Arkib untuk Disember, 2010

Salji tebal dan kenangan…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Disember 21, 2010 by syirfan

Eropah Lumpuh. Salji tebal.

Bagi sesiapa yang pernah “menikmati” salji, pasti punya pelbagai rasa dan cerita yang mahu dikongsi sama. Kesejukan yang menggigit hingga ke tulang pasti akan terasa sampai bila-bila.

Bila rezeki kurang baik, salji yang turun boleh sahaja membawa petaka. Inilah yang berlaku di Eropah tika ini. Salji yang turun lebat menyebabkan perhubungan terputus. Lapangan Terbang pastinya akan menutup perkhidmatan mereka apabila semua kapal tidak boleh terbang atau mendapat.

Petaka ini boleh berlaku dalam tempoh yang panjang. Sepanjang tempoh itu, penumpang perlulah merasai hakikat bahawa mereka telah terkandas dan perlu tinggal di Lapangan Terbang itu untuk beberapa hari.

Setahun lepas, saya sempat merasa untuk terkandas di Lapangan Terbang akibat salji tebal. Sampai sekarang, fobia itu benar-benar terasa. Untuk masa ini, saya tidak mahu lagi “merasai” salji.

Jika berminat untuk mengikuti cerita dan derita saya apabila terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, singgahlah di sini. Klik sini dan nikmati sambungannya.

SIMS – untuk masa ini hanya mahu berada di negara sederhana panas…

Lamanya. Maaf.

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Disember 21, 2010 by syirfan

Salam.

Lamanya. 

Lama saya tidak mengemaskini blog ini. Terlalu lama. Sejak pulang dari Mekah, saya dihantar kembali untuk meneruskan kembara.

Sempat saya menjengah Selatan Thailand beberapa hari selepas pulang dari Mekah. Dua hari kemudian saya meneruskan kembara ke Vietnam. Ho Chi Minh City. Sempat menjenguk nasib masyarakat islam Champa di sana.

Insyaallah, jika ada kelapangan, saya akan menulis tentang kembara saya itu. Insyaallah.

Harap terus sudi bersama.

Maaf.

Bila Allah Permudahkan Segala…

Posted in Senyum Tangis 'Aku' on Disember 1, 2010 by syirfan

Salam,

Selesai sudah kembara Iman saya. Kembara yang memakan masa hampir 40 hari rasanya terlalu singgat. Rasanya debar kali pertama itu pun masih berdetap lagi.

Namun apa yang ingin saya kongsikan dengan rakan semua adalah sebuah hakikat bahawa kita manusia adalah terlalu kecil di sisi-Nya. Allah itu Maha Besar, Maha Mengetahui.

Allah punya kuasa ketetapan yang tiada taranya. Bila Allah berkehendak, maka jadilah…

Maka terjadilah kembara ini. Saya dihantar tuhan untuk berada di rumahnya. Untuk merasai betapa agungnya Dia.

Saya sebagai manusia yang punya sisa dosa yang tak terkira banyaknya pasti cukup gentar apabila mengetahui akan menjadi tetamu Allah untuk musim Haji ini. Saya cukup gentar. Bayangkan, pada usia 34 tahun saya diizinkan tuhan untuk menjadi Duyyuf Ar-Rahman – tetamu Allah.

Garis-garis hitam yang tercatat dalam diri rasanya masih belum terpadam. Lantas bagaimana mungkin saya mampu untuk berdiri di hadapan Kaabah sambil berkata -“saya insan yang suci datang pada mu, Allah”.

Untuk itu saya sering mempersoalkan kemampuan diri. Membuat penilaian semula. Akhirnya saya pasrah. Saya sedar bahawa Allah punya perancangan yang cukup istimewa untuk saya.

Hanya yang perlu saya sediakan untuk diri adalah keyakinan dan kepasrahan. Yakin untuk menikmati kembara ini dan pasrah atas apa sahaja yang bakal Allah tunjukkan nanti di tanah suci.

Apa lagi yang boleh saya ucapkan -” Ya Allah, permudahkan segala urusanku…”

Atas apa yang berlaku pada diri saya, saya kemudian akui bahawa tuhan itu mendengar setiap rintihan. Syukur, Allah perkenankan permintaan saya.

Segala urusan kerja dan urusan menunaikan haji di tanah suci berlangsung dengan jayanya. Allah benar-benar permudahkan segala urusan. Allah sentiasa beri peluang dan ruang. Sentiasa beri kesempatan pada setiap kesukaran dan kesempitan.

Allah beri layanan yang cukup istimewa pada saya. Hingga tika ini saya sering sebak bila mengenangkan setiap apa yang berlaku di tanah suci. Sukar untuk saya gambarkan satu persatu, tapi cukuplah saya katakan bahawa menjadi tetamu Allah adalah satu penghargaan yang cukup bernilai.

Bila Allah permudahkan lagi urusan itu, kita akan berasa betapa kecilnya kita. Allah memang punya ketetapan yang maha luar biasa. Lantas, apa yang saya sembahkan kembali pada-Nya?