60 tahun sudah berlalu…

Hari ini, 2 Mac 2010, genaplah 60 tahun Rosli Dhoby meninggalkan kita.

Saya dari awal pagi tadi saya mengelamun jauh mengenang, menginsafi segala cerita suka-duka berkait dengan tokoh ini. Bayangkan, 59 tahun yang lalu, Rosli Dhoby hanyalah seorang pemberontak dan pembunuh. Namanya jadi terlalu janggal untuk disebut. Bukan sahaja di Semenanjung, malah di Sarawak sendiri.

Syukur. Benar-benar bersyukur bila setahun kebelakangan ini segalanya berubah. Sejarah Rosli Dhoby bagaikan dicatat semula. Kali ini dengan penuh kebanggaan.

Terima kasih kepada semua yang membantu merealisasikan mimpi ini. Terima kasih kerasa sudi menghulur bantuan pada tika saya sendiri kadang-kadang tewas dengan keyakinan. Terima kasih kerana sentiasa percaya bahawa saya boleh melakukan misi yang hampir mustahil ini.

Hari ini tiada rencana yang paling sedang dibaca oleh saya kecuali sebuah rencana tulisan sahabat saya – Rudi Affendi Khalik

Saya merasakan tulisan ini terhasil dari pemahaman sejarah yang panjang serta semangat kebangsaan beliau yang benar-benar jitu. Saya lampirkan rencana ini untuk semua. Mana tahu, ada ilmu berguna yang boleh dikongsi saya.

Sebelum itu, Al-fatihah.

Terimalah:

Retrospektif Buat Pejuang
Genap 60 tahun Rosli Dhobi bersemadi

Oleh Rudi Affendi Khalik

Sejak stesen tv berbayar, Astro menerusi rangkaian Citra dan Prima menayangkan kisah perjuangan Rosli Dhobi dalam drama bersiri Warkah Terakhir dan dokumentari Rosli Dhobi: Pejuang atau Pembunuh, minat untuk mengetahui kisah perjuangannya terus meledak. Nama Rosli terus meniti dari bibir ke bibir dan mencatatkan rekod membanggakan dalam siri carian internet.

Lebih mengujakan, menurut Bolhassan Ainnie, anak saudara Allahyarham, ada seorang wanita dari Semenanjung yang menghubungi beliau dan mengaku jatuh cinta kepada Rosli dan perjuangannya dan berhasrat untuk terbang ke Sibu bagi berjumpa dengan Hajah Ani – kekasih yang begitu setia dengan cinta di hati.

Terima kasih Astro. Terima kasih kepada rakan-rakan yang menulis dan menjulang kisah pahlawan muda ini ke peringkat nasional. Sehingga tahun 1990, amat sedikit yang mengetahui perihal Rosli. Bahkan cerita mengenainya hanya berlegar di sekitar Sibu sahaja. Ketika pemindahan kubur dan pembebasannya dari Penjara Pusat Kuching ke Sibu, banyak rakan wartawan yang masih kabur akan sejarah perjuangan Rosli. Manakala rakan-rakan Allahyarham yang turut ditangkap dan dipenjarakan kerana berjuang bersama-samanya – termasuk terlibat dalam komplot pembunuhan ejen dan pentadbir Koloni British yang dikenali sebagai Rukun Tiga Belas – disisih, dihina atas status sebagai banduan.

Namun hari ini, namanya harum di mana-mana. Namanya gah dan menjadi pujaan, setaraf julangan nama Mat Kilau, Panglima Salleh Selempang Merah dan Datuk Bahaman. Inilah satu-satunya pahlawan negara yang masih di usia muda ketika berjuangan. Bahkan tokoh politik Almarhum Ahmad Boestamam, yang dipenjarakan di Penjara Changi pada waktu itu kerana rusuhan Natrah, mengakui bahawa beliau sebagai pejuang yang “paling berani” – bukan sahaja kerana usianya yang muda, tetapi kerana melakukan tindakan pembunuhan nekad dan protes secara berdepan dan menggunakan pisau (badik). Untuk rekod, Rosli telah menikam Gabenor Koloni British Kedua di Sarawak, Sir Duncan George Stewart pada 3 Disember 1949 ketika beliau baru sahaja menjejakkan kaki ke Sibu dan mati di Singapura seminggu kemudiannya.

Rosli Dhobi dilahirkan di Sibu, anak kepada Dhobi bin Buang, seorang Melayu yang berasal dari Palembang. Beliau belajar di Methodist School Sibu dan menjadi guru sekolah rakyat pada sebelah petangnya. Beliau menjadi guru lantaran peletakan jawatan begitu banyak guru dan kakitangan awam yang membantah Circular No 9 – yang melarang kakitangan awam menyokong penyerahan Sarawak kepada Koloni British.

Perjuangannya semakin membara apabila beliau menyertai Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) Sibu yang dipimpin oleh Haji Sirat Haji Yaman, dan kemudiannya menjawat dan memangku beberapa jawatan terpenting termasuk Penolong Setiausaha Agung. Disinilah beliau bertemu dengan Awang Rambli Matserudin, yang menjadi ketuanya, selaku Setiausaha Agung PPM. PPM amat aktif membakar aspirasi anticession dan Awang Rambli antara moderator yang kepada perjuangan ini. Beliau menulis di dalam akhbar Utusan Sarawak bersama-sama Johari Anang dan Ikhwan Zainie mengenai perlunya kemerdekaan dan bangkangan penyerahan Sarawak kepada Koloni British. Bahkan mereka sebenarnya mahupun pentadbiran keluarga Brooke diteruskan dengan harapan akan membantu ke arah menyediakan kerajaan sendiri kemudiannya. Awang Rambli memainkan peranan penting kerana beliaulah pembakar semangat Rosli untuk melaksanakan misinya selain mengetuai beberapa komplot untuk bertindak kepada kerajaan penjajah ketika itu (biarpun kebanyakannya hanya bersifat rundingan dan perbincangan).

Sebagai seorang yang dikategorikan sebagai pemikir yang diam, Rosli sebenarnya begitu menjiwai perjuangan biarpun pada usia yang muda — 14-16 tahun. Kajian saya mendapati bahawa beliau mewakili PPM dalam banyak persidangan dan perjumpaan di seluruh Sarawak dan ada antaranya, sehingga dijemput untuk berucap di beberapa majlis di Kuching. Bahkan beliau turut menulis artikel perjuangan dan antaranya termasuklah sajak yang popular, PanggilanMu Yang Suchi menggunakan nama samaran Lidros dan diterbitkan Utusan Sarawak.

Sebagai seorang yang taat agama dan taat kepada orang tua, Rosli sebenarnya seorang yang nekad dan yakin. Nekad kerana beliau tidak berkira-kira dalam segala tindakannya. Baginya jihad perlu dilaksanakan biarpun beliau tahu implikasinya adalah nyawanya sendiri. Beliau sedar akan hal ini dan beliau sanggup mengorbankan dirinya. Buktinya? Ketika melaksanakan pemnbunuhan, beliau tidak berundur. Bahkan beliau meneruskan juga tindakannya biarpun langkah awalnya tersasar dan tersandung. Beliau menggunakan pakaian hijau Sukarno ketika melaksanakan tugas itu, yang didalamnya mengandungi kalimah-kalimah suci. Inilah nekad pengorbanan untuk negara yang perlu kita renungi. Justeru tidak hairanlah begitu banyak yang menitis air mata ketika menonton perjuangan dan pengorbannya yang digarap begitu baik dalam Warkah Terakhir.

Hari ini, genap 60 tahun Allahyarham Rosli Dhobi bersemadi. Pada tanggal 2 Mac 1950, sebelum Subuh, beliau telah menjalani hukuman gantung bersama-sama Morshidi Sidek, di Penjara Pusat Kuching. Perisitiwa menyayat hati itu seharusnya membakar semangat juang generasi muda dan menjadi iktibar kepada golongan pemimpin generasi baru.

Tidak mudah untuk kita menikmati kemerdekaan dan pembangunan pada hari ini jika kita masih dibelenggu penjajahan. Untuk setiap inci pembangunan yang kita capai, udara kemerdekaan yang kita hirup, ingatkah, di situlah setiap tetes darah dan keringat Rosli Dhobi mengalir. Pesanlah, dan tanamlah di jiwa anak-anak kita, biarlah jiwa mereka membara seperti Rosli. Perkenalkan perjuangan Rosli kepada mereka agar generasi muda kita akan terus berjuang membangunkan diri, agama, bangsa dan negara. Seterusnya memelihara kemerdekaan inmi hingga ke keringat terakhir. Al-Fatihah.

Nota: Satu bulatan baru di Sibu, berhampiran Lembaga Pelabuhan Rajang – lokasi pembunuhan – telah dinamakan semula sebagai Bulatan Rosli Dhobi. Terima kasih atas pengabadian.

Penulis merupakan bekas Editor Rencana Utusan Sarawak

6 Respons to “60 tahun sudah berlalu…”

  1. semalam juga anim berjaya habiskan tengok warkah terakhir di You Tube… sangat bermakna…

  2. sbm ni memang tak berapa mengetahui dgn mendalam kisah rosli dhobi ni …slps astro siarkan kisahnya dlm Warkah Terakhir rasa memang dh jatuh cinta ngan pejuang ini…al-fatihah untuk beliau.

  3. khairuummah77 Says:

    Madrasah Khairu Ummah

    Kami memerlukan sumbanggan anda untuk menjayakan pembenaan pondok ini. #Segala sumbangan hendaklah disalurkan melalui Bank Muamalat Malaysia Berhad No akaun : 0302-0000656-71-8 dan Maybank Islamic Berhad No akaun: 55310 4411 805 di bawah nama:-PERTUBUHAN UMAT CEMERLANG KELANTAN (KHAIRU UMMAH).

    Sila Layarai – http://khairuummah77.wordpress.com/

  4. apabila menonton drama warkah terakhir buat pertama kali di astro saya terus jatuh cinta pada jalan ceritanya yang digarap begitu baik sekali. tahniah buat semua yang menjayakan drama tersebut.

  5. rosli dhobi ank sarawak yang patut di banggakan kan sepanjang zaman….
    sanggup bergadai nyawa untuk mempertahankan sarawak… pengorbanannya dapat dirasai hingga kini….

  6. bangga dengan perjuangan rosli dhobi… saya tk pernah dengar nama rosli dhobi sblm ni… warkah terakhir memperkenalkan saya dengan rosli… terharu mengikuti kisahnya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: