Arkib untuk Disember, 2009

Lagu yang mengikat makna

Posted in Uncategorized on Disember 28, 2009 by syirfan

Banyak-banyak lagu Melayu, lagu Lemak Manis ini yang cukup terkesan dalam hidup saya. Lagu ini mengikat pelbagai makna kenangan.

Untuk kawan-kawan yang pernah “melalak” dengan lagu ini, saya tinggalkan saat indah itu disini… layanlah kalau sudi..

Dolly – Lokasi pelacuran terbesar di Asia Tenggara!

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Disember 27, 2009 by syirfan

Anda akan silap jika berpendapat bahawa Phat pong di Thailand merupakan lokasi penempatan pelacur terbesar. Chow Kit, Kuala Lumpur atau Geylang, Singapura tidak mampu langsung bersaing dengan kehebatan Dolly.

Dolly sebenarnya terletak di Surabaya Indonesia. Ia merupakan lokasi pelacuran yang cukup besar. Ia merupakan legasi yaang ditinggalkan oleh Tante Dolly, seorang wanita Belanda pada zaman penjajahan Belanda di Indonesia lagi.

Kunjungan saya ke Surabaya baru-baru turut membawa saya ke sana. Pergi sekadar melihat kehebatan dan keagungan Dolly di daerah Jarak, Pasar Kembang, Surabaya.

Memang ia sesuatu yang cukup menakukan. Ia bagaikan satu industri di sebuah daerah yang besar. Malah ia kelihatan diberi keizinan penuh oleh pihak pemerintah. Jika di Malaysia, urusniaga dilaksanakan dalam keadaan takut dan bersembunyi. Di sini, wanita diniagakan seperti barang runcit. Lihat, ambil dan bayar…

Pekerja-pekerja seks ini diletakkan di dalam cermin di sepanjang jalan. Bagi yang berminat boleh terus melakukan urusniaga. Malah ada ura-ura yang menyatakan bahawa pihak kerajaan akan menjadikan Dolly sebagai lokasi pelancongan.

Cukup setengah jam melihat wajah Dolly, saya mahu segera keluar dari daerah ini. Cukup menginsafkan. Kakak-kakak di Lorong Haji Taib dan Chow Kit muncul di mata saya. Terkenang juga saya pada anak-anak pekerja seks yang berputar-putar sepanjang malam menunggu ibunya selesai “bertugas”.

Pemandu saya sempat berkata ” besar dosa kami pada Tuhan ya pak?”. Saya diam tanpa jawapan.

p/s – Jika ada kenalan anda mahu ke Surabaya, pastikan tujuannya.. hehehe

Masjid paling besar di Eropah akhirnya terbina di Rusia

Posted in Buah Fikiran, Senyum Tangis 'Aku' on Disember 26, 2009 by syirfan

Akhirnya, masjid paling besar di Eropah terbina di Rusia, lebih tepat lagi di Grozny, Chechnya.

Masjid Ahmad Kadyrov akhirnya terzahir selepas tertangguh sekian lama. Idea mendirikan masjid ini bermula pada akhir 1980 tetapi tertangguh lama lewat konflik dan peperangan yang berlaku. Jika kita meneliti sejarah, kita pasti teringat akan beberapa siri peperangan yang pernah mewarnai berita dunia suatu tika dulu.

Sewaktu kemuncak usaha menyiapkan masjid ini, saya sedang berada di Dagestan, selatan Rusia. Dagestan betul-betul terletak bersebelahan dengan Chechnya. Pada waktu itu masyarakat Dagestan telah pun membisikkan pada saya bahawa akan terbina masjid terbesar di Eropah tidak lama lagi di Chechnya.

Semenjak itu saya menanam hasrat untuk tiba di wilayah bergolak itu. Kenalan di Moscow baru-baru ini telah memberi lampu hijau untuk membawa saya ke Chechnya seperti impian saya dahulu.

Batasnya pastilah budget. Ada sesiapa yang hendak menawarkan bantuan? hehehe

Masjid Ahmad Kadyrov boleh memuatkan 10,000 jemaah pada sesuatu masa. Pada saya ia adalah lambang kepada keagungan dan usaha untuk memastikan Islam terus berada di puncak.

Rakyat Islam di Selatan Rusia wajar bersyukur atas keruntuhan rejim Soviet suatu masa dahulu.

Masjid dan Rusia bukanlah sesuatu yang janggal. Walaupun Islam merupakan agama minoriti di negara paling besar di dunia, masjid terus dibina atas dokongan kerajaan. Percayalah, sangat mudah untuk bersembahyang di masjid ketika di Moscow.

Masjid-masjid di Rusia juga dibina dalam skala yang besar, cantik dan unik. Masjid biru di St. Peterburg, Masjid Syuhada di kota Moscow mahupun masjid Jamek di Dagestan di bina dalam skala yang sangat besar.

Masjid Qul – Syariff pula bagi saya adalah masjid tercantik yang pernah dibina. Masjid Tatar, Masjid Nurulla, Masjid Acem, dan Masjid Iske Tash di Kazan bagi saya pula sangat unik. Nanti saya bercerita lebih panjang tentang keistimewaan masjid-masjid ini.

Kini masyarakat Islam Rusia wajar berbangga dan dalam masa yang sama mempersiapkan diri dengan cabaran yang pastinya akan hadir. Saya berharap benar untuk menjenguk selatan Rusia sekali lagi. Selain menghadirkan diri di Masjid Ahmad Kadyrov di Chechnya yang merupakan masjid terbesar di Eropah, saya juga perlu hadir di Masjid Abu Muslim di Derbent, Dagestan- masjid pertama yang dibina di Eropah!

Sudah siapkan masjid Jamek Nizhny Novgorod?

Merapi pun tak sudi…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Disember 24, 2009 by syirfan

Gunung Merapi – gunung berapi paling aktif di Indonesia.

Pertengahan bulan lalu saya sempat menghadirkan diri di gunung istimewa yang berdekatan dengan Yogyakarta. Walaupun pernah hadir sebelum ini di Yogyakarta, tapi inilah kali pertama saya berhasrat untuk berada di kaki gunung Merapi yang dikatakan telah meletus sebanyak 68 kali semenjak 1548.

Merapi merupakan gunung berapi paling muda di selatan Jawa. Ia merupakan salah satu dari 129 buah gunung berapi di Indonesia. Letupan  gunung Merapi dipercayai membawa kepada kejatuhan tamadun kerajaan Hindu Mataram.

Awal pagi lagi saya berserta 2 krew penerbitan dan seorang guide telah terpacak di kaki gunung Merapi. 

Namun sayangnya, gunung Merapi hari ini tak sudi langsung untuk memperlihatkan wajahnya.

Merapi tidak mahu menzahirkan dirinya...

Merapi kali terakhir meletus dalam tragedi tragis 15 mei 2006. Letupan kali ini benar-benar berbekas. 5782 terkorban, 36299 tercedera dan lebih dari 600,000 mangsa kehilangan tempat tinggal.

Laluan lava yang sedang dibina

Kini, usaha untuk membina longkang aliran lava sedang pesat dilaksanakan. Kesilapan menjangka aliran lava dalam tragedi 2006 harus tidak di ulang lagi…

Kami yang kecewa

Kami yang dalam rangka melunaskan penggambaran dokumentari singgah dengan penuh harapan untuk melihat kecantikan gunung berapi ini. Tapi sayangnya, Merapi tidak sudi…

Survival!

Salah satu yang menjadi tumpuan saya tika berada di kaki gunung ini ialah kehadiran beberapa wanita yang turun sambil membawa timbunan lalang/rumput yang saya rasa cukup berat dan besar. Rupanya mereka ini mengambil tumbuhan ini untuk ternakan mereka.

Dengan terbongkok-bongkok mereka terpaksa membawa timbunan ini menuruni gunung Merapi. Argh! sukar sungguh…

Rasa macam beli baju ni, tapi mana baju ini yer?

Di kaki gunung Merapi ini terdapat juga beberapa gerai yang turut menjual beberapa produk / cenderahati dari gunung misteri ini. Bolehlah membeli untuk kenangan.

Apa pun, bersyukur juga tiba di sini. Sekurang-kurangnya bila ada kawan bercerita tentang gunung Merapi, saya bolehlah menambah cerita – cerita kami yang hadir di kaki gunung Merapi tetapi tidak boleh melihat wajahnya.

Gunung merapi memang tak sudi pada kami…

wajah Merapi yang sebenarnya...

 Cantikkan wajah Merapi?

Zalina Maizan, Pashmina dan Tanda Kemanusiaan…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Disember 18, 2009 by syirfan

Berita Mahkamah dalam akhbar Utusan hari ini nampak biasa sahaja. Namun ada cerita manusia disebalik berita ini. Tahniahlah pada Zalina Maizan yang membawa nilai kemanusiaan dalam ruang mahkamah itu.

Mungkin si ibu seorang pengedar dadah, namun si anak tiada dosa dengan dunia…

Untuk isteriku , Zalina Maizan – kita beli pashmina baru…

Ambiya baru bersalin hadapi tuduhan dadah

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Dengan tangan yang bergari, wanita itu cuba mengimbangi bayinya yang baru berusia dua minggu ketika berjalan menuju ke sebuah kerusi di sebelah kandang tertuduh.

Dalam kepayahan, dia memangku anaknya yang mula kelaparan sebelum garinya dibuka buat sementara bagi membolehkan wanita itu memberi susu botol kepada bayi yang masih merah itu.

Kelibat wanita warga Myanmar, Ambiya Mohamad, 37, yang juga salah seorang tertuduh dalam kes mengedar dadah menyebabkan semua pihak di dalam Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjadi sayu.

Naluri keibuan wartawan Bernama, Zalina Maizan Ngah mula tersentuh sebaik mendengar rengekan bayi yang tidak selesa dan kesejukan di dalam mahkamah menyebabkan dia menyelimuti bayi itu yang masih di pangkuan ibunya menggunakan sehelai selendang ‘pashmina’ miliknya.

Bapa bayi tersebut, Lim Siau Seng, 29, kelindan lori seorang warga tempatan turut didakwa bersama dalam kes itu hanya mampu tersenyum tanda ‘terima kasih’ atas belas ihsan wartawan berkenaan.

Turut didakwa dalam kes mengedar dadah, seorang lagi warga Myanmar, Arafah Abu, 30, dan pekerja kontrak warga tempatan, K. Vigneswaran, 23.

Ambiya, bekerja sebagai pembantu kedai makan sebelum ditangkap dan Arafah pula pemegang status pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR).

Dia sedang mengandung dua bulan ketika ditangkap pada April lalu dan melahirkan bayi itu dua minggu lalu semasa masih ditahan reman di Penjara Kajang.

Kesemua mereka didakwa mengedar 3.15 kilogram heroin pada pukul 5 petang, 3 April lalu di tempat letak kereta, Jalan Manis 6 di hadapan Maybank Taman Segar, Cheras di sini.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mereka diwakili peguam bela Nagarajan Peri manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazelan Jamaludin.

Kes itu yang disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab. Aziz hari ini ditangguhkan sehingga 15 Januari depan kerana laporan kimia belum siap.

Sejurus prosiding selesai, beberapa langkah sebelum memasuki lokap mahkamah, Ambiya berpaling semula kerana ingin memulangkan selendang wartawan Bernama yang masih menyelimuti anaknya.

Bagaimanapun, Zalina memberi isyarat supaya menyimpan selendang itu.

Sambil memegang erat pashmina dan anaknya, Ambiya memberikan senyuman sebelum masuk ke lokap.

7 permintaan!

Posted in Dokumentari : Puteri Gunung Ledang on Disember 9, 2009 by syirfan

“Adapun segala kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada tuan Puteri Gunung Ledang; akan titah tuan puteri, “Jikalau raja Melaka hendakkan aku, perbuatkanlah aku jambatan emas satu dan jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang itu. Akan peminangannya hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan darah anak raja muda yang pertama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau ada demikian kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu.” Setelah sudah ia berkata demikian lenyaplah ia. Pada suatu riwayat, orang tua yang berkata-kata itulah Puteri Gunung Ledang, merupakan dirinya seperti orang tua. – Sulalatus Salatin ms 215 

Wahai Tuan Puteri, apakah yang cuba disampaikan lewat 7 permintaaan ini?