Arkib untuk Ogos, 2009

Dia kembali…

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah on Ogos 26, 2009 by syirfan

Dia kembali ke Kaherah… Kembali bagi melunaskan tangungjawabnya. Setelah kota debu itu ditinggalkan sekian lama untuk menginap di Eropah, dia mengambil keputusan drastik kali ini. Dia harus kembali bersatu dengan leluhurnya.

Semuanya dalam Madrasah Salasilah Rasulullah, 7.30 petang ini…

Kepercayaan…

Posted in Buah Fikiran on Ogos 26, 2009 by syirfan

Semalam seorang kawan mengajar saya sesuatu. Sesuatu yang mungkin dilihat sebagai subjek yang biasa tetapi bila dinilai semula, ia satu subjek yang perlu penaakulan yang lebih.

Saya sering membuat pertanyaan perbezaan antara kepercayaan dan keyakinan. Kalau orang bertanya,  saya sering memberi contoh – kita akan percaya bahawa pemanah itu memang seorang memanah yang hebat kerana boleh memanah buah epal yang berada di atas kepala seseorang. Yakin pula merujuk kepada tahap kita untuk merelakan pemanah itu memanah dengan menjadikan sasaran epal yang berada di atas kepala kita sendiri. Adakah kita yakin dia akan memanah tepat buah epal itu?

Kawan saya berkata pada saya semalam – hubungan antara manusia diikat pada tali yang paling halus. Tali itu bernama kepercayaan. Ia boleh putus bila-bila masa dan bila ia terputus, sangat sukar untuk mendapat tali itu semula. Saya akui tentang itu.

Apa pula yang memungkinkan tali kepercayaan itu putus? Ketidakjujuran!

Kartika dan kekalutan kita

Posted in Sebuah negara bernama "Malaysia" on Ogos 24, 2009 by syirfan
gambar Metro

gambar Metro

Kartika Sari Dewi Shukarnor,  pada 20 Julai lalu dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadapnya selepas dia disabitkan kesalahan meminum arak.

Menariknya – dia bersedia untuk menerima hukuman itu.

Kini, pelbagai pihak muncul memberi pelbagai variasi komen dan nasihat. Antara betul atau salah nasihat dan komen itu, itu cerita lain… Sepanjang mengikuti kes ini semua kita melihat satu senario kalut yang cukup memualkan.

Kekalutan makin jelas bila Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya pula tiba-tiba menyatakan bahawa penahanan dan hukuman sebatan dikenakan kepadanya sebagai melampaui batasan.

“Dalam kes ini, Kartika hanya boleh dipenjara sekiranya gagal membayar denda RM5,000, tetapi saya difahamkan dia sudah menjelaskannya. Justeru, (dengan pembayaran denda) hukuman sebatan terhadapnya tidak boleh dijalankan,” katanya.

Hari ini, kekalutan makin memuncak!

Hukuman sebat ke atas Kartika , ditangguhkan pada saat akhir.

Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Sharifuddin Zainal Ariffin berkata, hukuman tersebut ‘tidak dapat dapat dilaksanakan sekarang’.

Kalut lagi – Kartika pula membuat laporan polis kerana pihak terbabit gagal melaksanakan hukuman tersebut.

Kes ini sepatutnya jadi contoh dan pedoman tentang betapa indahnya menginsafi kesilapan. Kini, Apa yang kita boleh pelajari dari kes ini adalah semata-mata kekalutan!

…solat terawih tanpa henti…

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah on Ogos 24, 2009 by syirfan

hadramaut sanaa 559

Antara lokasi yang pernah saya kunjungi, Tarim adalah lokasi yang paling terkesan di hati. Sebuah kota yang sangat-sangat jauh dari makna kemodenan. Terlalu jauh…

Namun, Tarim terlalu dekat dengan hati. Lokasi ini menjadi kembar kepada asas perkembangan Islam di Timur Tengah suatu masa dahulu. Hingga kini, usaha pemantapan itu sangat jelas dan ia berterusan semenjak wafatnya Rasulullah. Malah bagi kita yang hadir dari sebelah timur terasa bahawa Tarim adalah asal kita. Persamaan budaya berpakaian (berbaju melayu, berkain pelekat), bersosial, malah ukiran kayu di sana sama dengan apa yang ada di sini. Memang perlu kajian tentang bagaimana persamaan ini boleh wujud.

Satu hebatnya Tarim yang tidak boleh dinafikan ialah aktiviti sepanjang bulan Ramadhan terutamanya solat terawih. Dengan mempunyai 365 buah masjid di kota Tarim, membolehkan jemaah memilih masa untuk menunaikan solat terawih. Solat terawih dilaksanakan sepanjang malam hingga solat subuh. Ini bermakna, kita yang hadir boleh solat terawih bila-bila masa yang kita selesa dan di mana-mana masjid yang kita hadir. Bayangkan, sepanjang malam mereka mengingati tuhan…

Kita? jam 10 malam masjid mula sunyi…

Nota – Madrasah Salasilah Rasullulah malam ini akan memaparkan lagi keunikan Tarim, Hadramaut. Sebuah kota kecil di Yaman…

cerita dari tanah yang diberkati…

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah on Ogos 20, 2009 by syirfan

Malam ini, Madrasah Salasilah Rasullulah membawa cerita tentang seorang anak muda Malaysia yang mengabdikan diri pada ilmu di Ribath Tarim, Hadramaut.

Inilah yang meletakkan Mohd Zulfadli b. Mohd Rafaie atau lebih selesa dipanggil  Ali menjadi anak melayu yang istimewa. Merantau jauh dan tegar berdiri di kota lama Tarim. Bila kawan-kawan lain menikmati bangunan moden mencakar langit, Ali menikmati bangunan usang yang dibina dari tanah.

Pada tika kawan-kawan sebaya merantau di negara 4 musim, rela membakar diri dalam kehangatan cuaca di kota yang terlalu sukar menerima hujan.

Namun dia tinggal bukan di kota sebarangan. Dia tinggal di kota yang pernah menempatkan 10,000 wali Allah. Dia tinggal di kota yang pernah didoakan oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.

Dia tinggal di kota yang menempatkan makam para syuhada Badar. Dia tinggal di kota yang menempatkan keturunan Rasulullah.

Dia tinggal di kota yang  dijanjikan dengan air yang tidak putus-putus hingga hari kiamat…

Saksikan keistimewaannya…

Fatimah dari kota Kaherah

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah on Ogos 18, 2009 by syirfan

Madrasah Ibtidai’e Ahmad Al-Libi Al-Azhari, Mesir. Itulah nama madrasah yang bakal dipersembahkan dalam “Madrasah Salasilah Rasullulah” petang ini, 7.30 malam di ASTRO Oasis.

Ceritanya pula berkisar pada keunikan cara berfikir yang dipunyai oleh Fatimah – anak kecil yang membesar dalam institusi dan legasi Universiti Al-Azhar.

Lebih menakjubkan bahawa beliau sendiri adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW.  Serta diselitkan senario budaya bangsa arab dan budaya bangsa melayu tergabung dalam keharmonian hidup di tengah-tengah kota Kaherah.

Semuanya dalam Madrasah Salasilah Rasullulah.

mesti tonton…

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah, Senyum Tangis 'Aku' on Ogos 17, 2009 by syirfan

“Madrasah Salasilah Rasulullah” akhirnya muncul di ASTRO Oasis petang ini, 7.30 malam.

Episod 1 petang ini akan menonjolkan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Rembau. Walaupun Ramadhan  masih belum lagi menjengah, Oasis mengambil pendekatan untuk membawa penonton memahami dulu konsep dan wajah baru dokumentari yang ingin di tonjolkan kali ini.

Kalau sudi, buanglah masa petang ini.

p/s : Penghargaan pada JJ yang menjadi penerbit untuk episod pengenalan ini