Belangsukawa untuk seorang sahabat: Noor Azaha Rasadi

Panggilan telefon tepat 2 petang pada 22 jun oleh Dr. Tengku Asmadi benar-benar memukul. Ada khabar takziah yang ingin disampaikan. Saya terus gugup. Sepantas itu juga saya membuat satu panggilan lain untuk pengesahan. Benar. Ia terjadi. Noor Azaha Rasadi maut dalam sebuah kemalangan. Saya terduduk!

Noor Azaha Rasadi memulakan kariernya sebagai Penolong Penerbit Rancangan TV di Unit Ehwal Semasa TV (UESTV). Saya masih ingat hari pertamanya di bertugas. Berkemeja unggu pudar, bercermin mata bingkai hitam, senyum meleret.

Pagi pertamanya mungkin sangat membosankan. Beliau duduk di bangku hadapan ofis sambil menunggu sesiapa untuk menghulur salam perkenalan. Tiada. UESTV sememangnya sunyi disebelah pagi kerana semuanya memberi tumpuan kepada rancangan Selamat Pagi Malaysia yang dilaksanakan secara siaran langsung.

Tengahari itu barulah sempat saya menghulur salam. Dari gembiranya, saya dapat rasakan beliau akan selesa berkerja di UESTV. Azaha jelas dengan cita-citanya, “aku nak jadi penerbit!”

Bermulalah kerjayanya sebagai penolong penerbit rancangan Selamat Pagi Malaysia dan bermulalah juga ikatan persahabatan saya dengannya. Untungnya kami bekerja dalam satu produksi. Dek kerana saya lebih senior, jadilah Azaha sebagai penolong saya walaupun ilmu penerbitannya tak kurang hebatnya.

Bekerja dengan Azaha sangat mudah. Bagi beliau semuanya mudah. Tidak ada masalah. Tidak pernah beliau berkata tidak pada tugasan yang diberi. Azaha pasti melaksanakannnya dengan penuh rela hati, dengan penuh gembira. Hantarlah beliau kemana sahaja – ke puncak gunung kinabalu atau ke pusat pembuangan sampah, beliau akan laksanakan dengan baik.

Setiap kali tiba masa untuk proses mengedit bahan, kami akan bermalas-malasan di bilik edit. Oleh kerana kami mengedit sendiri bahan kami, maka banyaklah peluang untuk kami menguji keupayaan tahap editing masing-masing. Berbanggalah kami sama sendiri bila boleh mengedit dalam masa yang singkat atau berjaya menjumpai formula untuk menghasilkan efek tertentu pada mesin deck to deck kami. Masa selebihnya adalah menyanyi sama lagu-lagu kenangan karya M. Nasir atau Alleycat di dalam bilik edit.

Bila berkahwin dengan Naida Khalil, jadual Azaha semakin ketat. Azaha mula berulang alik dari Tanjung Malim ke RTM. Pada mulanya di menunggang motor, sejuk kecut bila Azaha hadir awal pagi jika ada siaran pagi. Selebihnya beliau berulang alik dengan bas ekspress. Apa yang saya boleh katakan, Azaha sangat menitik beratkan hal-hal kekeluargaan. Resah gelisah beliau jika tahu isterinya demam. Namun kerjanya tidak langsung terjejas. Beliau makin mara dalam industri bagi melengkapkan cita-citanya – mahu jadi penerbit.

Di kalangan kakak-kakak senior di UESTV, Azaha dipanggil dengan gelaran – adik. Mungkin sifatnya yang sangat menghormati sesiapa sahaja yang lebih berumur dan aksinya yang sedikit keadikkan. Azaha membawa diri sebagai seorang yang lucu. Biarlah sejauh mana pun masalah, azaha akan menganggapnya ia adalah sebahagian dari warna-warna kehidupan. Walaupun dalam tekanan kerja, sapalah beliau. Beliau tetap tersenyum dan akan membalas sapaan dengan ucapan-ucapan lucu atau memek muka yang pasti akan menimbulkan kelucuan.

Beberapa tahun kemudian saya meningalkan universiti kedua saya -RTM. Saya mula menjengah beberapa stesyen TV dan Production House. Azaha kekal di UESTV dan makin ranum namanya di sana. Beberapa tahun kemudian beliau mula menerbitkan rancangannya sendiri. Saya pastinya akan cuba menonton rancangan beliau seperti mana beliau berusaha menonton hasil kerja saya di televisyen lewat komen-komennya yang sangat memberansangkan.

Azaha pada saya merupakan wajah penerbit TV baru. Azaha sudah jauh meninggalkan budaya lama seperti penerbit kelihatan sangat garang, serius dan sentiasa berfikir dia sahaja yang betul. Azaha adalah penerbit yang sentiasa disayangi oleh anak buahnya. Azaha akan mengajar dengan lembut tetapi jelas dan sentiasa terbuka pada kritikan dan idea kreatif yang merentas masa dan teknologi. Senyumnya tidak pernah lekang.

Walaupun terpisah dari lokasi kerja, kami berhubung tanpa putus. Setiap kali memperoleh cahaya mata, seawal mungkin beliau mahu khabarkan pada saya. Hasil perkahwinannya, Azaha dan Naida dikurniakan 3 orang cahaya mata – Muhammad Amirul Hakimi , Muhammad Umar Qhaliff  dan si comel Nur Nisrina Nabihah.

Azaha pada saya sangat ideal pada idea dan pelaksanaan program. Beliau membuat penyelidikan yang sangat kritis sesuatu isu. Itu sebabnya tajuk-tajuk slot yang diberikan oleh Azaha sangat unik kesan bacaan dan analisisnya. Azaha sering menguji saya dengan soalan-soalan tanpa dijangka. Topik bicara kami berat sekali – isu belia, masa depan indutri pertanian, pertingkahan ulama dalam parti politik dan seumpamanya. Azaha mahu jadi penerbit yang bersedia, berpengetahuan dan mempunyai falsafah hidup yang jelas. Itu sebabnya dalam laman Facebooknya, Azaha mencatatkan – “Im the best in my field”.

Semalam – 22 Jun, Noor Azaha Rasadi melunaskan kerjanya. Menjadi Penerbit untuk rancangan Selamat Pagi Malaysia. Tuhan melengkapkan impian Azaha untuk menjadi penerbit sehingga akhir nyawanya. Lagu-lagu yang kami nyanyikan bersama terus bermain dalam fikiran saya. Itulah uniknya Azaha dengan lagu kerana masih berkirim pesan dengan lagu “Selamat Tinggal” pada penghujung rancangannya. Azaha mengucapkannya tanpa kita sedari.

Hari ini dan hari hari akan datang akan sunyi tanpa keletah Azaha. Pastinya Selamat Pagi Malaysia tidak akan seriang itu lagi. Azaha akan terus mewarnai hari-hari kakitangan UESTV dengan kenangan bahawa suatu masa dahulu ada penerbit muda yang sangat berbakat pernah bertugas di situ. Azaha ada meninggalkan legasinya yang tersendiri.

Saya pula makin terasa dengan setiap kenangan, senyum tawa dan janjinya, “kita mesti jadi yang terbaik dalam industri!”

Untuk sahabat Noor Azaha Rasadi, terima kasih pada setiap idea makna hidup  yang disampaikan. Saya sangat menghargai perkenalan dan persahabatan ini.

Lenalah sahabat di sana. Di sisi Tuhan yang pasti menyayangi. Al Fatihah.

16 Respons to “Belangsukawa untuk seorang sahabat: Noor Azaha Rasadi”

  1. Syirfan, tulisan yang penuh bermakna yang menghidupkan Allahyarham Azaha dalam memori kita semua. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Amin.

  2. Bayani Mohd Tahet Says:

    Adik,
    Dulu adik resign, tinggal Azaha sorang je yg akak panggil adik. Skarang ni, dah tak de sape lagi yg akak panggil nak ‘adik’…

  3. catatan yang indah untuk seorang Azaha Rasadi…kami semua rindukan beliau😦

    Al-fatehah..tenang di sana hendaknya

  4. Saudara Shirfan,

    Terkenang seketika masa2 lalu di UESTV. Allahyarham kuakui merupakan antara rakan2 di UESTV yang amat rapat denganku. Dia banyak mengajarku dalam mengenal dunia ‘Penerbitan’ yang sangat asing bagiku… itu kira2 7 tahun lepas. 2 bulan lalu Allahyarham bercuti di Kota Kinabalu, Sabah bersama seisi keluarga. Dek kesibukan tugas, tidak dapat ku luangkan masa membawanya ronda2 sekitar KK. Cukup sekadar kubekalkan kepadanya tips2 ke mana arah yang patut dituju.

    Sejujurnya, kenangan sepanjang persahabatan kami akan kekal dalam ingatan ini sepanjang hayat.

    Semoga rohnya akan diletakkan dalam kalangan hamba-hamba-NYA yang beriman. AMIN!!!

  5. Azian Mahani Says:

    Salam buat saudara,

    Kisah arwah Azaha yang saudara lakarkan begitu menyentuh perasaan saya. Beliau merupakan rakan sekelas yang begitu mengambil berat hal rakan-rakannya begitu juga Naida, pasangan yang sentiasa manis dengan senyuman dan tidak pernah menolak jika diminta bantuan…begitu cepat arwah pergi dan pemergiannya akan menjadi teladan dan panduan untuk melengkapkan diri saya menjadi khalifah Allah swt yang lebih baik dimuka bumi ini…

  6. abg syirfan, memori kita dengan abang azaha sangat bermakna pada saya..al fatihah untuk abang azaha..

  7. takziah buat keluarga arwah. Berita melalui radio rtm & Tv berita perdana amat mgejutkan. Saya mengenali arwah masa kursus induksi di Bagan Lalang. Arwah mmg pdiam kebetulan kami duduk sblah sbab kami sama group. Tapi arwah ramah bila saya mmulakan teguran. Lps tu trs lost contact smpai transfer Swk. Berita kmatian arwah amat tragik & mmilukan apalagi saat anak2nya msh tlalu kcil. Cuma dr kjauhan saya hrp isteri arwah byk bsbr.

  8. Sue Aryanie Says:

    abang syirfan,

    Lama tak jumpe?… mungkin ingat saya lagi ataupun tidak… tanpa sedar abang syirfan dan arwah pernah menerbitkan keinginan saya untuk menyambung pelajaran dalam bidang penyiaran… Terima Kasih… Kerana wujudnya ikatan persaudaraan tanpa sedar itulah yang membuatkan saya sentiasa di sisi arwah… Tak kira dimana, segmen apa sekalipun walau siaran Selamat Pagi Malaysia, saya ditugaskan bersama arwah… Boleh nak dikatakan saya AP paling lama yang bertugas bersama arwah… Pilu dan terharu bila membaca coretan ini.. Masih tergambar lagi saat arwah memanggil nama saya… Saya cuba kuatkan semangat dan teruskan hidup… Moga dengan iringan doa, rohnya dicucuri rahmat… Arwah merupakan MENTOR dalam diri saya tanpa sedar… Segala ajaran arwah tersemat dalam ingatan… TERIMA KASIH lagi sekali, walaupun saya tak sempat nak mengungkapkannya… AMIN….

  9. Dr. Tengku Asmadi…
    Masih terasa hingga kini… Moga rohnya dicucuri rahmat. Amin

  10. Kak Bayani.
    Kenangan itu masih mengusik. Tapi percayalah saya masih “adik” yang dulu…

  11. Siti Norbaini,
    Kita dikurniakan sebentar seorang kawan yang baik… amin

  12. Aris,
    Masih kuat ingatan itu… Moga persabatan kita juga kekal begitu…

  13. Azian,
    Tuhan pinjam kita sebentar Nor Azaha RAsadi untuk kita berfikir tentang kebaikan.. amin

  14. Sarah,
    Alfatihah. moga Sarah kekal mengingati memori itu.

  15. Dre,
    Terima kasih. “dia” kawan yang hebat!

  16. Sue,
    Mana mungkin lupa. Harapnya sue terus sukses ya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: