Arkib untuk September, 2009

Al-Barakah di TV9

Posted in Sebuah negara bernama "Malaysia" on September 28, 2009 by syirfan

Selepas sekian lama bermain di laman yang sama, FM Production akhirnya bermain pula di laman baru… TV9.

Al-Barakah muncul setiap malam isnin, 9.30 malam bermula malam ini. Al-Barakah adalah program TV pertama yang dilaksanakan hasil kerjasama FM Production dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Al-Barakah wajar sahaja digelar sebuah program majalah, namun Al-Barakah di tangan penerbitnya, Nora mengubah wajah majalah itu sendiri. Ia lebih segar dari sebuah program yang pasti dilabelkan sangat lembab dan lembik akibat ia dikatakan sebuah program yang agak islamik.

Program ini memaparkan koleksi kejayaan yang terhasil dari penat lelah dan huluran bantuan. Asnaf-asnaf dari LZS bangun atas kesedaran untuk berdiri sama tinggi dengan masyarakat yag lain. LZS dengan sedaya mungkin membimbang mereka semua untuk keluar dari kepompong kemiskinan yang cukup menghimpit.

Bersama Akhtar Sahari yang bertindak sebagai presenter. Saya hanya bertindak sebagai penerbit penyelaras

Bersama Akhtar Sahari yang bertindak sebagai presenter. Saya hanya bertindak sebagai penerbit penyelaras

Jika ada yang mahukan program air mata persis “Bersama mu” lupakan. Penerbitnya hanya memaparkan kesedaran, keinginan, penah lelah dan manisnya kejayaan…

Dengan target setengah juta penonton yang diharapkan oleh TV9 pastinya menjadikan penerbitnya tidak beraya sakan tahun ini…

Lupakan tisu malam ini. Malam ini adalah malam untuk menyedari bahawa kita boleh berjaya jika kita berusaha ke arah itu!

Bagan Pinang : Alasan Yang Dangkal

Posted in Rencana, Sebuah negara bernama "Malaysia" on September 27, 2009 by syirfan

UMNO Teluk Kemang nampaknya tegas untuk mempertahankan pilihan mereka – Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang tidak lama lagi.

Sayap UMNO terutamanya Pemuda dan Wanita Teluk Kemang tampil awal menyatakan bahawa mereka sebulat suara dan telah membuat tinjaun (?) dan mendapati bahawa penduduk melayu dan bukan Melayu mahukan Isa Samad sebagai calon mereka.

Walaupun ura-ura kuat menyatakan bahawa pemilihan Isa Samad hanya akan menambah koleksi liabiliti yang sedia ada, namun ketua Pemuda UMNO dan Wanita Teluk Kemang tegas menyatakan bahawa hanya Isa Samad  yang boleh menyatukan masyarakat Teluk Kemang.

Walaupun akhirnya menyerahkan semua itu pada budi bicara Presiden parti, namun wujudnya beberapa alasan yang kononnya memberi imej positif kepada Isa Samad hanya menjadikan pihak pembangkang tersenyum lega. Paling kurang, selain isu nasional yang bakal dikotak-katikkan, serangan peribadi kali ini pastinya lebih istimewa.

Lebih-lebih lagi Isa Samad memang dikenakan tindakan disiplin akibat politik wang. Walaupun pembangkang tidak bersuara, namun semua pengundi tahu, apatah lagi masyarakat melayu yang masih berpegang pada asas pantun lama untuk mencari ketua:

pilih-pilih tempat mandi,

Pertama teluk kedua pandai,

Pilih-pilih biar menjadi,

Pertama elok kedua pandai.

Alasan yang membawa sejarah lama UMNO sebagai membuktikan bahawa Isa Samad masih relevan mungkin nampak baik. Paling kurang pengundi sedar bahawa ada juga orang UMNO yang mahu belajar dari sejarah lama. Namun bila menggunakan “suatu ketika” dulu Tun Dr. Mahathir pun pernah dikenakan tindakan disiplin UMNO kerana “Malay Dilemma”, ia benar-benar menunjukkan kedangkalan alasan.

Mana mungkin boleh menyamakan tindakan disiplin bagi mereka yang bersalah kerana “pemikiran dan idea yang bertentangan pada masa itu” dengan “menggunakan wang untuk menang pada masa itu”!. Jauh panggang dari api…

Dangkalnya alasan juga ketara dengan mengemukakan “saudara mara” Isa Samad yang ramai di kawasan itu boleh menjamin kemenangan. Bagi masyarakat ramai, alasan ini bukan membawa nilai yang baik tetapi jadi sebaliknya. Isa Samad hanya akan menang jika ada sanak saudaranya… Kasihan…

Menggunakan alasan Isa Samad setia pada parti juga membawa jenaka ke kedai kopi. “Isa Samad bukan setia pada parti, dia tak ada tempat lain untuk pergi…”

UMNO perlu melihat cara yang berbeza. Ia bukan persoalan individu itu setia atau tidak pada parti, persoalannya adakah individu itu setia pada perjuangan UMNO dan tanggungjawab pada diri, tuhan dan pengundinya. Jika dia menggunakan politik wang untuk menang, adakah dia setia pada perjuangan apatah lagi tanggungjawab? UMNO harus memilih individu yang bukan sahaja dilihat bersih oleh pengundi di Bagan Pinang, tetapi harus dilihat bersih oleh semua rakyat. Itu sahaja yang boleh menjamin UMNO menang kali ini dan akan datang. Jika tidak, “dosa” atas kesilapan  itu akan dibawa ke pilihan raya kecil yang lain atau kesan besarnya pada pilihan raya umum akan datang.

Kini bergantung kepada Presiden parti – bidak mana yang mahu digunakan dan teknik mana yang boleh menjamin kemenangan dalam percaturan kali ini.

Bagi Isa Samad pula wajar bersyukur dengan pengajaran yang pernah diterima. Wajar juga bersyukur kerana pantun lama itu hanyalah 4 kerat. Jika 6 kerat pasti lebih parah bunyinya :

pilih-pilih tempat mandi,

Pertama teluk kedua pandai,

Jangan pula tak tahu berenang,

Pilih-pilih biar menjadi,

Pertama elok kedua pandai,

Jangan pilih mereka yang guna wang untuk menang…

UMNO harus berubah demi masa depan. Jika tidak, jalan dihadapan akan jauh lebih sukar. Mohon juga lebih matang dalam menyatakan alasan.

Mungkin ada anak kecil di Bagan Pinang yang suatu masa dahulu hanya mengibar bendera sudah sedia untuk masuk gelanggang. Soalnya, siapa?

Penjenamaan Semula!

Posted in Buah Fikiran on September 27, 2009 by syirfan

Aku yang sesat dalam sejarah2

Blog ini akan mula mengalami perubahan dari sudut pendekatan isu, isi kandungan, gaya penulisan dan matlamat… Pastinya lebih bernyawa…

Nantikan kemunculannya…

Cerita dari Masjid Amru Ibnu Al-Ash Asafirah

Posted in Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah on September 15, 2009 by syirfan

IMG_5196

Dia bergelar Syeikh pada usia yang sangat muda. Bidang Kepakarannya adalah perbandingan agama. Dari susuk tubuh saya sendiri mengakui dia terlalu muda untuk mempunyai gelar Syeikh. Namun itulah keistimewaa Syeikh Alaq.

Lahir dalam keluarga ulama dan pendidik terbilang dari Universiti Al-Azhar, Syeikh Alaq meneruskan kesinambungan warisan keluarganya. Dengan ilmu yang ada, dia menyampaikan segala ilmu dengan penuh sabar dan yakin bahawa itu adalah pilihan terbaik.

IMG_5177

Bila hadir mengikuti aktiviti hariannya, saya sendiri terkejut. Dia mendambakan diri pada pendidikan anak-anak kecil di Iskandariah. Dia jadi ibu pada anak-anak kecil ini. Bila kami yang hadir di masjid ini melihat kegigihan beliau, kami yakin bahawa Syeikh Alaq bakal menjadikan rancangan kami menarik.

Dia bukan sahaja menjadi guru agama. Dia juga guru muzik. Dia juga jurulatih bola. Malah, dia juga merupakan kawan kepada anak-anak kecil ini. Dia adalah syeikh besar untuk anak-anak kecil…

IMG_5218

Inilah cerita unik yang bakal muncul dalam Madrasah Salasilah Rasullulah malam ini. Cerita dari Masjid Amru Ibnu Al-Ash Asafirah, Iskandariah, Mesir.

Sekolah Tinggi Islam As Sofa

Posted in Buah Fikiran, Dokumentari : Madrasah Salasilah Rasulullah on September 14, 2009 by syirfan

Madrasah

Salam.

Ramai yang mengirim email dan komen di laman ini bertanya tentang Sekolah Tinggi Islam As  Sofa, Rembau yang pernah mendapat liputan dalam rancangan Madrasah Salasilah Rasullullah sebelum ini.  Dengan penuh rasa rendah diri kerana tidak mampu menjawap semua pertanyaan yang diberi, saya lampirkan no telefon pegawai Madrasah terbabit.

Mereka yang punya pertanyaan, boleh menghubungi Cikgu Azdiyah  di talian 0193242527.

Terima kasih.

 

^Untuk Madrasah Darul Manar, akan saya lampirkan nanti apabila mendapat no pegawai yang terbabit. Terima Kasih. Maaf atas kelemahan saya yang tidak dapat menjawap semua persoalan yang diberikan.

Hujan hadir lagi…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on September 13, 2009 by syirfan
*kredit untuk Farah

*kredit untuk Farah

 

 

Hujan hadir lagi

Membasuh luka  pada mimpi

Membilas kembali semangat

Yang hilang ditikam matahari

 

Hujan hadir lagi

Membasahi liang curiga

Menyegar nafas dan akal

Mengirim sedar ke dada insan…

 

Hujan hadir lagi

Melukis warna rahsia

Merakam makna dan kata

Bila bayang-bayang pun keliru maksudnya…

 

Hujan hadir lagi buat sekian kalinya…

Hanya kali ini aku berdiri di tengah hujan,

Dalam luka pada tajam rintiknya…

 

 

***Syirfan, FM Production, tika hujan mula membasuh Shah Alam…

Berapa besar dosa saya…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on September 8, 2009 by syirfan

peta2

Sehingga hari ini saya masih bertanya-tanya – berapa besar dosa saya kepada bangsa Indonesia? Sudah hampir seminggu laman blog saya “diserang” oleh teman-teman dari Indonesia.

Dek kerana saya banyak menulis tentang sejarah, saya dilabelkan oleh teman serumpun sebagai agen zionis yang akan memutarkan banyak sejarah serta menghasilkan karya-karya untuk melindungi kepentingan pihak pejajah di sebelah timur. Saya keliru dengan label yang sebegitu. Makin kuat saya bertanya – berapa besar dosa saya pada bangsa Indonesia hingga saya dilabelkan sebegitu?

Ditambah lagi dengan bayangan kononnya suatu masa nanti “Media Malaysia” akan menggunakan medium medianya yang kuat untuk mengubah banyak sejarah dan fakta hingga akan akan menyatakan bahawa Nabi Muhammad lahir di Kuala Lumpur.

Maaf, saya tidak berminat untuk berbincang dengan perkara-perkara yang dangkal sifat ilmunya. Apatah lagi berbicara dengan niat negetif  untuk membangkitkan sensitiviti dan bakal membawa nilaian yang sangat merugikan.

Saya tidak berniat langsung untuk menyiarkan komen-komen teman yang bagi saya lebih bernafsu untuk meruntuhkan dan bukan sifatnya membina. Jika teman-teman menghantar komen-komen yang sebegitu, layaknya sahaja saya delete sahaja. Saya tidak mahu keharmonian yang ada dirosakkan oleh ucapan maki hamun seolah-olah Ramadhan ini tiada langsung maknanya. Sampai saya tertanya-tanya pada diri saya sendiri, adakah yang menghantar komen-komen sebegini beragama Islam?

Teman-teman yang berkongsi leluhur, lihatlah setiap fakta dengan mata hati dan penaakulan akal yang jauh lebih tajam. Usah bercakap dan bertindak atas sesuatu yang kita sendiri tidak fahami. Usahlah dek kerana tarian yang disempurnakan dan disiarkan oleh media asing jadi sebab untuk membunuh. Barat ketawa terbahak-bahak!

Daripada kita membuang duit untuk membeli peralatan perang, apa kata duit itu kita beli makanan, buku dan tiket kapal terbang. Ada juga untungnya…

Salam hormat dari Malaysia…