Oh Piala Thomas…

Pada peringkat awalnya, saya seperti penyokong lain juga mengharap kejayaan Malaysia untuk menjulang piala Thomas. Kenangan melihat kejayaan menjulang piala Thomas menerusi kaca TV 18 tahun yang lalu cukup bermakna pada saya.

Masih saya ingat kegembiraan itu. Masih saya ingat jumping smash itu!

Namun hakikat yang harus ditelan bahawa semua itu berlaku lama dahulu. Bayangkan, sudah 18 tahun piala Thomas tidak singgah menjadi milik sementara Malaysia.

Untuk sekian kalinya peluang itu hadir lagi. Awal-awal lagi saya mengharapkan keajaiban berlaku. Pastinya saya mahu Malaysia menang. Tiada alasan lain. Sekadar semangat kebangsaan yang meluap-luap agar sumpahan 18 tahun itu terungkai.

Namun semuanya tiba-tiba berubah.

Apabila ayah saya menyatakan bahawa beliau mahu menonton perlawanan piala Thomas untuk pertama kalinya dalam hidupnya di stadium, segalanya tentang harapan peribadi saya berubah.

Ayah saya secara serius menyatakan bahawa mungkin ini kali terakhir dia boleh melihat piala Thomas. Ini juga mungkin kali terakhir dia boleh memberi sokongan kepada pasukan Malaysia. Dia mahu melakukannya di stadium dan bukan di depan kaca TV seperti sebelumnya.

Kini, harapan saya tentang usaha merampas Piala Thomas berubah. Saya mahu Malaysia menang kerana ayah saya mahu melihat Piala Thomas dan mahu meraikannya bersama di stadium. Ayah saya sudah tidak sabar untuk berada di tepi gelanggang!

Namun, bila melihat kekalahan Malaysia di tangan Jepun malam tadi cukup merimaskan saya. Ayah saya sudah sedia untuk hadir di perlawanan akhir…

Adakah Malaysia akan bersaing di perlawanan akhir nanti?

Tinggalkan komen