanya yang menyebut Kesultanan Melayu berasal daripada keturunan Alexander The Great.

“Pembetulan ini sangat penting kerana ia memisahkan kebenaran Al-Quran sebagai rujukan umat Islam dengan persuratan Melayu yang didorong kepentingan istana untuk mempergunakan catatan sejarah Al-Quran sebagai jalan pintas membina legasi kerajaan mereka,” katanya pada sidang media pelancaran dokumentari itu, baru-baru ini.

Tambah Zainal Rashid lagi, sepanjang penerbitan dokumentari itu mereka mendapati ada jaluran fakta daripada orientalis Barat dan persuratan Islam/Melayu yang boleh dibandingkan untuk menemukan titik kebenaran.

HASIL kajian yang dipaparkan dalam Alexander Bukan Zulkarnain turut mendapat perhatian sejarawan asing.

“Paling penting, penemuan ini bertujuan memperbetulkan kesilapan masa lalu golongan berkepentingan yang menggunakan tokoh dalam Al-Quran sebagai alat membina legasi mereka,” katanya.

Mengejutkan sejarawan Greek

Dokumentari yang menelan belanja RM1.55 juta dan menjalani penggambaran selama 32 hari di lapan negara meliputi tiga benua itu turut mendedahkan konspirasi teks yang dikuasai pihak istana dan cuba memanipulasi sejarah kepahlawanan Nabi Zulkarnain dengan menggunakan kemasyhuran Alexander The Great.

Katanya, ruang kosong dalam pensejarahan Islam harus diisi generasi muda masa kini bagi mengimbangi keperluan khazanah keilmuan Islam supaya dokumentasi itu mempunyai kepentingan sama taraf seperti fekah, tauhid, usuluddin dan syariah.

Zainal Rashid berkata, usaha mereka ini turut membangkitkan kejutan kepada sejarawan Greek yang tidak menyedari Alexander selama ini dikaitkan sebagai Nabi Zulkarnain, malah namanya pernah muncul dalam pelbagai teks Melayu klasik yang berorientasikan penulisan Islam untuk kepentingan istana.

Penerbitan dokumentari itu direalisasikan dengan bantuan Geran Pembangunan Kandungan Rangkaian (NCDG) sebanyak RM1 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Skim yang dilancarkan sejak Julai 2007 itu secara tidak langsung memacu industri isi kandungan tempatan dan pemberian geran itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan industri isi kandungan di negara ini.

“Sebagai pemain kecil dalam bidang dokumentari, kami sangat menghargai sokongan SKMM serta bantuan teknologi Celcom dan Astro yang menjadi saluran rasmi untuk tayangan penerbitan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah berkata, Astro komited dalam menyediakan platform untuk mengembangkan industri pengisian kandungan, selain menggalakkan bakat tempatan menyemai daya kreativiti mereka dalam menghasilkan produk yang cemerlang.

Sehubungan itu, katanya, Astro berbesar hati dapat berganding bahu dengan SKMM malah hingga ini menjadi pelabur tertinggi dalam bidang pengisian kandungan tempatan.

“Astro menggalakkan usaha ini sebagai persaingan di peringkat global. Ia dapat meningkatkan industri komunikasi dan multimedia yang berkesan bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial masyarakat,” katanya.

Dokumentari ini juga dapat diikuti menerusi perisian mudah alih Celcom 3G menerusi talian *8884. Menerusi perisian itu, pengguna dapat mengikuti laporan harian enam kali sehari yang dikirim krew penggambaran.

Selain itu, perisian berkenaan juga akan dikemaskini dengan pelbagai visual menarik termasuk fakta mengenai kota lama dan tinggalan sejarah penting di Yaman, Iran, Uzbekistan dan Russia .

Menerusi perisian terbaru, Channel C yang boleh diakses dengan mendail *119#, pelanggan talian Celcom akan dibekalkan dengan kandungan berunsur keislaman dan berita hiburan.

Alexander Bukan Zulkarnain menemui penonton di Astro Oasis (saluran 106) setiap Jumaat, jam 10 malam bermula 9 Januari ini.

Satu Respons to “Promosi Alexander Bukan Zulkarnain (4)”

  1. ahlan ya maulna krana mmbri pnrngn yg nyta,,,,kian trhkis islam ddnia skrg,,,,,,,,,saya brhrp saudara dpt mmbrikn mklmt lbh lnjut tntg nabi zulkarnain…..trma ksh….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: