Arkib untuk Julai, 2010

“Makan Kanji Setiap Hari” – Apa lagi yang bakal terjadi…

Posted in Sebuah negara bernama "Malaysia" on Julai 29, 2010 by syirfan

Makan Kanji Setiap hari.

Itulah salah satu tajuk berita kemanusiaan yang terpapar di dada akhbar Utusan hari ini. Klik sini

Rintihan Tajenisha Beevi Sirajidin dan tujuh anaknya sememangnya cukup terasa. Selepas suaminya dipenjarakan, ibu muda ini terpaksa membesarkan sendiri anak-anaknya.

Tiada makanan di rumah. Bayangkan anak kecilnya hanya diberikan air kosong. Beliau sendiri tidak mampu untuk menyusukan anaknya kerana sudah lama tidak menjamah nasi

Atas kesempitan hidup juga,  Tajenisha terpaksa memberhentikan persekolahan anak keduanya. Beliau juga terhimpit dengan sewa rumah yang tertunggak 3 bulan. Ditambah lagi dengan hutang  kos bersalin sebelum ini sekitar RM 3000. Kesemua hutang ini perlu dilunaskan sebelum Aidilfitri ini.

Permohonan Tajenisha untuk memperoleh  bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  masih belum diluluskan.

Uniknya kes ini pada kaca mata saya ialah siapa yang sudi membantu?

Terimalah hakikat bahawa keluarga muda Islam ini kini mula dibantu oleh Persatuan Hindu Sangam. Bukanlah mempertikaikan persatuan ini. Malah saya angkat topi kepada persatuan ini yang sudi membantu walaupun beza agama yang ketara. Mungkin atas dasar “kemanusian itu harusnya tiada batasan”.

Namun begitu, dimana NGO yang lain? Di mana aktivis? di mana ahli politik ? Paling kasar lagi di mana masyarakat dan persatuan-persatuan agama Islam yang lain?

Lupakah kita pada sejarah – Ada yang menukar agama hanya kerana sekeping roti!

SIMS : Teringat anak di rumah…

Advertisements

Genap setahun yang lalu (tanda ingatan)

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 28, 2010 by syirfan

Hari ini, 28 Julai 2010.

Genaplah setahun peristiwa itu berlalu. Meninggalkan bait kenangan yang sukar dilupakan. Sangat terkesan lewat kesusahan yang dilalui untuk merasaikan kenikmati itu.

Hari ini genap 1 tahun Dokumentari Rosli Dhoby memenangi anugerah dokumentari Ilmiah terbaik dalam MALAM ANUGERAH FESTIVAL DOKUMENTARI 2009. Maaf, bukan untuk berbangga diri. Hanya secara tulus mengingatkan diri pada tanggungjawab dan pastinya menghargai setiap insan yang hadir dalam merealisasikan impian itu. Sekali lain, terima kasih dari hati yang dalam.

Sekadar tanda, saya sisipkan tulisan saya 1 tahun yang lalu. Untuk senyum-senyum sendirian…

 Klik sini, Rosli, Alexander Masuk Gelanggang

dan “Rosli Dhoby” bawa pulang piala…

Terima kasih sekali lagi kepada semua yang merealisasikan mimpi ini. Terima kasih.

SIMS : Rindu Sibu…

harus pergi untuk dewasa…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 20, 2010 by syirfan

Rumah kami sunyi sedikit minggu ini.

Suara Putera Syahmi Zafran (6 tahun), anak sulung yang sepatutnya memeriahkan suasana pasti tidak kedengaran. Syahmi terbang ke China awal pagi ahad yang lalu.

Mulanya sekadar cerita. Ditambah sedikit harapan. Akhirnya terzahir cita-cita Syahmi mahu ke China. Lokasi di mana ayah dan uminya hadir hujung tahun yang lalu. Dia pun mahu ke sana. Mahu terbang ke China dan mahu tiba di Tembok Besar China.

Untungnya, ayah dan ibu saya juga mempunyai keinginan yang sama. Mahu bercuti ke sana. Syahmi menumpang tuah. Terbanglah dia melengkapkan impian bersama ayah, ibu dan adik saya. Syahmi terbang dengan penuh rasa gembira.

menahan kesedihan...

Sebelum Subuh hujung minggu  kami sudah di  Lapangan Terbang. Dalam kegembiraannya, terselit juga rasa kesedihan. Kesyahduan. Pastinya sangat terasa buat Syahmi yang buat pertama kalinya pergi jauh meninggalkan ayah, umi dan adik-adiknya. Ditahannya air mata agar tidak tumpah. Dia anak lelaki. Dia sedar dia tidak boleh menangis.

Paling terasa pastinya adik perempuannya, Syahmina. Mereka tidak pernah berpisah. Tidurpun bertindih kulit. Inilah kami pertama mereka terpisah. Kami sendiri pernah meninggalkan mereka. berminggu-minggu. Saya sendiri pernah meninggalkan mereka berbulan-bulan. Tidak bagi Syahmi dan Syahmina.

Itu sebabnya terkesan sungguh bila mereka berpelukan. Saling menasihati. Saling mengingati.

Sebagai ayah dan Umi, kami sedar bahawa Syahmi harus pergi untuk melengkapkan impian. Memenuhi harapan. Syahmi harus dewasa. Dewasa dengan caranya. Syahmi mungkin terdidik dek kerjanya saya yang sering terbang ke sana-sini. Syahmi tahu ada negara bernama Russia. Syahmi tahu dimana letaknya piramid. Dia tahu berapa jumlah piramid besar di kota kematian.Tahu kota-kota besar lewat tugas saya di kota-kota itu. Syahmi tahu wujudnya sebuah negara bernama China. Dia juga mahu jadi pengembara. Peluang dia untuk dia dewasa dengan melihat dunia baru. China adalah lokasi pertamanya.

pergi untuk dewasa...

Kami sebagai ibu dan ayah melepaskan Syahmi untuk pergi melihat dunia. Melihat manusia. Menilai budaya. Menikmati gaya. Memperakui agama.

Kami melepaskan Syahmi dengan pelbagai rasa. Gembira dan sedih pastinya. Namun, Syahmi tetap harus pergi untuk dewasa!

Untuk Isteri ku…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 12, 2010 by syirfan

Sayang, terima kasih kerana masih kekal di sini. Di sisi seorang suami.

Moga jalinan cinta yang kita jalin tanpa jemu itu akan kekal selamanya. Moga hari-hari indah yang kita lalui bersama akan lebih berwarna dan wangi di samping anak-anak manja kita. Harapnya juga cinta kita sentiasa dalam rahmatNYA.

Terima kasih sekali lagi kerana kekal begitu – menjadi seorang kawan, teman, sahabat, kekasih, isteri dan ibu kepada anak-anak.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang ke-7!

Terus mencintaimu…

Syirfan

Pertama kali muncul di akhbar…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Julai 9, 2010 by syirfan

Bila kali pertama anda muncul di akhbar?

 

Keratan akhbar di atas yang memaparkan wajah kacak saya yang pertama kali muncul di akhbar. (Malu sih…). Tak sampai hati nak cerita panjang bagaimana boleh saya tercapai idea untuk berpakaian seceria itu semata-mata untuk mendaki Gunung Angsi. Singkat betul pemikiran waktu sekolah.. Hahaha.

SIMS : Rindu dengan kenangan…