Arkib untuk Mei, 2010

Biji Getah dan Kenangan…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Mei 30, 2010 by syirfan

Assalamualaikum ya ahli kubur

Saya kembali mengunjungi tanah perkuburan itu.

Sunyi seperti kebiasaannnya. Rumput lalang pun sudah kembali meninggi. Hampir setinggi batu nisan. Ada beberapa kubur baru mengambil tempat.

Terkesan juga pada retina mata beberapa batang pohon getah yang menjadi saksi bisu di tanah perkuburan ini telah ditebang. Mungkin akarnya mengganggu.

Musim panas menjadikan daun-daun getah kuning, kering dan gugur. Satu lanskap yang cantik.

Saya kembali menjengah kubur itu. Sangat terasa di hati. Daun-daun kering cuba menyapa. Di atas kuburan, beberapa biji getah jelas kelihatan.

Ahh, biji getah!

***

Biji getah terhasil dari pokok getah yang matang. Matang maksudnya sudah boleh ditoreh dan akan menghasilkan susu getah atau lateks. Biji getah yang pelbagai warna dan corak akan gugur sendiri dari pokok.

Biji getah ini berkulit keras dan licin. Dari situlah bermulanya – laga biji getah.

Saya dan Bakhtiar sama sahaja seperti kawan-kawan lain. Maklumlah kami berbesar dalam dunia penoreh getah. Laga biji getah pastinya salah satu permainan kami. Dua biji getah dilagakan. Kalau biji getah itu pecah, kalah. Begitu juga sebaliknya.

Pelbagai tipu muslihat dicipta untuk menjadikan kulit biji getah itu keras dan sentiasa jadi juara. Namun, biji getah yang terbaik adalah biji getah yang baru gugur.

Jika mahu yang lebih baik, dapatkan biji getah yang gugur tetapi tidak sempat menjamah tanah. Itulah cabarannya.

Saya dan Bakhtiar sering menunggu biji getah gugur. Berebut untuk punya biji getah paling keras.

Suatu hari, pada waktu kami menung-menung di kebun, sebiji buah getah gugur betul-betul di atas kepala Bakhtiar. Sebelum biji getah itu jatuh ke tanah, saya sempat menangkapnya.

Saya telah memegang biji getah yang belum jatuh ke tanah!

Persoalannya, siapa pemilik biji getah itu? Ia gugur di atas kepala Bakhtiar tetapi saya yang menangkapnya agar tidak jatuh ke tanah?

Akhirnya, kami memutuskan – biji getah itu milik bersama. Bertukar pemilik setiap hari. Bagai dijangka, biji getah itu jadi juara sahaja. Juara bersama.

Kami jadi sangat rapat tika itu. Hanya kerana biji getah.

***

Sambil membersihkan kubur, akal saya jauh meneroka kenangan.

Lenalah kau sahabat. Kita bakal ketamu lagi nanti.

Al-Fatihah untuk kau sahabat baik- Allahyarham Bakhtiar Ibrahim.

kuatnya kuasa sebuah novel…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Mei 24, 2010 by syirfan

Digging – set – fast!

VT – Hilal Asyraf sekali lagi. Bulan ini sahaja sudah 5 kali saya mengulang baca novel motivasi remaja ini.

Tiada sebab lain.  Saya membeli novel ini kerana subjek ceritanya – bola tampar dan zaman persekolahan. Bagi saya, inilah novel paling berjaya mengadaptasi sukan bola tampar dalam dunia pembacaan.

Ceritanya mudah dan bagai boleh dijangka. Sebuah pasukan bola tampar yang lemah dan diwarnakan dengan kehadiran seorang guru aka jurulatih baru yang berbeza cara latihanya.

Pastinya dalam pasukan itu adalah seorang yang berjiwa dan berotak batu. Pasti ada seorang yang mengalami masalah keluarga. Seorang masalah pelajaran. Seorang mengalami masalah rendah diri dan semuanya mahu menang dalam kejohanan bola tampar akan datang.

Pastinya juga lawan yang bakal dihadapi adalah musuh tradisi yang sangat hebat. Penghujung cerita pastinya kemenangan!

Namun begitu, saya membaca novel ini sambil mengulam kenangan tika zaman persekolahan. Pastinya juga pada dunia bola tampar yang sangat dekat pada saya.

Bermula dengan ragging oleh abang-abang senior yang memaksa saya digging bola tampar sehingga lebam-lebam tangan. Namun tiba-tiba berubah selepas lebam-lebam itu hilang. Saya sudah menguasai digging secara tidak sedar. Dari sesi ragging ia menjadi kegemaran saya. Saya sudah selesa bermain bola tampar dengan skuad bawah 18 tahun walaupun pada itu saya baru di tingkatan 1. Pastinya saya tidak di ragging lagi kerana berkawan dan bermain dengan abang-abang senior.

Semuanya indah hingga saya menjadi jurulatih pasukan bola tampar sekolah tika di tingkatan 6 atas.

Namun selepas itu, tiada lagi bola tampar dalam hidup saya…

Hanya tiba-tiba novel VT menawarkan semangat untuk saya kembali ke gelanggang. Hebat ya kuasa sebuah novel!

Piala Thomas dan lagu bangau oh bangau…

Posted in Buah Fikiran, Sebuah negara bernama "Malaysia" on Mei 24, 2010 by syirfan

Versi zaman kanak-kanak

…. Kayu oh kayu mengapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah
hujan timpa aku
hujan timpa aku..

Hujan oh hujan Kenapa kau timpa kayu?
Macam mana tak timpa kayu
katak panggil aku
katak panggil aku…

Katak oh katak mengapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil
ular nak makan aku
ular nak makan aku…

Ular oh ular kenapa nak makan katak?
Macam mana aku tak makan katak,
memang makanan aku
memang makanan aku…

Versi kini

… Jurulatih oh jurulatih kenapa kalah piala Thomas
macam mana kita tak kalah
pemain kita lemah
pemain kita lemah…

pemain oh pemain kenapa kamu lemah
macam mana kami tak lemah
media tekan kami
media tekan kami…

Media oh media kenapa tekan pemain
macam mana kami tak tekan
memang kerja kami
memang kerja kami…

* sampai bila-bilalah kita tak akan menang…

Gesang Martohartono dan legasinya – “Bengawan Solo”

Posted in Buah Fikiran, Senyum Tangis 'Aku', Uncategorized on Mei 21, 2010 by syirfan

“Bengawan Solo” pernah menjadikan Gesang Martohartono memperoleh Bintang Penghargaan dari  Maharaja Akihito pada 1992 dan Tanda Kehormatan Bintang Budaya Parama Dharma dari Presiden Indonesia. Lagu ini juga pernah diterjemah kepada 13 bahasa dan pernah digunakan di dalam sebuah filem Jepun.

Lagu yang disiapkan pada tahun 1940 selama 6 bulan oleh Gesang Martohartono ini berkisar kepada sungai yang terpanjang di Jawa. Lagu ini juga terasa sangat dekat dengan kita di Malaysia.

Semalam, pencipta lagu Bengawan Solo ini pergi mengadap tuhannya. Bagi peminat lagu Allahyarham seperti saya, Allahyarham bukan meninggalkan  sebuah lagu biasa. Allahyarham meninggalkan sebuah legasi – “Bengawan Solo!”

Al-Fatihah.

kulit kambing…

Posted in Buah Fikiran on Mei 20, 2010 by syirfan

Pada zaman dahulu ada seorang raja yang memerintah negara Antah Beratah. Suatu hari raja ini berjalan-jalan mengelilingi kotanya. Tiba-tiba, kakinya luka akibat terpijak batu yang tajam.

Terus hadir dalam kotak fikirannya untuk melaksanakan suatu projek yang luar biasa hebatnya. Raja ini mahu membaiki semua jalan-jalan di kotanya. Biar semua rakyat mengkagumi usaha yang akan menyebabkan tiada lagi orang yang luka akibat terpijak batu yang tajam di dalam kotanya.

Maka diperintahkan kepada semua, “kumpulkan kambing-kambing dari baka terbaik. Dapatkan kulitnya. Kulit-kulit ini akan melapisi jalan-jalan sekitar kota”.

Maka riuhlah kota itu untuk mengumpulkan kambing-kambing dari baka terbaik untuk dikorbankan agar kulit-kulit kambing ini dapat digunakan.

Dalam kesibukan raja melihat kambing-kambing dari baka terbaik, hadirlah seorang kanak-kanak dan terus berkata kepada rajanya, “Mengapa perlu tuanku mengorbankan kambing-kambing ini untuk melapisi jalan-jalan di kota ini? Bukankah apa yang tuanku perlukan ialah dua potong kulit kambing yang boleh dijadikan sepatu untuk melapisi kaki tuanku?”

***

Ramai yang mahu mengubah dunia, tapi tidak mahu mengubah dirinya sendiri…

Cinta Sufi

Posted in Buah Fikiran on Mei 18, 2010 by syirfan

Lama juga saya tidak membaca karya novelis Thriller – Ramlee Awang Murshid. Minggu lepas saya berpeluang untuk mentafsir novel baru beliau – Cinta Sufi.

Bila saya mula membaca karya ini, baru saya sedar bahawa sudah cukup lama saya meninggalkan karya Ramlee Awang Murshid (RAM). Cukup lama. Rasanya karya terakhir yang serius saya baca adalah Tombiruo. Saya sememangnya agak liat untuk membaca karya-karya thriller.

Namun bila mula membaca Cinta Sufi, baru saya sedar saya telah terlepas banyak karya yang sudah terkeluar dari pola thriller lama yang terperap dalam otak saya. Rupanya telah ada trilogi Bagaikan Puteri dan Cinta Sufi ini adalah kesinambungannya.

Ceritanya juga cukup hebat. Menggunakan latar akhir Kesultanan Melayu Melaka sebelum dirakah rakus oleh Portugis dan menggunakan watak-watak yang sememangnya wujud dalam latar sejarah itu.

Namun thriller tetap thriller. Munculllah watak-watak dari zaman yang berbeza, watak dari alam yang lain serta garapan kembali sejarah yang diberi nafas baru yang lebih segar. Bagi saya ia sebuah karya yang memberi warna pada sejarah. Ia sama dengan karya Faisal Tehrani yang memberi wajah hebat Melaka lewat novel 1515 menerusi watak Nyemah Mulya.

(Selepas menulis tajuk novel 1515, saya terus terfikir di mana novel kesayangan saya itu. Hampir 1 jam saya saya membongkar koleksi peribadi saya dan gagal memjumpainya. Kepada sesiapa yang meminjam novel itu, mohon pulangkan semula. Novel itu sangat istimewa kerana ada tandatangan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad di laman hadapannya)

Tiada apa yang boleh dikatakan lagi pada kesempurnaan yang dicipta RAM menerusi watak Laksamana Sunan, Catalina, Luna, mahupun Hang Tuah. Pada saya ia sebuah karya yang baik dan saya sangat gembira punyai novel ini.

Namun disebalik itu saya terkenang pada seorang teman. Penulis muda. Peminat karya thriller. Sebelum ini dia banyak menulis tetapi tidak pernah selesai novelnya. Sangat kompleks cerita thiller yang mahu di bikinkanya.

Jika saya nilai semula, tiada beza idea beliau dengan RAM lewat Cinta Sufi. Saya rasa teman saya itu jauh lebih faham dan rinci pandangannya tentang sejarah Melaka. Penulisannya pun tidaklah ada cacat. Jika dulu keliru dengan karya thriller, RAM telah buka dimensi baru dengan menampilkan cerita cinta. Saya lebih yakin kerana teman saya itu sedang bercinta. Mungkin cintanya lebih hebat dari pandangan cinta RAM.

Oh teman, apa yang ditunggu lagi? Adakah tahun ini akan terbit novel thriller terbaru – Hijrah Cinta?

Perempuan Berkalung Sorban

Posted in Buah Fikiran on Mei 17, 2010 by syirfan

 

Agak lama masa yang saya ambil untuk memberi peluang filem arahan Hanung Bramantyo ini untuk saya tonton. Walaupun sudah beberapa kali diingatkan oleh beberapa orang rakan tentang istimewanya Perempuan Berkalung Sorban, serta dihangatkan dengan kejayaan filem ini di Festival Filem Indonesia 2009, hanya baru-baru ini peluang itu hadir.

Hadir pun kerana saya sedang mencari jawapan kepada sebuah persoalan yang agak kompleks dalam industri perfileman negara. Saya sedang mencari satu tanda aras apa yang dikenali sebagai filem Islam.

Pada Filem Perempuan Berkalung Sorban saya beri peluang…

Visual pertama Perempuan Berkalong Sorban adalah wajah Anissa berkuda. Revalina S. Temat yang bagi saya sangat cocok dengan wajah Anissa, wanita muslim yang kekar semangatnya, selalu berfikir di luar kotak, bijak dan pastinya cantik. Dibesarkan dalam lingkungan keluarga kiai di sebuah pasantren salafiah Putri Al- Huda, Indonesia.

Pendidikan agama kolot yang diterima oleh Anissa di Pasantren ini menjadikan beliau sentiasa tidak berpuas hati. Baginya pasatren itu telah menghalangnya untuk mencari sesuatu yang jauh lebih bermakna.

Paparan visual filem yang sangat matang dan hebat ini kemudian membawa satu persatu tekanan dan ketidakadilan pada Anissa. Beliau dilarang berkuda, dilarang bermusafir untuk menuntut ilmu dan pelbagai tekanan tipikal pada wanita.

Anissa benar-benar keciwa. Satu persatu derita berkunjung. Hingga Anissa suatu masa berkata “aku sudah berkali-kali istighfar tetapi Tuhan tidak pernah dengar Istighfar aku.”

Pastinya filem ini turut membawa mesej cinta. Anissa dikahwinkan atas pilihan keluarga. Satu budaya biasa masyarakat melayu lama. Pastinya juga menhancurkan cinta lain yang pernah dibina.

Plot seterusnya bagai sudah dijangka. lelaki yang dikahwininya bukanlah sebaik lelaki. Derita demi derita hinggalah cinta lama muncul kembali.

Sukar juga mencari penghujung filem ini. Hanya yang berpinar di akal saya sepanjang menonton filem ini adalah sindirin sosial tajam yang cuba disampaikan. Benarlah kata kawan saya bahawa filem ini cukup panas dari aksi ranjang hingga tafsiran tentang Islam sebagai cara hidup.

Fahamlah saya kenapa karya ini dibantah oleh kumpulan ulama di sana. Ia sebuah karya yang terlalu kejam memperlihatkan wanita dalam agama  Islam. Saya juga cuba memahami idea sang penulis, penerbit dan pengarah yang membawa isu lama wanita menerusi sebuah paparan filem.

Visual akhir filem ini hampir sama. Anissa menunggang kuda tetapi kali ini bersama anaknya. Sebuah paparan 360 darjah. Bahasa filemnya, ia adalah cerita kita semua.

Namun hingga ending credit, saya masih tidak boleh memberi jawapan – apa itu filem Islam?