Arkib untuk Julai, 2009

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi on Julai 31, 2009 by syirfan

 Sekadar berkongsi gembira… Sudilah menonton..

“Rosli Dhoby” bawa pulang piala…

Posted in Buah Fikiran, Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on Julai 30, 2009 by syirfan

Festival Dokumentari Malaysia 2009 membawa makna baru… 94 dokumentari bertanding dalam gelanggang..

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh tiba-tiba menjadikan aku ketar dalam malam anugerah tersebut. Tak lalu makan, serta tak selesa.

Aku benar-benat terperanjat apabila Rosli Dhoby dicalonkan dalam 6 kategori dari 10 kategori keseluruhan. Benar. Saya benar-benar takut. Antara memang atau tidak dan jadi isu nombor dua. Saya benar-benar takut dengan pencapaian ini. Rosli Dhoby merupakan dokumentari yang dicalonkan paling banyak kategori.

Bermula dengan Skor Muzik terbaik  dan Suntingan terbaik. Kredit ini sepenuhnya wajar diberikan pada Zaidi (editor dan penolong pengarah) yang tanpa jemu membuat kajian dan ujian. Gagal, gagal dan gagal. Akhirnya, Rosli Dhoby bersiaran dengan penuh emosi pasca sentuhan muzik dan suntingannya.

Rosli Dhoby juga dicalonkan dalam Sinematrografi terbaik. Wajah-wajah krew yang terlibat dalam penggambaran muncul satu persatu dalam kotak ingatan. Masih aku ingat basah peluh mereka melayan kerenah aku yang mahu memulakan pengambaran seawal pagi hingga santak azan subuh. Masih aku ingat lagi Intan yang terjelepok tidur di tangga keletihan.

Rosli Dhoby turut tercalon dalam kategori Skrip terbaik. Ini mungkin pencapaian tertingggi aku. Lebih menakutkan dalam kategori skrip terbaik, skrip Alexander Bukan Zulkarnain juga dicalonkan. Dari 5 pencalonan, aku pegang 2 pencalonan. Ia sememangnya saat aku mengingati wajah-wajah mereka yang tanpa jemu mengajar dan memberi sentuhan ajaib tentang makna sebuah penulisan skrip. Dari RTM yang mengajar aku menulis hingga Astro yang menajamkan lagi pena aku – semuanya buat aku sebak. Rasanya baru semalam skrip aku di tong sampahkan… Kredit untuk skrip Rosli dhoby ini wajar aku serahkan pada Jaya dari Astro yang sangat-sangat keras untuk menjadikan Rosli Dhoby sebuah karya istimewa.

Pengarah terbaik dan Dokumentari Ilmiah terbaik menjadi cagaran seterusnya. Untuk semua ini, kredit aku serahkan pada Aman (penyelidik dan Penolong Penerbit) yang tak pernah mengecewakan dalam kajianya serta Intan (Penolong Penebit) yang sentiasa mengiakan setiap arahan. Terima kasih juga pada Abang Bol Hassan (anak saudara Rosli Dhoby) yang tak pernah berkata “tidak” pada saya. Terima kasih pada semua kawan-kawan di FM Production yang memberi ruang kepada karya ini. Terima kasih pada tenaga kerja di Astro yang mengizinkan Rosli dhoby bersuara.

Pada penghujungnya, “Rosli Dhoby” tersenyum kerana memenagi anugerah Dokumentari Ilmiah Terbaik serta menjadi salah satu dari 4 dokumentari yang bakal merebut anugerah Dokumentari terbaik Malaysia di Festival Filem Malaysia awal bulan hadapan.

Bila sang wartawan bertanya pada aku sebaik sahaja memenangi anugerah ini tentang perasaan dan harapan peribadi untuk memenangi dokumentari terbaik Malaysia awal bulan depan, aku dengan yakin berkata “dengan anugerah Doku Ilmiah terbaik, dicalonkan dalam 6 kategori serta saya dikelilingi oleh kawan-kawan yang pasti bersama dan menyokong saya dalam penerbitan yang lain, saya sudah menang. saya tak perlu berharap lagi. masa depan masih jauh. Anugerah ini hanya sebuah permulaan kecil. Doalah masa depan yang lebih cerah…”

Aku rasa, makam pahlawan di Sibu wangi malam tadi…

Rosli, Alexander Masuk Gelanggang…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 29, 2009 by syirfan

Alexander Bukan Zulkarnain mula bersiaran awal tahun ini selepas lebih dari setahun dalam pembikinan. Ia satu permulaan kepada karya dokumentari ilmiah antarabangsa hasil dari sentuhan anak tempatan. Bukti bahawa anak tempatan juga berani mempertikaikan sejarah demi kefahaman sejagat.

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh baru sahaja bersiaran. Sebuah karya sejarah yang dipersembahkan dengan gaya yang agak kontemporari. Karya yang mempertikaikan fakta yang menyatakan Rosli Dhoby adalah pembunuh dan dalam masa yang sama mengangkat Rosli sebagai ikon kepada konsep perjuangan demi kemerdekaan.

Malam ini, kedua-dua karya ini masuk gelanggang. Gelanggang untuk penilaian.

Adakah mungkin Alexander atau Rosli membawa pulang gelaran Dokumentari Terbaik atau sekadar penghias majlis..

Tunggu semuanya dalam MALAM ANUGERAH FESTIVAL DOKUMENTARI 2009, malam ini di FINAS.

Syamil, luka…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 23, 2009 by syirfan

1 231

Ayah harus akui bahawa kau anak yang paling ayah rindui. Meninggalkan kau pada usia 6 bulan dan ayah hanya akan kembali pada umurmu 8 bulan membuat ayah benar-benar rasa bersalah.

Ayah akan hilang 2 bulan dalam pembesaranmu.

Terasa benar hati ayah bila umi menghantar mesej menyatakan kau telah boleh duduk dengan baik. Sewaktu ayah tinggalkan kau dulu, kau hanya mampu mengiring sahaja.

Lebih terasa bila di Syria umi menghantar mesej bahawa kau dah mula merangkak. Ayah benar-benar terpukul rindu, anakmu. Ayah tak mampu melihat rangkakkan mu yang tertama.

Namun hari-hari akhir ayah di Syria benar-benar berbekas di hati ayah. Kalau mampu, ayah mahu sahaja terbang segera ke rumah cinta kita. Ayah mahu melihat kau dihadapan mata ayah. Ayah mahu mendakap kau sesegera mungkin.

Mesej umi yang menyatakan kau jatuh tangga membuat ayah cukup rungsing. Ayah tak mampu berfikir lagi.

6736_1151360634565_1544125413_369789_4626613_n

Tertanya-tanya juga, mengapa kuat benar dugaan ini. Lelah ayah dalam kerinduan, ketakutan…

Mesej umi yang menyatakan X-Ray yang buat menyatakan kau hanya cedera di luar sahaja tidak cukup memuaskan hati ayah. Lama ayah terbuai dalam kerisauan.

Oh, anakku Syamil… percayalah kau akan kembali pulih. Senyumlah, kerana senyumanmu mampu mengubah dunia ayah dan umi…

*** Nota : Putera Syamil Zafran jatuh tangga di bahagian belakang rumah. Beliau luka di bahagian muka. Syukur keputusan x-ray menyatakan tiada luka dalaman atau pendarahan yang serius.

Syahmi, luka…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 23, 2009 by syirfan

1 113

Syahmi, bertahanlah… Kegembiraan mu menyambut kepulangan ayah yang pulang dari kembaranya nampaknya tidak bersulam gembira sepenuhnya…

Baru sekejap ayah melihat kau gembira ketawa dengan adik-adikmu. Gembira dengan setiap hadiah yang ayah bawa…

Belum 24 jam ayah di rumah, ayah terpaksa melihat kau menangis kesakitan. Ayah tahu ia benar-benar sakit. Terasa benar di hati ayah…

Masihkah  kau ingat, saat itu…Dalam mamai ayah yang sedang tidur keletihan, ayah dengar jelas kaca itu pecah dan kemudian disusuli dengan jeritan kesakitan…

Masihkah kau ingat, umi bergopoh gapah mencari kain. Membalut luka itu. Ayah pegang luka itu. Darah kau mengalir antara jari-jari ayah. Ayah menjerit lagi nama Tuhan. Ayah benar-benar terperanjat…

Ayah dan umi bergegas membawa ke Hospital. Terasa benar hingga kini jeritan dan tangisan kau sepanjang penjalanan itu. Ayah benar-benar berharap ayah sedang bermimpi. Ayah mahu bangun segera dari mimpi itu.

Ayah mahu ayah yang merasa kesakitan itu. Ayah sanggup menerima 100 kali lebih pedih dari itu. Ayah lebih rela. Ayah hanya mahu kau tidak menjerit dan menangis.

