Alexander, Zulkarnain masih hidup…

Lama juga dokumentari saya dan kawan – kawan – Alexander Bukan Zulkarnain tidak berdendang di Astro Oasis. Saya jangka sepanjang bulan Ramadan yang lalu, dokumentari yang diterbitkan dengan dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ini tidak bersiaran ulang.

Hanya majalah Infiniti muncul dengan rencana berkait dengan perspektif baru siapakah  Zulkarnain. Temuramah saya dengan penulis via telefon kemudian diterjemah kepada rencana yang saya anggap mengembalikan kenangan kami semua yang pernah bersusah payah merealisasikan dokumentari itu.

Benar. Saya rasa Alexander Bukan Zulkarnain telah mula dilupakan. Secara perlahan-lahan.

Namun Aidilfitri kali ini benar-benar menghantar saya dalam tajamnya idea dan hujah berkait dengan Zulkarnain yang disebut dalam surah Al-Kahfi. Lelaki istimewa ini benar-benar cukup misteri seperti mana misterinya tembok Yakjuj dan Makjuj.

Entah bagaimana ketika berkunjung di rumah saudara isteri saya, ada antara mereka yang mengenali saya lewat tontonan berulang kali mereka pada dokumentari itu. Kunjungan yang saya harap sebentar sahaja menjadi cukup panjang. Macam-macam yang kami bincang mengenai siapakah Zulkarnain yang sebenarnya.

Saya benar-benar bersyukur kerana dari pemahaman mereka ini, jelas bahawa mereka sedar bahawa memahami siapa sebenarnya Zulkarnain berkait rapat dengan akidah. Bayangkan jika Zulkarnain yang cukup istimewa hingga namanya tercatat dalam Al-Quran itu adalah seorang penakluk yang gila seks, pembunuh, menjajah dan pernah menganggap dirinya anak Tuhan.

Diceritakan juga pada saya rupanya wujud beberapa perkumpulan kecil yang  turut membuat kajian siapakah Zulkarnain yang sebenarnya. Dari ceramah agama, bloggers, dan beberapa orang eksekutif muda mewujudkan tim “Mencari Zulkarnain” dengan cara mereka sendiri.

Saya juga ditegur kerana tidak memberi jawapan sebenar, siapakah Zulkarnain – Lelaki suci dari surah Al Khafi. Namun jawapan saya sama – jika saya beritahu sapakah Zulkarnain itu mengikut kefahaman saya, maknanya berakhirlah ruang ilmu. Saya tidak mahu mengambil tugas sejarawan, saintis, ulama dan sebagainya. Biarkan saya kekal begini – seorang penerbit, penulis, penyelidik dan pengarah yang sentiasa mahu membuka ruang ilmu baru.

Selagi ia dibincangkan walaupun ia sering juga bertelingkah hujah – tidak mengapa kerana ilmu itu sedang berkembang dan diperkembangkan secara kita sedar atau tidak…

Untuk itu saya yakin Alexander, Zulkarnain akan terus hidup…

SIMS – Rindukan Eagen Sea…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: