Promosi Alexander Bukan Zulkarnain (6)

*Diambil tanpa ubah suai dari Utusan Malaysia 7 Jan 2009

Mencari siapa Alexander The Great

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

 

TAHUN 2004 menyaksikan pengarah terkenal Oliver Stone mengarahkan sebuah filem berjudul Alexander yang membongkar kontroversi kelahiran Iskandar Zulkarnain di Macedonia.

Melalui filem itu, Stone menggambarkan Iskandar sebagai pahlawan yang tiada tandingannya, seorang yang keras tetapi tidak begitu kejam dan kebijaksanaannya jauh mengatasi pahlawan-pahlawan legenda lain.

Namun, dalam filem berkenaan, Stone gagal membawakan kehebatan Iskandar yang agung malah watak Iskandar yang dibawakan oleh Collin Farrell tidak jelas menampakkan dia sebagai seorang pahlawan yang hebat.

Itu perspektif Barat mengenai siapakah sebenarnya Iskandar yang turut dikaitkan sebagai Alexander The Great.

Sungguhpun begitu, kisah Iskandar Zulkarnain sebenarnya terdapat dalam al-Quran yang disebut pada surah Al-Kahfi (ayat 83-98).

Sepanjang ayat itu, Allah memberikan latar tentang Iskandar Zulkarnain dan dijelaskan sebagai raja yang beriman serta dikurniakan Allah kekuasaan memerintah dunia.

Lebih mengagumkan, nama Zulkarnain yang disebut dalam ayat terbabit dipertanggungjawab membina tembok pemisah antara dunia manusia serta Yakjuj dan Makjuj.

Di luar konteks al-Quran, kehebatannya turut dikagumi tokoh-tokoh dunia kerana ketika berusia 25 tahun, beliau Zulkarnain telah menakluk 90 peratus dunia.

Persuratan Melayu termasuk Sulalatus Salatin, Hikayat Raja-Raja Pasai dan pelbagai manuskrip daripada Kerajaan Islam yang pernah bertapak di India juga mengaitkan jurai keturunan mereka sebagai pewaris Alexander The Great.

Bagaimanapun, meski beribu-ribu penulisan dilakukan bagi menceritakan tentang Iskandar Zulkarnain, ia masih gagal membongkar siapa sebenarnya pahlawan ulung terbabit.

Bertitik tolak daripada itu, syarikat produksi, FM Production mengorak langkah menerbitkan sebuah dokumentari hebat berjudul Alexander Bukan Zulkarnain bertujuan mengupas siapakah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam surah al-Kahfi dan apakah pertaliannya dengan Alexander The Great.

Memperoleh bantuan Geran Pembangunan Kandungan Rangkaian (NCDG) berjumlah RM1 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), topik penting dokumentari itu adalah untuk menjelaskan kekeliruan yang berlarutan lebih 3,000 tahun membabitkan status Iskandar Zulkarnain.

Keseluruhan dokumentari enam jam ini menjalankan pengambaran selama 32 hari di lapan buah negara meliputi tiga benua dalam membetulkan salah faham umat Islam terhadap fakta kepahlawanan Iskandar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FM Production, Zainal Rashid Ahmad, memandangkan pensejarahan Islam jarang diberi perhatian terutama dalam era perkembangan seni visual, ia menyebabkan tokoh dan peristiwa bersejarah terutama yang disebut dalam al-Quran tidak dapat didokumentasikan.

Penyebaran atau penakrifan tentang dakwah Islam, jelasnya, lebih dikuasai oleh penumpuan terhadap ilmu Fekah, Tauhid, Usuluddin dan Syariah.

“Ini menjadikan sejak era kebangkitan Islam melalui empayar Abasiyah dan Uthmaniah tidak menitikberatkan mengenai pentingnya pensejarahan Islam ditulis sebagai rujukan generasi masa depan.

“Justeru, tidak hairanlah sekiranya hari ini perpustakaan Islam sukar menyediakan rak bacaan bagi merujuk kepada sejarah penting terutama peristiwa yang menimbulkan kekeliruan dan kepelbagaian perspektif di kalangan orang Islam,” jelasnya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian penghasilan Alexander Bukan Zulkarnain di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Perjanjian itu melibatkan FM Production, Astro dan Celcom (M) Berhad yang menyaksikan komitmen Celcom dalam memberi laluan satelit serta perisian telefon dan kerjasama Astro melalui sokongan tayangan dokumentari di saluran Oasis (saluran 106, Astro).

Pada majlis itu, Celcom diwakili Naib Presiden Kanan (Komunikasi Korporat), Datuk Najmuddin Abdullah manakala Astro oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah.

Alexander Bukan Zulkarnain akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 9 Januari ini.

Jelas Zainal, penghasilan Alexander Bukan Zulkarnain bertitik-tolak daripada kajian dan penyelidikannya terhadap pahlawan agung itu sejak dua tahun lalu.

“Saya juga meneliti ribuan terbitan dan penyelidikan beberapa universiti mengenai Iskandar Zulkarnain. Terasa rugi pula andai penyelidikan-penyelidi- kan itu tidak divisualkan untuk tatapan orang ramai.

“Bagi FM Production, lompong kosong dalam pensejarahan Islam harus diisi oleh generasi muda agar dokumentasi sejarah mempunyai status yang sama taraf dengan kepentingan keilmuan lain.

“Pengkajian dalam Alexander Bukan Zulkarnain juga membawa kepada persoalan di mana tembok Yakjuj dan Makjuj. Untuk mengetahui mengenainya, penonton perlu melihat sendiri dokumentari berkenaan,” tambahnya yang kini sedang mencari pelabur untuk penerbitan filem Salahudin Al Ayubi yang dianggarkan mencecah kos sebanyak RM2.2 juta.

Sementara itu, Zainir berkata, sebagai pengumpul dan pencipta pengisian kandungan, Astro amat gigih dalam menyokong perkembangan industri pengisian kandungan di negara ini.

“Selama ini, Astro dilihat lebih menjurus kepada hiburan semata-mata.

“Dengan dokumentari itu, ia menjadi titik mula kepada Astro untuk menyediakan platform dalam menyemai bakat-bakat tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi,” katanya.

2 Respons to “Promosi Alexander Bukan Zulkarnain (6)”

  1. Dengan adanya dokumentari seperti ini sedikit sebanyak dapat menyalurkan pengetahuan kepada umum. Saya juga menyokong dengan penghasilan dokumentari bagi Salahudin Al Ayubi. 5 bintang kepada FM Production.

    Penerbitan dokumentari tokoh-tokoh Islam perlu supaya remaja pada zaman kini boleh mengambil inisiatif dan mencontohi sifat-sifat mereka melalui media massa.

  2. Saudara Zaim…
    Moga “Alexander Bukan Zulkarnain” memberi kebaikan… Jika ada cadangan, sudilah sampaikan pada kami. Jika ada rezeki, boleh kita perkembangkan. Terima kasih kerana hadir dalam revolusi ini!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: