Arkib untuk Jun, 2010

Belangsukawa untuk seorang sahabat: Noor Azaha Rasadi

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Jun 23, 2010 by syirfan

Panggilan telefon tepat 2 petang pada 22 jun oleh Dr. Tengku Asmadi benar-benar memukul. Ada khabar takziah yang ingin disampaikan. Saya terus gugup. Sepantas itu juga saya membuat satu panggilan lain untuk pengesahan. Benar. Ia terjadi. Noor Azaha Rasadi maut dalam sebuah kemalangan. Saya terduduk!

Noor Azaha Rasadi memulakan kariernya sebagai Penolong Penerbit Rancangan TV di Unit Ehwal Semasa TV (UESTV). Saya masih ingat hari pertamanya di bertugas. Berkemeja unggu pudar, bercermin mata bingkai hitam, senyum meleret.

Pagi pertamanya mungkin sangat membosankan. Beliau duduk di bangku hadapan ofis sambil menunggu sesiapa untuk menghulur salam perkenalan. Tiada. UESTV sememangnya sunyi disebelah pagi kerana semuanya memberi tumpuan kepada rancangan Selamat Pagi Malaysia yang dilaksanakan secara siaran langsung.

Tengahari itu barulah sempat saya menghulur salam. Dari gembiranya, saya dapat rasakan beliau akan selesa berkerja di UESTV. Azaha jelas dengan cita-citanya, “aku nak jadi penerbit!”

Bermulalah kerjayanya sebagai penolong penerbit rancangan Selamat Pagi Malaysia dan bermulalah juga ikatan persahabatan saya dengannya. Untungnya kami bekerja dalam satu produksi. Dek kerana saya lebih senior, jadilah Azaha sebagai penolong saya walaupun ilmu penerbitannya tak kurang hebatnya.

Bekerja dengan Azaha sangat mudah. Bagi beliau semuanya mudah. Tidak ada masalah. Tidak pernah beliau berkata tidak pada tugasan yang diberi. Azaha pasti melaksanakannnya dengan penuh rela hati, dengan penuh gembira. Hantarlah beliau kemana sahaja – ke puncak gunung kinabalu atau ke pusat pembuangan sampah, beliau akan laksanakan dengan baik.

Setiap kali tiba masa untuk proses mengedit bahan, kami akan bermalas-malasan di bilik edit. Oleh kerana kami mengedit sendiri bahan kami, maka banyaklah peluang untuk kami menguji keupayaan tahap editing masing-masing. Berbanggalah kami sama sendiri bila boleh mengedit dalam masa yang singkat atau berjaya menjumpai formula untuk menghasilkan efek tertentu pada mesin deck to deck kami. Masa selebihnya adalah menyanyi sama lagu-lagu kenangan karya M. Nasir atau Alleycat di dalam bilik edit.

Bila berkahwin dengan Naida Khalil, jadual Azaha semakin ketat. Azaha mula berulang alik dari Tanjung Malim ke RTM. Pada mulanya di menunggang motor, sejuk kecut bila Azaha hadir awal pagi jika ada siaran pagi. Selebihnya beliau berulang alik dengan bas ekspress. Apa yang saya boleh katakan, Azaha sangat menitik beratkan hal-hal kekeluargaan. Resah gelisah beliau jika tahu isterinya demam. Namun kerjanya tidak langsung terjejas. Beliau makin mara dalam industri bagi melengkapkan cita-citanya – mahu jadi penerbit.

Di kalangan kakak-kakak senior di UESTV, Azaha dipanggil dengan gelaran – adik. Mungkin sifatnya yang sangat menghormati sesiapa sahaja yang lebih berumur dan aksinya yang sedikit keadikkan. Azaha membawa diri sebagai seorang yang lucu. Biarlah sejauh mana pun masalah, azaha akan menganggapnya ia adalah sebahagian dari warna-warna kehidupan. Walaupun dalam tekanan kerja, sapalah beliau. Beliau tetap tersenyum dan akan membalas sapaan dengan ucapan-ucapan lucu atau memek muka yang pasti akan menimbulkan kelucuan.

Beberapa tahun kemudian saya meningalkan universiti kedua saya -RTM. Saya mula menjengah beberapa stesyen TV dan Production House. Azaha kekal di UESTV dan makin ranum namanya di sana. Beberapa tahun kemudian beliau mula menerbitkan rancangannya sendiri. Saya pastinya akan cuba menonton rancangan beliau seperti mana beliau berusaha menonton hasil kerja saya di televisyen lewat komen-komennya yang sangat memberansangkan.

Azaha pada saya merupakan wajah penerbit TV baru. Azaha sudah jauh meninggalkan budaya lama seperti penerbit kelihatan sangat garang, serius dan sentiasa berfikir dia sahaja yang betul. Azaha adalah penerbit yang sentiasa disayangi oleh anak buahnya. Azaha akan mengajar dengan lembut tetapi jelas dan sentiasa terbuka pada kritikan dan idea kreatif yang merentas masa dan teknologi. Senyumnya tidak pernah lekang.

Walaupun terpisah dari lokasi kerja, kami berhubung tanpa putus. Setiap kali memperoleh cahaya mata, seawal mungkin beliau mahu khabarkan pada saya. Hasil perkahwinannya, Azaha dan Naida dikurniakan 3 orang cahaya mata – Muhammad Amirul Hakimi , Muhammad Umar Qhaliff  dan si comel Nur Nisrina Nabihah.

Azaha pada saya sangat ideal pada idea dan pelaksanaan program. Beliau membuat penyelidikan yang sangat kritis sesuatu isu. Itu sebabnya tajuk-tajuk slot yang diberikan oleh Azaha sangat unik kesan bacaan dan analisisnya. Azaha sering menguji saya dengan soalan-soalan tanpa dijangka. Topik bicara kami berat sekali – isu belia, masa depan indutri pertanian, pertingkahan ulama dalam parti politik dan seumpamanya. Azaha mahu jadi penerbit yang bersedia, berpengetahuan dan mempunyai falsafah hidup yang jelas. Itu sebabnya dalam laman Facebooknya, Azaha mencatatkan – “Im the best in my field”.

Semalam – 22 Jun, Noor Azaha Rasadi melunaskan kerjanya. Menjadi Penerbit untuk rancangan Selamat Pagi Malaysia. Tuhan melengkapkan impian Azaha untuk menjadi penerbit sehingga akhir nyawanya. Lagu-lagu yang kami nyanyikan bersama terus bermain dalam fikiran saya. Itulah uniknya Azaha dengan lagu kerana masih berkirim pesan dengan lagu “Selamat Tinggal” pada penghujung rancangannya. Azaha mengucapkannya tanpa kita sedari.

Hari ini dan hari hari akan datang akan sunyi tanpa keletah Azaha. Pastinya Selamat Pagi Malaysia tidak akan seriang itu lagi. Azaha akan terus mewarnai hari-hari kakitangan UESTV dengan kenangan bahawa suatu masa dahulu ada penerbit muda yang sangat berbakat pernah bertugas di situ. Azaha ada meninggalkan legasinya yang tersendiri.

Saya pula makin terasa dengan setiap kenangan, senyum tawa dan janjinya, “kita mesti jadi yang terbaik dalam industri!”

Untuk sahabat Noor Azaha Rasadi, terima kasih pada setiap idea makna hidup  yang disampaikan. Saya sangat menghargai perkenalan dan persahabatan ini.

Lenalah sahabat di sana. Di sisi Tuhan yang pasti menyayangi. Al Fatihah.

Advertisements

Tembok Penjara Pudu tidak cukup kebal…

Posted in Sebuah negara bernama "Malaysia", Senyum Tangis 'Aku' on Jun 21, 2010 by syirfan

Pada tika saya menaip ini, saya rasa tembok Penjara Pudu  yang berusia lebih 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu telah pun menyembah bumi.

Mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang lukisan terpanjang di dunia, kini rebah atas tuntutan – modenisasi.

Saya malas berfikir panjang tentang relevan atau tidak tembok penjara itu dipelihara sebagai aset negara kerana ketetapannya sudah begitu : ia harus dirobohkan atas tujuan murni – pembangunan.

Seiras ceritanya dengan puisi Usman Awang – Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya. Nampaknya, Tembok Penjara Pudu tidak cukup kebal..

Sebelum ia rebah malam ini, saya sempat mengirim kamera kepada salah seorang rakan yang berkunjung untuk menikmati wanginya sejarah tembok lewat petang tadi – “tolong ambilkan gambar, mana tahu perlu nanti saya tunjukkan pada anak cucu”

SIMS : Rindu untuk solat jumaat di Masjid belakang Penjara Pudu…

Berapa jumlah kereta yang mampu kita miliki?

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Jun 18, 2010 by syirfan

Dek kerana hendak mengetahui lebih lanjut tentang kekayaan Sultan Brunei, saya tersinggah di laman Wikipedia atas saranan seorang kawan. Hasilnya sangat mengejutkan saya. Cemburu? ya pasti!

Saya lampirkan kenyataan wikipedia berkenaan jumlah kereta yang dimiliki oleh keluarga diraja Brunei.

The Sultan is famous for his vast automobile collection. In 1998, the British car magazine Autocar published undercover photographs of the Sultan’s cars, which included unique modifications of Ferraris and Bentleys. It has been said that he has at least 3,000 to 6,000 cars and has bought over U.S.$4 billion worth of high-performance cars.

The number purchased by his business interests and the number actually used by himself and his family differ greatly. According to Guinness World Records the Sultan’s personal private collection has 500 Rolls-Royces — the largest collection of that marque in the world. During the 1990s, his family accounted for almost half of all Rolls-Royce purchases, bulk buying slightly modified vehicles for diplomats and adding unique cars to their own collection. He also owns the very last Rolls-Royce Phantom VI, a 1992 state landaulette.

Among his collection are the Porsche Carrera GT, Lamborghini Diablo Jota, Porsche 959, Bugatti EB110, Bugatti Veyron (regular and Pur Sang edition), Lamborghini Murcielago LP640, Maybach 62, Jaguar XJR-15 and six Dauer 962s. He is also the owner of six models of the Ferrari FX, the original red show model of the Bentley Continental R, two fully operational versions of the Ferrari Mythos concept car, both of the Ferrari 456 GT Sedans, the only right hand drive Mercedes-Benz CLK-GTR in the world, five McLaren F1s including both black LM models and three Cizeta-Moroder V16T cars. He also possesses a Formula One car as driven by every Formula 1 Worl  Drivers Champion since the 1980 Formula One season, particularly the ones driven in the last race for each season. A prime example of this is Jacques Villeneuve’s Williams FW19 which still bears the collision damage courtesy of Michael Schumacher in the 1997 European Grand Prix.

He has a special interest in buying one-of-a-kind didjo cars, including the Bentley Java and Bentley Dominator 4×4, whilst leaving slightly more common race cars such as the Aston Martin AM3 or the modified Mercedes-Benz 300SL to his brother Jefri. The collection of vehicles was for the most part stored and serviced in five aircraft hangars, where specialist teams from the various manufacturers would maintain the collection.

The Daily Mirror (UK) reported on 26 October 2007 that the Sultan owned 232 Mercedes-Benzes, 224 Ferraris, 245 Bentleys, 150 BMWs, 165 Jaguars, 125 Porsches, 130 Rolls-Royces, and 20 Lamborghinis.

Saya tidak mahu komen lagi…

SIMS : Mohon berangan  -Sultan Brunei datang dan menghadiahkan 1 peratus kekayaannya pada saya.. yahoooo.

Arinaz Mazhar Hakim, andaian dan hubungan Malaysia-Brunei

Posted in Buah Fikiran, Sebuah negara bernama "Malaysia" on Jun 17, 2010 by syirfan

Sejurus mengetahui berita penceraian Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, saya berlegar-legar di laman-laman web untuk mencari cerita disebalik berita yang diumumkan Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alaudin Pengiran Paduka Abu Bakar menerusi slot berita Radio Televisyen Brunei (RTB).

Dari satu laman ke satu laman yang lain, pada penghujungnya saya gagal menemui jawapannya. Namun begitu, saya menjumpai sesuatu yang jauh lebih “kompleks” dari kes penceraian itu sendiri.

Saya dan mungkin ribuan yang lain membawa persoalan yang sama : kenapa Azrinaz di ceraikan? Bukahkan Azrinaz kelihatan sangat gembira dengan kehidupan di istana dan pastinya menimbulkan cemburu hampir pada sebahagian wanita lain di Malaysia dan Brunei.

Sangat memeranjatkan bila pelbagai andaian tercipta lewat komen-komen pembaca terutamanya di blog-blog hiburan. Pelbagai andaian dibuat hanya berasaskan pandangan peribadi dan  analisis mudah.

Maka terbitlah pelbagai versi andaian mengapa penceraian itu berlaku. Ia sangat mengejutkan. Pelbagai tingkah laku Azrinaz diulas bagaikan Azrinaz saban hari dihadapan mereka. Pada saya, jika benarkan Azrinaz begitu, adalah tidak wajar untuk menguruk, menghina, malah mungkin memfitnah dia sedemikian cara. Mungkin betul apa yang diandaiankan, tetapi dia tetap seorang manusia. Pada nilai manusia itu, tidaklah ada kewajaran untuk kita semua berbicara begitu.

Saya sangat selesa dengan kenyataan bertulis yang diedarkan kepada media sejurus pengumuman penceraian itu. Ia sangat islamik bila dinyatakan “(Ia) dipandu dan ditentukan oleh hukum syarak dalam perkahwinan dan perceraian dan juga menepati maksud ayat suci al Quran surah Al-Baqarah daripada sebahagian ayat 229, iaitu menikahi dengan baik (maaruf) dan melepaskan juga dengan baik (ihsan),”

Lewat komen-komen itu juga tergambar satu senario yang agak jelek pada saya. Pembaca dari Brunei – Malaysia saling kutuk mengutuk antara satu sama lain. Bagaikan satu pesta fitnah dan caci maki di laman maya. Saling merendahkan kewarganegaraan lawan masing-masing.

Tiada pun yang dilaporkan menang lewat kutukan-kutukan itu. Hanya yang jelas, terpalit warna kurang cantik pada hubungan harmoni Malaysia-Brunei.

Cukuplah. Mari berbincang isu yang lebih kompleks!

SIMS : Rindu kampung Ayer…

“Tuhan, ubahlah dia…”

Posted in Buah Fikiran on Jun 7, 2010 by syirfan

Sekadar cerita.

Amin mempunyai masalah dengan isterinya, Maria. Saban hari Amin berdoa, “tuhan, ubahlah dia. Pasti perkahwinan ini akan membahagiakan.” Beberapa bulan kemudian, Amin bercerai dengan Maria.

Amin kemudian berkahwin dengan Salmah. Hubungan mereka tetap bermasalah. Amin terus berdoa, “tuhan, ubahlah dia. Pasti perkahwinan ini membahagiakan. Hasilnya, Amin bercerai dengan Salmah.

Amin bercerita pada Omar tentang masalahnya.

Omar berkata, “Mungkin kerana awak sibuk memohon pada tuhan untuk mengubah orang lain hingga awak lupa untuk mengubah diri sindiri!”

Amin terdiam.

Dagestan oh Dagestan…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Jun 3, 2010 by syirfan

Bersama dengan penduduk di Pergunungan Kaukasus

Dagestan – dilabelkan sebagai salah satu wilayah paling merbahaya di dunia. Ironinya, itulah salah satu lokasi yang paling istimewa yang pernah saya kunjungi.

Dagestan merupakan salah satu wilayah autonomi Rusia. Ia terletak di bahagian selatan Rusia. Bersebelahan dengan Chechnya, Georgia dan Laut Caspia. 90 peratus penduduknya beragama Islam.

Malang bagi Dagestan ialah kerana sering di jadikan lapangan perang antara pihak Federasi Rusia dan pihak pembebasan Chechnya. Perang antara Rusia dan Georgia baru-baru ini juga membawa Dagestan ke dalam kancah kacau bilau.

Peluang untuk hadir ke wilayah perang ini bermula apabila saya terlibat dalam menyiapkan sebuah program TV berjudul Ziarah untuk Astro Oasis. Tumpuan pastinya kepada wajah Islam yang terjelma dalam senario masyarakat Rusia yang lekat dengan komunisme. Bagaimana Islam boleh berkembang di wilayah ini dan bagaimana mereka mampu mengangkat bendera Islam pada tika tekanan dari pelbagai sudut.

Tertanya juga bagaimana mereka mampu menerima tekanan dari fahaman Wahabbi yang hadir bersama pergerakan migrasi penduduk Chechnya.

Persoalan-persoalan itulah yang kami bawa untuk melunaskan program TV tersebut. Apabila tiba di Moscow, kami diberitahu bahawa lapangan terbang Makchakala, Dagetsan ditutup akibat perang.

Pilihan yang ada hanyalah menggunakan keretapi. Perjalanannya tidaklah lama – hampir 48 jam sahaja!!! (derita ini akan saya ceritakan nanti).

Dalam debar, kami bertiga meneruskan usaha untuk menggali keistimewaan Dagestan. Letupan, rusuhan, keganasan adalah visual mainan dalam kepala.

Namun segalanya berubah. Dagestan bukanlah seperti kota yang digemburkan media. Suasananya sangat aman dan cukup selesa. Sangat kontras dengan apa yang kami bayangkan.

Bayangkan sebuah kota separa moden yang dilengkapkan dengan makna islam secara tuntas. Tiada kata untuk membayangkannya.

Kami berada dalam zon yang sangat selesa. Sangat diraikan dan diterima semua. Jelas pada saya bahawa kejayaan media barat yang menampilkan wilayah islam ini sebagai pusat segala kejahatan.

Terlalu banyak lokasi istimewa yang perlu kami kunjungi dalam lawatan singkat itu. Masjid Abu Muslim yang merupakan masjid pertama di dirikan di Eropah, pergunungah Kaukasus, Laut Caspia, kawasan perkuburan syuhada hinggalah kepada Naryn Kala yang dikatakan didirikan oleh Alexander The Great malah ada yang mengatakan bahawa dibina oleh Zulkarnain yang disebut di dalam Al Quran.

Sepanjang di sana, saya hampir lupa adakah pernah kami mengeluarkan duit untuk makan. Rasanya hampir tiada. Saban masa ada sahaja yang menjamu di restoran, masjid dan rumah. Budaya menghormati tetamu sangat akrab dalam hidup mereka.

Saya dapati Sufisme yang menjadi tunjang ajaran mereka menjadikan penduduk Dagestan terlalu merendah diri. Terlalu tawaduk.

Seminggu di sana menjadi terlalu pantas. Pulang dengan penuh kenangan.

Suatu masa dahulu lahir seorang ulama besar yang memperkukuhkan Islam pada tika komunisme bermaharaja di Rusia. Ulama besar itu digelar Imam Syamil… atas nama menghargai kebangkitan Islam itu, saya beri nama anak saya Putera Syamil Zafran.

2 tahun lalu saya berkesempatan untuk hadir sekali lagi ke wilayah Islam ini. Sayangnya, bila tiba di Moscow, peperangan antara Rusia dan Georgia bermula. Usaha untuk membawa rakan-rakan lain ke wilayah ini gagal.

Kini, pangilan untuk kesana semakin kuat. Entah bila agaknya untuk hadir sekali lagi kesana. Setiap kali memandang anak kecil saya, pastinya keistimewaan Dagestan akan terjelma…

Melaka dibuka pada tahun 1262!

Posted in Buah Fikiran, Sebuah negara bernama "Malaysia", Senyum Tangis 'Aku' on Jun 2, 2010 by syirfan

 

Sejarah telah buat kesilapan!

“Kesultanan Melayu Melaka diasaskan pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 seperti yang diketahui ramai.”

Inilah inti pati kepada penemuan terbaru sekumpulan sembilan penyelidik tempatan yang diumumkan baru-baru ini. Kumpulan ini mengambil keputusan muktamad bahawa tarikh sebenarnya pembukaan Melaka adalah pada tahun 1262 dan bukannya pada tahun 1400 yang termaktub dalam buku sejarah tempatan.

Keputusan sebulat suara ini akan dimaklumkan kepada kerajaan Pusat dalam masa terdekat.

Bayangkan jika kenyataan baru ini adalah hakikat yang sebenarnya. Maksudnya kita bakal menyelesaikan banyak teka-teki sejarah dan sastera. Adakah kita akan memperoleh fakta sebenar pengembangan Islam di tanah Melayu. Adakah Melaka negeri pertama menerima Islam?

Paling jelas kita akan mula menilai semula karya sastera – Sejarah Melayu yang sebelum ini meletakkan Melaka dan kerajaan Majapahit dalam satu garis masa yang sama.

Jika kedua-duanya berada dalam garis masa yang sama, adakah maksudnya apa yang tertulis dalam karya itu betul. Pasti mengetarkan bila dinilai semula siapa Puteri Gunung Ledang yang dikatakan hadir dari Majapahit.  Menggetarkan juga bila memang wujud hubungan diplomatik dan kekeluargaan antara Melaka dan Majapahit. Adakah Hang Tuah benar-benar bertemu dengan Panglima Taming Sari?

Adakah kita juga bakal ketemu jawapan teka teki – siapa Hang Tuah sebenarnya?

Secara peribadi, saya gembira. Penemuan baru ini diharap menjadi asas kepada penemuan-penemuan yang lebih mengejutkan. Adakah kita sudah tiba ketahap kematangan sejarah sama seperti masyarakat Mesir yang berbangga untuk berkata – Sejarah kami ditulis setiap hari!