Namun anakku, kau anak yang hebat. Kau benar-benar anak kebanggan ayah dan umi. Dalam kesakitan itu kau masih mampu berkata “macam mana nie. Macam mana kalau abang tak ada tangan. Macam mana nak jaga adik nanti”

Mata ayah berkaca gembira nak. Kau benar-benar abang yang melebihkan adik-adik dalam semua benda. Kau memang layan menjaga adik-adikmu…

Perjalanan kereta kali ini terasa sangat jauhnya. Umi yang memandu telah mencuba sebaik dan sepantasnya untuk tiba di hopital. Ayah yang menggenggan lenganmu kian tak keruan bila darah mula muncul pada kain tebal yang membalut luka itu. Ayah benar-benar resah…

Ayah sudah tidak berfikir panjang lagi. Ayah dukung dan ayah tolak pintu kecemasan itu sekuatnya. Ayah mahu kau mendapat rawatan sepantasnya. Ayah sudah tidak peduli dengan rambut keadaan ayah yang bangun tidur. Ayah hanya mahu kau bertemu dengan doktor sepantasnya…

Percayalah anakku, ayah dan umi yang menunggu di luar wad kecemasan itu benar-benar resah. Panjang doa ayah dan umi. Wajah para syeikh, ulama, habib hinggakan makam para nabi yang ayah baru temui dan kunjungi muncul dalam benak fikiran ayah. Ayah benar-benar merayu…

Ayah pegang tangan umi. Tangan umi sejuk. Kami saling berharap. Ayah hampir tidak boleh bersuara…

Bila kau muncul dengan tangan berbalut, ayah dan umi menyampaikan syukur ke pada tuhan. Ayah benar-benar lega…

Maaflah anakku kerana ayah meninggalkan catitan ini di ruang ini. Ayah hanya berharap, bila kau sudah boleh membaca dan berfikir – kau akan terbaca catitan ayah ini. Ayah mahu kau faham bahawa apa yang ayah dan umi larang dan halang agar kau tidak dapat kecelakaan. Ayah juga mahu kau tahu, kasih sayang ayah dan umi pada anak-anak kami, tiada penghujungnya..

*** Nota : Putera Syahmi Zafran mendapat 7 jahitan di lengannya, selasa lalu. Beliau cedera kerana merempuh almari kaca sewaktu bermain gembira…

Akhirnya… kembali di tanahair!

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah, Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 21, 2009 by syirfan

Selepas 52 hari dalam kembara (rekod baru FM Production) menyusuri cerita suka dan duka Madrasah-madrasah yang dibina oleh keturunan Rasulullah di Yaman, Mesir dan Syria – akhirnya 10.15 malam tadi, aku kembali tegak berdiri di bumi kelahiran sendiri.

Tidak ada yang lebih mengembirakan bila melihat sang isteri di ruang menunggu KLIA dan melihat anak-anak terbaring di ruang tamu rumah menunggu pulangnya ayah…

Sehari dua ini mungkin aku akan pengsan keletihan dan merana sedikit dengan sindrom perubahan masa dan cuaca. Insyaallah, dalam masa yang ada aku akan cuba menyusur semula komen-komen di blog ini (https://syirfan.wordpress.com) serta membalas komen yang diberikan. Insyaallah.

Ketemu lagi nanti.. aku sekarang sedang merangka apa yang hendak dimakan.. hehehe (rindu ikan sembilang masak lemak cili api.. argghhhh)

Masih lunyai di Damascus…

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 11, 2009 by syirfan

Salam,

Aku dan krew penerbitan “Madrasah Salasilah Rasullullah” masih di Damascus. Kami diserang dengan kepanasan dan kerinduan… Masih jauh lagi perjalanan ini…

Sukarnya untuk mendapatkan perkhidmatan internet banyak menyulitkan keadaan. Di Syria, internet boleh dikatakan benda baru. Untuk update entry ini sahaja memerlukan beberapa jam untuk upload.

Satu yang menarik ialah – Facebook dilarang di Syria! Dengan ilmu yang ada, aku hanya mampu membuka dan melihat facebook, tetapi tidak boleh edit atau lakukan apa-apa… Oh, tertekannya…

Namun perjalanan rohani ini sangat menarik. Aku secara peribadi melalui pelbagai cerita dan rasa yang akan aku kongsikan bila kembali ke Malaysia nanti, terutama pengalaman aku melalui hari yang cukup istimewa – 11 Julai 2009.

Berdoalah agar kami selamat tiba di Malaysia dan semua tugasan ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya…

Salam perjuangan dari Damascus.