Promosi Al-Barakah – Utusan

Al-Barakah papar ketelusan lembaga zakat

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

barakah2

SEJAK diperkenalkan ke kaca televisyen, dokumentari Al-Barakah yang memaparkan pelbagai peranan yang dimainkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), dalam membantu golongan Asnaf berjaya membuka mata pelbagai pihak.

Dalam usaha menyatakan tugas dan fungsi sebenar lembaga zakat di negara ini, LZS mengambil peluang menerbitkan rancangan tersebut khusus sebagai medium perantaraan dengan masyarakat berhubung aliran wang zakat yang dikeluarkan oleh umat Islam sepanjang tahun.

Seringkali persoalan mengenai siapa yang layak menerima, mengeluarkan serta bilangan golongan Asnaf dibangkitkan oleh masyarakat.

Segalanya berpunca daripada kurangnya informasi serta pendedahan yang diterima oleh mereka.

Menyedari hakikat tersebut, LZS memberi kepercayaan kepada syarikat FM Production (FMP), menghasilkan dokumentari tersebut untuk divisualkan sebagai pendedahan kepada penonton.

Bersiaran setiap Isnin, pukul 9.30 malam di TV9, Al-Barakah memaparkan bagaimana responden menceritakan keadaan kehidupan sebenar mereka serta peranan yang dimainkan oleh lembaga zakat dalam membantu meringankan bebanan yang mereka hadapi.

Penerbit rancangan itu, Nora Md. Zainal baru-baru ini ketika ditemui memberitahu rancangan tersebut berbeza dengan mana-mana rancangan berbentuk kemasyarakatan lain kerana inilah satu-satunya rancangan yang mendedahkan bagaimana ketelusan wang hasil pembayaran zakat diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Selain cuba mengetengahkan apa yang dikatakan dengan fungsi zakat, kita juga memaparkan bagaimana responden yang tidak mempunyai punca pendapatan secukupnya mengubah nasib mereka melalui bantuan zakat yang diberikan.

“Tidak ramai yang tahu tentang perkara ini. Menerusi bantuan yang diberikan juga secara tidak langsung memberi motivasi pada mereka supaya boleh berdiri sama seperti orang lain,” katanya.

Menerusi program tersebut, setiap episod bakal memaparkan asnaf yang berlainan. Dan antara bentuk bantuan yang dipaparkan termasuklah pengeluaran zakat dalam membantu golongan asnaf memulakan perniagaan, perumahan, pendidikan serta menampung rawatan kesihatan.

Menurut Penerbit Penyelaras FMP, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin pada pertemuan yang sama memberitahu, program tersebut memberi perspektif berbeza dari segi penerbitan.

“Kita mencari golongan asnaf menerusi senarai yang diberikan oleh LZS. Dari situ kita cuba selami kehidupan serta kesusahan yang dicerita sendiri oleh mereka.

“Kita biasanya berfikir bahawa zakat hanya memberi bantuan dari segi kewangan tetapi sebenarnya lebih daripada itu.

“Beza Al-Barakah dengan program realiti kemasyarakatan lain, kita nak penonton melihat bagaimana wang bantuan yang diberikan oleh zakat kepada golongan asnaf digunakan oleh mereka sehingga mampu mengubah nasib mereka,” katanya.

Akhtar pilihan tepat – Syirfan

Memilih pengacara Akhtar Sahari yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Pembangunan Korporat di Lembaga Zakat Selangor adalah pilihan yang tepat dalam mengendalikan program tersebut.

Ini kerana menurut Sirfan, pengalaman serta tugas Akhtar di LZS sememangnya diperlukan untuk memberi penjelasan serta informasi yang lebih tepat kepada penonton.

Sebagai petugas di LZS, kata Akhtar, dia melihat ramai di kalangan masyarakat yang keliru ke mana wang zakat dialirkan setiap tahun.

Menurut Akhtar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana RM1 juta khas untuk menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang terlibat dalam program tersebut.

“Ini pendekatan yang berkesan dalam menguar-uarkan kepada masyarakat tentang fungsi zakat yang sebenar kerana ramai di kalangan masyarakat yang keliru tentang aliran wang zakat.

“Harap-harap dengan adanya program sebegini penonton akan lebih jelas bagaimana wang zakat yang dibayar setiap tahun dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu golongan asnaf.

“Kalau boleh, kita nak mengajak pembayar zakat melihat sendiri bagaimana wang zakat yang dibayar oleh mereka di integriti dan diuruskan dengan penuh telus,” katanya.

Akhtar selesa mengacara program keagamaan

Menyingkap serba sedikit profil pengacaraan, Akhtar sebenarnya cukup sinonim mengacarakan program berbentuk keagamaan.

Persoalannya, benarkah imej sebagai petugas di LZS mungkin sedikit membataskan kebolehan Akhtar sebagai pengacara?.

Namun, bagi empunya diri segalanya tidak menjadi persoalan memandangkan dirinya cukup selesa mengendalikan pelbagai program berbentuk keagamaan.

“Saya berkerja dengan LZS sudah 15 tahun, jadi sudah tentu saya perlu menjaga imej serta nama baik LZS sendiri.

“Menjadi pengacara untuk program berbentuk keagamaan memang banyak cabaran sebab itu saya perlu sentiasa beringat dan sentiasa menjaga batasan.

“Malah, cara mengacara serta pendekatan yang digunakan untuk program sebegini juga berbeza dengan program televisyen lain.

“Setakat ini saya memang tiada masalah mengendalikan program keagamaan malah sudah semakin selesa,” katanya yang sudah empat tahun aktif mengendalikan program televisyen.

Bagaimanapun, kata Akhtar, sekiranya diberi peluang dia tetap ingin mencuba mengendalikan program lain berbentuk dokumentari dan berkaitan isu semasa.

Selain mengendalikan program Al-Barakah, Akhtar turut mengendalikan program Sebutan Syariah di Astro Oasis.  

3 Respons to “Promosi Al-Barakah – Utusan”

  1. 001beautifulcrazy Says:

    Penerbitnya itu manja aja posenya kan…

  2. tahniah bro

  3. rancangan yang bagus, tahniah!membuka mata pembayar zakat ke manakah wang mereka dibelanjakan.program Al-Barakah pernah memaparkan mengenai salah seorang rakan saya yang merupakan salah seorang anak asnaf, saya bangga kini dia sudah berjaya dalam kerjaya dan dapat membantu ibu dan adik-adiknya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: