Arkib untuk November, 2009

ke Surabaya

Posted in Dokumentari : Puteri Gunung Ledang on November 19, 2009 by syirfan

selesai tugasan di yogyakarta. Dalam perjalanan ke lapangan terbang yogyakarta

Advertisements

Yogyajakarta masih beku…

Posted in Dokumentari : Puteri Gunung Ledang on November 18, 2009 by syirfan

Awal pagi di Yogyakarta. Sejuk beku.

Hari ini tugasan sekitar mencari penafian sekitar karya sejarah dan karya sastera yang berkait dengan Puteri Gunung Ledang. Terima kasih pada teman blogger tutinonka yang memberi huluran bantuan.

Akal beku. Beku seperti pencarian ini…

Rosli Dhoby muncul di Singapura!

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku' on November 12, 2009 by syirfan

rosli-dhoby-di-tangkap-british-update

Dalam kerunsingan hati saya yang kian berdebar dek Suatu Ketika – Puteri Gunung Ledang dan Suatu Ketika – Sybil Karthigesu yang kian menghimpit masa, SMS yang saya terima awal pagi tadi membuat saya tersentuh dan pastinya tersenyum puas.

Tidak ada ayat yang mampu merakam rasa itu. Semua wajah yang pernah hadir untuk merealisasikan Suatu Ketika – Rosli Dhoby terbayang di mata. Terima kasih semua kerana sudi berkongsi susah dan lelah. Rasanya apa yang kita dapat hari ini cukup untuk membalas segala kesusahan itu.

Saya secara peribadi ingin berkongsi rasa gembira ini apabila Suatu Ketika – Rosli Dhoby di pilih menjadi finalis Asian Televisyen Award 2009 (ATA 2009) untuk kategori Best Cross- Platform Content. Suatu Ketika – Rosli Dhoby akan bersaing dengan BitWorld-Two Rooms: The Past and Present (NHK Japan), Live & Loaded (Mediacorp, Singapura) , As The Bell Rings (The Walt Disney, Singapura) , Hip Korea – Rain ( Discovery Asia, Singapura) dan First Class (mediacorp, Singapura).

Turut berkongsi gembira itu pastinya  Drama – Warkah Terakhir yang turut menjadi finalis Best Drama Series.

ATA 2009 akan berlangsung di  Singapura pada 3 Disember ini. Menang atau tidak sudah tidak menjadi keutamaan saya ketika ini. Saya hanya mahu merasai rasa ini… Rasa yang mustahil saya impikan pada tika pertama treatment yang saya siapkan untuk Rosli Dhoby ditolak!

Sekadar terfikir jika karya ini menang di Singapura, ia pasti satu yang agak unik… Adalah kita semua lupa bahawa Rosli Dhoby digantung hingga mati oleh seorang sang algojo yang dibawa khas dari Singapura!

Maklumat lanjut tentang ATA 2009 boleh diperolehi di sini.

Mimpi pun keliru…

Posted in Dokumentari : Puteri Gunung Ledang, Dokumentari : Sybil Kathigasu, Senyum Tangis 'Aku' on November 11, 2009 by syirfan

Entahlah…

Apa yang berlaku ini berdiri atas dasar nikmat atau derita. Gembira atau duka. Ramai kenalan media mula dan telah mengetahui bahawa saya “terpilih” untuk melunaskan 2 penerbitan dokumentari “Suatu Ketika” dalam masa terdekat.

Pada peringkat awalnya saya diarahkan untuk menyiapkan sebuah dokumentari Sybil Katigesu – seorang wira dalam perang dunia ke-2. Tugasan ini wajar selesai 1 Feb. Saya dengan rasa senang hati ingin menunaikan tanggngungjawab sosial saya pasca kejayaan Rosli Dhoby.

Beberapa hari yang lalu, wujud satu permasalahan yang agak kronik untuk sebuah program yang bakal ditayangkan pada Disember. Program itu terpaksa diganti dalam kadar segera.

Akhirnya, saya “terpilih” untuk menyelesaikan satu dokumentari “mee segera” yang MEREKA beri tajuk – Puteri Gunung Ledang. Pastinya saya tidak akan berkata “tidak” walaupun pada logiknya saya ada tugasan lain dan pastinya kerana saya sendiri yang telah hadam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang menyatakan cerita Puteri Gunung ledang adalah mitos semata-mata.

Saya kurang rela untuk menyiapkan dokumentari atas cerita mitos pasca kegagalan saya memberi persepsi baru dalam Dokumentari Si Tanggang. Kegagalan itu memberi simbol bahawa bukan mudah untuk bermain dengan perbalahan mitos.

Namun untuk berkata tidak pastinya bukan gaya saya. Saya tetap akan lunaskan juga sebelum 15 Disember. Hingga kini, saya cuma ada 79 hari untuk menyiapkan 2 dokumentari yang bakal diperkatakan, dianalisis dan mungkin ditertawakan.

Mungkin kerana debar itu mimpi malam ini bercampur baur. Tiba tiba Sybil Kartigesu muncul di puncak Ledang bersama sang puteri. Mmmmm, mimpi pun keliru…

apa yang ada di gunung Ledang?

Posted in Buah Fikiran, Senyum Tangis 'Aku' on November 8, 2009 by syirfan

Apa yang ada di gunung Ledang selain pantun ini?

Gunung ledang nampak berbalam,

Tempat berkelah anak Belanda,

Kalau diperiksa hati yang dalam,

Tentu terkilas apa yang ada…

 

* Adakah bakal aku ke puncaknya mencari Puteri Gunung Ledang. Debar bertukar gempa!!!!

(bersambung)…

Hari Kanak-Kanak

Posted in Buah Fikiran, Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on November 5, 2009 by syirfan
1 358
Syahmi, Syahmina, Syamil

Secara jujurnya saya tak tahu pun bila sambutan Hari Kanak-Kanak. Bila Syahmi dan Syahmina menunjukkan surat dari pihak sekolah tentang sambutan hari kanak-kanak yang akan dilaksanakan jumaat ini di sekolah mereka,  baru saya sedar bahawa sambutan ini telah lama saya ditinggalkan…

Hari Kanak-kanak Antarabangsa  diraikan biasanya pada 1 Jun setiap tahun. Tidaklah jelas mengapa 1 Jun ditetapkan sebagai Hari Kanak-kanak Antarabangsa. Sejak 14 Disember 1954, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNESCO menetapkan 20 November sebagai hari kanak-kanak sedunia. Namun begitu sambutan ini berbeza tarikh antara negara-negara yang menghidupkan sambutan kanak-kanak ini. Saya pun tak pasti kenapa sekolah Syahmi dan Syahmina melaksanakannya pada jumaat ini.

1 012

Namun, yang sedikit memukul pemikiran saya adalah beza zaman kanak-kanak saya dengan anak saya sendiri – Syahmi, Syahmina dan Syamil.

Tidak boleh dinafikan bahawa masa telah membawa beza yang besar antara zaman kanak-kanak yang dilalui oleh kita dan anak-anak kita. Kadang-kadang wajar kita simpati pada mereka…

syamil

Kita mahukan anak-anak kita dewasa lebih awal. Kita mahu dia lebih pandai, lebih matang, lebih genius, lebih berketrampilan, lebih berjaya, lebih segalanya. Kita paksa mereka untuk segera meninggalkan zaman kanak-kanak. Kita paksa mereka untuk dewasa. Dari satu sudut, adakah itu yang mereka mahu…

anak-anak

Saya sangat yakin bahawa anak-anak saya akan banyak terlepas kenikmatan zaman kanak-kanak yang saya lalui. Saya tahu anak-anak saya tidak akan berpeluang untuk main dalam parit, mencuri tebu, letupkan katak dengan mercun, main meriam buluh, kutip buah getah, bersembunyi dalam lalang, mandi atas atap rumah waktu hujan,  baling sarang lebah, berguling dalam lopak air, main dari awal pagi sampai malam serta macam-macam aktiviti lagi yang pastinya mengundang kemarahan ibu dan ayah saya. Satu mungkin saya tak beri kebenaran dan satu lagi mungkin kawasan itu telah tiada. Kemajuan memang telah mengasingkan…

