Bagan Pinang : Alasan Yang Dangkal

UMNO Teluk Kemang nampaknya tegas untuk mempertahankan pilihan mereka – Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang tidak lama lagi.

Sayap UMNO terutamanya Pemuda dan Wanita Teluk Kemang tampil awal menyatakan bahawa mereka sebulat suara dan telah membuat tinjaun (?) dan mendapati bahawa penduduk melayu dan bukan Melayu mahukan Isa Samad sebagai calon mereka.

Walaupun ura-ura kuat menyatakan bahawa pemilihan Isa Samad hanya akan menambah koleksi liabiliti yang sedia ada, namun ketua Pemuda UMNO dan Wanita Teluk Kemang tegas menyatakan bahawa hanya Isa Samad  yang boleh menyatukan masyarakat Teluk Kemang.

Walaupun akhirnya menyerahkan semua itu pada budi bicara Presiden parti, namun wujudnya beberapa alasan yang kononnya memberi imej positif kepada Isa Samad hanya menjadikan pihak pembangkang tersenyum lega. Paling kurang, selain isu nasional yang bakal dikotak-katikkan, serangan peribadi kali ini pastinya lebih istimewa.

Lebih-lebih lagi Isa Samad memang dikenakan tindakan disiplin akibat politik wang. Walaupun pembangkang tidak bersuara, namun semua pengundi tahu, apatah lagi masyarakat melayu yang masih berpegang pada asas pantun lama untuk mencari ketua:

pilih-pilih tempat mandi,

Pertama teluk kedua pandai,

Pilih-pilih biar menjadi,

Pertama elok kedua pandai.

Alasan yang membawa sejarah lama UMNO sebagai membuktikan bahawa Isa Samad masih relevan mungkin nampak baik. Paling kurang pengundi sedar bahawa ada juga orang UMNO yang mahu belajar dari sejarah lama. Namun bila menggunakan “suatu ketika” dulu Tun Dr. Mahathir pun pernah dikenakan tindakan disiplin UMNO kerana “Malay Dilemma”, ia benar-benar menunjukkan kedangkalan alasan.

Mana mungkin boleh menyamakan tindakan disiplin bagi mereka yang bersalah kerana “pemikiran dan idea yang bertentangan pada masa itu” dengan “menggunakan wang untuk menang pada masa itu”!. Jauh panggang dari api…

Dangkalnya alasan juga ketara dengan mengemukakan “saudara mara” Isa Samad yang ramai di kawasan itu boleh menjamin kemenangan. Bagi masyarakat ramai, alasan ini bukan membawa nilai yang baik tetapi jadi sebaliknya. Isa Samad hanya akan menang jika ada sanak saudaranya… Kasihan…

Menggunakan alasan Isa Samad setia pada parti juga membawa jenaka ke kedai kopi. “Isa Samad bukan setia pada parti, dia tak ada tempat lain untuk pergi…”

UMNO perlu melihat cara yang berbeza. Ia bukan persoalan individu itu setia atau tidak pada parti, persoalannya adakah individu itu setia pada perjuangan UMNO dan tanggungjawab pada diri, tuhan dan pengundinya. Jika dia menggunakan politik wang untuk menang, adakah dia setia pada perjuangan apatah lagi tanggungjawab? UMNO harus memilih individu yang bukan sahaja dilihat bersih oleh pengundi di Bagan Pinang, tetapi harus dilihat bersih oleh semua rakyat. Itu sahaja yang boleh menjamin UMNO menang kali ini dan akan datang. Jika tidak, “dosa” atas kesilapan  itu akan dibawa ke pilihan raya kecil yang lain atau kesan besarnya pada pilihan raya umum akan datang.

Kini bergantung kepada Presiden parti – bidak mana yang mahu digunakan dan teknik mana yang boleh menjamin kemenangan dalam percaturan kali ini.

Bagi Isa Samad pula wajar bersyukur dengan pengajaran yang pernah diterima. Wajar juga bersyukur kerana pantun lama itu hanyalah 4 kerat. Jika 6 kerat pasti lebih parah bunyinya :

pilih-pilih tempat mandi,

Pertama teluk kedua pandai,

Jangan pula tak tahu berenang,

Pilih-pilih biar menjadi,

Pertama elok kedua pandai,

Jangan pilih mereka yang guna wang untuk menang…

UMNO harus berubah demi masa depan. Jika tidak, jalan dihadapan akan jauh lebih sukar. Mohon juga lebih matang dalam menyatakan alasan.

Mungkin ada anak kecil di Bagan Pinang yang suatu masa dahulu hanya mengibar bendera sudah sedia untuk masuk gelanggang. Soalnya, siapa?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: