Arkib untuk Mac, 2010

Perubahan…

Posted in Buah Fikiran on Mac 29, 2010 by syirfan

Agak lama  masa yang saya ambil untuk kembali ke laman ini. Mungkin kesan dari ucap “Selamat Tinggal” itu masih berbekas. Masih terasa. Maklumlah, tulah tempat tertanamnya harapan. Itu juga tempat yang pernah menghantar saya ke bintang…

Hakikatnya, tempat itu terpaksa saya tinggalkan dengan penuh rasa kesal. Apa pun, itulah silibus hidup yang perlu saya lalui. Harap untuk terus mematangkan diri…

Kadang-kadang hidup memang memerlukan bencana sebagai satu momentum untuk berubah. Ia mungkin ketika bencana itu melanda atau bencana itu bakal muncul tidak lama lagi. Bayangkan, bila kita mahu belajar bersungguh-sungguh? bila kita tahu kita nyaris gagal. Bila kita mahu berkata secara bersungguh-sungguh kepada kekasih bahawa kita cintakan dia? Waktu hubungan itu sudah hampir benar ke penghujungnya…

Namun tidaklah perlu bencana-bencana besar barulah kita mahu berubah. Tidak seperti dalam drama melayu bila sudah dilanggar lori, dirogol, dan dilanda dengan segala kejahatan dunia baru hendak berubah. Realiti hidup – Kita dikenakan saman atau anak masuk hospital pun kita sudah berjanji pada diri untuk berubah! Hidup ini tidak memerlukan bencana besar untuk berubah. Cukup kita sedar bahawa telah tiba masanya…

Bagi saya, inilah masanya itu perubahan itu… Inilah masa untuk penghijrahan yang ditunggu-tunggu… Kawan-kawan bagaimana?

Masih dalam rasa untuk mengucapkan selamat tinggal…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Mac 16, 2010 by syirfan

Ada kawan yang menyindir kerana blog ini tidak dikemaskini.

Saya letakkan lagu ini kerana saya masih dalam rasa untuk mengucapkan selamat tinggal…

Sukar rupanya untuk mengucapkan selamat tinggal…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Mac 9, 2010 by syirfan

Benar. Saya sudah meninggalkan FM Production.

Namun sehingga tika dan saat ini, saya masih belum mengucapkan selamat tinggal pada syarikat yang saya bernaung, pada semua rakan yang bersatu di sana dan pastinya pada kenangan.

Sukar sebenarnya untuk mengambil  dan menerima keputusan ini -meninggalkan sesuatu yang saya hargai, saya hormati dan saya sanjungi. Mana mungkin saya menafikan semua hakikat bahawa FM Production yang membawa saya setangga lebih tinggi dalam industri. Tidak mungkin untuk saya berkata “FM Production tidak pernah memberi peluang kepada saya”.

Namun itulah hakikatnya. Saya pergi juga. Sukar untuk saya bercerita satu-persatu mengapa dan kenapa saya pergi jua. Terlalu sukar. Saya juga tidak mahu bercerita satu persatu. Biarlah pahit itu saya telan. Sendiri.

Saya rasa inilah yang terbaik untuk semua.

Saya sangat terkesan bila mengangkat kotak-kotak barangan peribadi untuk keluar dari bangunan itu. Ia bagaikan mengangkat kenangan dan membawanya keluar supaya tidak ada satu pun kenangan yang tinggal. Saya pandang setiap sudut sebelum keluar agar saya tidak lupa setiap ruang yang pernah menjadi saksi pelbagai cerita. Saya cuba hayati setiap anak tangga yang saya turuni agar saya tak lupa diri bahawa saya pernah berada di sini – di FM Production.

Pada semua yang tinggal, sekalung penghargaan dari hati saya. Terima kasih atas segala sokongan. Terima kasih atas segala kepercayaan. Terima kasih atas segala senyuman.

Adik-adik penerbit muda – Aman, Ina, Nora, Fiha, Jocelyn, Amin, Joyah, Aida … Tahniah kerana masih bertahan dan terima kasih kerana pernah memberi ruang untuk saya hadir dalam kerjaya pilihan ini. Moga terus sukses dan pastinya saya akan sentiasa merindui karenah semua.

Pasti akan kita ketemu semula di padang mainan yang lain. Insyaallah.

Selamat tinggal, kita pasti jumpa lagi! Noktah.

*Penulis telah pun meninggalkan FM Production dan kini bertugas di Al Hijrah Media Corporation. Penulis tidak lagi bertanggungjawab terhadap sebarang tugasan, isu, kontrak, bayaran atau apa sahaja yang berkaitan dengan FM Production. Sila hubungi FM Production untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih.

60 tahun sudah berlalu…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Rencana, Senyum Tangis 'Aku' on Mac 2, 2010 by syirfan

Hari ini, 2 Mac 2010, genaplah 60 tahun Rosli Dhoby meninggalkan kita.

Saya dari awal pagi tadi saya mengelamun jauh mengenang, menginsafi segala cerita suka-duka berkait dengan tokoh ini. Bayangkan, 59 tahun yang lalu, Rosli Dhoby hanyalah seorang pemberontak dan pembunuh. Namanya jadi terlalu janggal untuk disebut. Bukan sahaja di Semenanjung, malah di Sarawak sendiri.

Syukur. Benar-benar bersyukur bila setahun kebelakangan ini segalanya berubah. Sejarah Rosli Dhoby bagaikan dicatat semula. Kali ini dengan penuh kebanggaan.

Terima kasih kepada semua yang membantu merealisasikan mimpi ini. Terima kasih kerasa sudi menghulur bantuan pada tika saya sendiri kadang-kadang tewas dengan keyakinan. Terima kasih kerana sentiasa percaya bahawa saya boleh melakukan misi yang hampir mustahil ini.

Hari ini tiada rencana yang paling sedang dibaca oleh saya kecuali sebuah rencana tulisan sahabat saya – Rudi Affendi Khalik

Saya merasakan tulisan ini terhasil dari pemahaman sejarah yang panjang serta semangat kebangsaan beliau yang benar-benar jitu. Saya lampirkan rencana ini untuk semua. Mana tahu, ada ilmu berguna yang boleh dikongsi saya.

Sebelum itu, Al-fatihah.

Terimalah:

Retrospektif Buat Pejuang
Genap 60 tahun Rosli Dhobi bersemadi

Oleh Rudi Affendi Khalik

Sejak stesen tv berbayar, Astro menerusi rangkaian Citra dan Prima menayangkan kisah perjuangan Rosli Dhobi dalam drama bersiri Warkah Terakhir dan dokumentari Rosli Dhobi: Pejuang atau Pembunuh, minat untuk mengetahui kisah perjuangannya terus meledak. Nama Rosli terus meniti dari bibir ke bibir dan mencatatkan rekod membanggakan dalam siri carian internet.

Lebih mengujakan, menurut Bolhassan Ainnie, anak saudara Allahyarham, ada seorang wanita dari Semenanjung yang menghubungi beliau dan mengaku jatuh cinta kepada Rosli dan perjuangannya dan berhasrat untuk terbang ke Sibu bagi berjumpa dengan Hajah Ani – kekasih yang begitu setia dengan cinta di hati.

Terima kasih Astro. Terima kasih kepada rakan-rakan yang menulis dan menjulang kisah pahlawan muda ini ke peringkat nasional. Sehingga tahun 1990, amat sedikit yang mengetahui perihal Rosli. Bahkan cerita mengenainya hanya berlegar di sekitar Sibu sahaja. Ketika pemindahan kubur dan pembebasannya dari Penjara Pusat Kuching ke Sibu, banyak rakan wartawan yang masih kabur akan sejarah perjuangan Rosli. Manakala rakan-rakan Allahyarham yang turut ditangkap dan dipenjarakan kerana berjuang bersama-samanya – termasuk terlibat dalam komplot pembunuhan ejen dan pentadbir Koloni British yang dikenali sebagai Rukun Tiga Belas – disisih, dihina atas status sebagai banduan.

Namun hari ini, namanya harum di mana-mana. Namanya gah dan menjadi pujaan, setaraf julangan nama Mat Kilau, Panglima Salleh Selempang Merah dan Datuk Bahaman. Inilah satu-satunya pahlawan negara yang masih di usia muda ketika berjuangan. Bahkan tokoh politik Almarhum Ahmad Boestamam, yang dipenjarakan di Penjara Changi pada waktu itu kerana rusuhan Natrah, mengakui bahawa beliau sebagai pejuang yang “paling berani” – bukan sahaja kerana usianya yang muda, tetapi kerana melakukan tindakan pembunuhan nekad dan protes secara berdepan dan menggunakan pisau (badik). Untuk rekod, Rosli telah menikam Gabenor Koloni British Kedua di Sarawak, Sir Duncan George Stewart pada 3 Disember 1949 ketika beliau baru sahaja menjejakkan kaki ke Sibu dan mati di Singapura seminggu kemudiannya.

Rosli Dhobi dilahirkan di Sibu, anak kepada Dhobi bin Buang, seorang Melayu yang berasal dari Palembang. Beliau belajar di Methodist School Sibu dan menjadi guru sekolah rakyat pada sebelah petangnya. Beliau menjadi guru lantaran peletakan jawatan begitu banyak guru dan kakitangan awam yang membantah Circular No 9 – yang melarang kakitangan awam menyokong penyerahan Sarawak kepada Koloni British.

Perjuangannya semakin membara apabila beliau menyertai Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) Sibu yang dipimpin oleh Haji Sirat Haji Yaman, dan kemudiannya menjawat dan memangku beberapa jawatan terpenting termasuk Penolong Setiausaha Agung. Disinilah beliau bertemu dengan Awang Rambli Matserudin, yang menjadi ketuanya, selaku Setiausaha Agung PPM. PPM amat aktif membakar aspirasi anticession dan Awang Rambli antara moderator yang kepada perjuangan ini. Beliau menulis di dalam akhbar Utusan Sarawak bersama-sama Johari Anang dan Ikhwan Zainie mengenai perlunya kemerdekaan dan bangkangan penyerahan Sarawak kepada Koloni British. Bahkan mereka sebenarnya mahupun pentadbiran keluarga Brooke diteruskan dengan harapan akan membantu ke arah menyediakan kerajaan sendiri kemudiannya. Awang Rambli memainkan peranan penting kerana beliaulah pembakar semangat Rosli untuk melaksanakan misinya selain mengetuai beberapa komplot untuk bertindak kepada kerajaan penjajah ketika itu (biarpun kebanyakannya hanya bersifat rundingan dan perbincangan).

Sebagai seorang yang dikategorikan sebagai pemikir yang diam, Rosli sebenarnya begitu menjiwai perjuangan biarpun pada usia yang muda — 14-16 tahun. Kajian saya mendapati bahawa beliau mewakili PPM dalam banyak persidangan dan perjumpaan di seluruh Sarawak dan ada antaranya, sehingga dijemput untuk berucap di beberapa majlis di Kuching. Bahkan beliau turut menulis artikel perjuangan dan antaranya termasuklah sajak yang popular, PanggilanMu Yang Suchi menggunakan nama samaran Lidros dan diterbitkan Utusan Sarawak.

Sebagai seorang yang taat agama dan taat kepada orang tua, Rosli sebenarnya seorang yang nekad dan yakin. Nekad kerana beliau tidak berkira-kira dalam segala tindakannya. Baginya jihad perlu dilaksanakan biarpun beliau tahu implikasinya adalah nyawanya sendiri. Beliau sedar akan hal ini dan beliau sanggup mengorbankan dirinya. Buktinya? Ketika melaksanakan pemnbunuhan, beliau tidak berundur. Bahkan beliau meneruskan juga tindakannya biarpun langkah awalnya tersasar dan tersandung. Beliau menggunakan pakaian hijau Sukarno ketika melaksanakan tugas itu, yang didalamnya mengandungi kalimah-kalimah suci. Inilah nekad pengorbanan untuk negara yang perlu kita renungi. Justeru tidak hairanlah begitu banyak yang menitis air mata ketika menonton perjuangan dan pengorbannya yang digarap begitu baik dalam Warkah Terakhir.

Hari ini, genap 60 tahun Allahyarham Rosli Dhobi bersemadi. Pada tanggal 2 Mac 1950, sebelum Subuh, beliau telah menjalani hukuman gantung bersama-sama Morshidi Sidek, di Penjara Pusat Kuching. Perisitiwa menyayat hati itu seharusnya membakar semangat juang generasi muda dan menjadi iktibar kepada golongan pemimpin generasi baru.

Tidak mudah untuk kita menikmati kemerdekaan dan pembangunan pada hari ini jika kita masih dibelenggu penjajahan. Untuk setiap inci pembangunan yang kita capai, udara kemerdekaan yang kita hirup, ingatkah, di situlah setiap tetes darah dan keringat Rosli Dhobi mengalir. Pesanlah, dan tanamlah di jiwa anak-anak kita, biarlah jiwa mereka membara seperti Rosli. Perkenalkan perjuangan Rosli kepada mereka agar generasi muda kita akan terus berjuang membangunkan diri, agama, bangsa dan negara. Seterusnya memelihara kemerdekaan inmi hingga ke keringat terakhir. Al-Fatihah.

Nota: Satu bulatan baru di Sibu, berhampiran Lembaga Pelabuhan Rajang – lokasi pembunuhan – telah dinamakan semula sebagai Bulatan Rosli Dhobi. Terima kasih atas pengabadian.

Penulis merupakan bekas Editor Rencana Utusan Sarawak