Anak saya kini lebih selesa mandi di kolam renang dan menonton kartun di televisyen, CD atau di youtube. Anak saya lebih suka bermain game di internet dan bercakap benda-benda yang memang saya tak tahu pada umur sebaya dengan mereka. Syahmi boleh bercerita pasal angkasawan negara dan bagaimana roket boleh memasuki ruang angkasa walaupun kadang-kadang ditambah dengan cerita keupayaan Ultraman dan Power Rangers di angkasa. Syahmi tahu bahawa bulan ada 1 dan bagaimana kita boleh melihat bulan dari kawasan yang berbeza. Sumpah, pada waktu sekolah rendah, saya rasa bulan ada seribu. Pada umur 5 tahun syahmi dah bercakap pasal awek. Saya pada umur 10 tahun masih mandi bogel di sungai!

syahmi syamina

Syahmina yang berumur 4 tahun sudah bercakap pasal diet dan dia tahu bahawa perempuan tidak akan nampak cantik jika bertubuh besar. Mereka sudah bercakap tentang cita-cita untuk jadi doktor pakar bedah. Saya pada umur 12 tahun hanya mampu bercita-cita nak jadi polis. Hampir satu kelas nak jadi polis atau tentera. Hanya ada seorang yang bercita-cita hendak jadi penoreh getah dan seorang hendak jadi kereta! Bayangkan betapa jauh beza pemikiran itu.

Hari ini saya mahu menilai semula beza ruang itu dan mahu memberi peluang kepada anak-anak saya untuk merasai nikmat zaman kanak-kanak itu. Saya mahu dia dewasa dengan membawa cerita-cerita yang gembira walaupun kadang-kadang sakit kerana di rotan.

mina dan syamil

Adakah itu tindakan yang wajar?

Untuk semua anak-anak yang sedang menikmati zaman kanak-kanak itu – Selamat Hari Kanak-Kanak.

pencarian kisahnya pun bermula…

Posted in Dokumentari : Sybil Kathigasu, World Documentary on November 4, 2009 by syirfan
sybil

Sybil Kathigasu

Mungkin ramai telah sedia mengetahui bahawa saya sedang dalam rangka usaha untuk menzahirkan sebuah lagi dokumentari sejarah. Subjek saya kali ini adalah Sybil Kathigasu. Dalam asas kajian ini, jelas masalah besar yang perlu saya hadapi iaitu membawa seorang watak (hero) dalam masyarakat yang langsung tidak mengenalinya.

Mungkin agak logik bila masyarakat negara ini tidak langsung mengenali tokoh ini. Saya masih boleh menerima bila penduduk Perak sendiri tidak mengenali seseorang yang telah memberi sumbangan besar pada zaman Jepun, komunis dan British. Namun sukar untuk saya hadam bila penggiat dan pengkaji sejarah Perak sendiri kelabu dengan cerita tokoh ini.

Walaupun banyak cerita lisan berbaur negatif yang berputar pada tokoh ini, namun sumbangannya tidak boleh dinafikan walaupun sedikit. Beliau tetap telah menyumbang sesuatu.

Kini saya perlu memperkenalkan dahulu siapakah Sybil Kathigasu, penerima Anugerah “George Medal” atas keberaniannya. Beliau adalah penerima wanita tunggal negara yang pernah menerima anugerah dari kerajaan British itu. Ini adalah ceritanya…

Sybil Daly dilahirkan pada 1899 dan kemudiaanya berkahwin dengan Dr. Abdon Clement Kathigasu. Selepas berkahwin beliau mengunakan nama Sybil Kathigasu. Memperoleh 2 orang anak – Olga Kathigasu dan Dawn Kathigasu. Dalam masa yang sama membesarkan seorang anak angkat, William Pillay.

Pada peringkat awal, Sybil bertugas sebagai jururawat dan bidan di Ipoh. Beliau dan suaminya bertugas di klinik no 141, Jalan Brewster (kini dikenali sebagai jalan Sultan Idris Shah) bermula pada tahun 1926. Perlu diketahui pada masa itu hanya 4 orang doktor sahaja yang ada di Ipoh. Sybil dikenali sebagai seorang bidan yang baik.

Kebolehannya menguasai bahasa Kantonis banyak membantu komunikasi antara beliau dan pesakit. Namun kebolehan itulah yang suatu masa nanti akan mengubah takdir hidup beliau dan keluarganya.

Semuanya berubah sejurus kemasukan Jepun ke tanah Melayu. Oleh kerana Ipoh diserang hebat oleh tentera Jepun, mereka sekeluarga berpindah di Papan dan membuka klinik di sana. Di sinilah kisah kehebatan wanita ini bermula…

 

(bersambung)