Archive for the Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain Category

Alexander, Zulkarnain masih hidup…

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain on September 14, 2010 by syirfan

Lama juga dokumentari saya dan kawan – kawan – Alexander Bukan Zulkarnain tidak berdendang di Astro Oasis. Saya jangka sepanjang bulan Ramadan yang lalu, dokumentari yang diterbitkan dengan dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ini tidak bersiaran ulang.

Hanya majalah Infiniti muncul dengan rencana berkait dengan perspektif baru siapakah  Zulkarnain. Temuramah saya dengan penulis via telefon kemudian diterjemah kepada rencana yang saya anggap mengembalikan kenangan kami semua yang pernah bersusah payah merealisasikan dokumentari itu.

Benar. Saya rasa Alexander Bukan Zulkarnain telah mula dilupakan. Secara perlahan-lahan.

Namun Aidilfitri kali ini benar-benar menghantar saya dalam tajamnya idea dan hujah berkait dengan Zulkarnain yang disebut dalam surah Al-Kahfi. Lelaki istimewa ini benar-benar cukup misteri seperti mana misterinya tembok Yakjuj dan Makjuj.

Entah bagaimana ketika berkunjung di rumah saudara isteri saya, ada antara mereka yang mengenali saya lewat tontonan berulang kali mereka pada dokumentari itu. Kunjungan yang saya harap sebentar sahaja menjadi cukup panjang. Macam-macam yang kami bincang mengenai siapakah Zulkarnain yang sebenarnya.

Saya benar-benar bersyukur kerana dari pemahaman mereka ini, jelas bahawa mereka sedar bahawa memahami siapa sebenarnya Zulkarnain berkait rapat dengan akidah. Bayangkan jika Zulkarnain yang cukup istimewa hingga namanya tercatat dalam Al-Quran itu adalah seorang penakluk yang gila seks, pembunuh, menjajah dan pernah menganggap dirinya anak Tuhan.

Diceritakan juga pada saya rupanya wujud beberapa perkumpulan kecil yang  turut membuat kajian siapakah Zulkarnain yang sebenarnya. Dari ceramah agama, bloggers, dan beberapa orang eksekutif muda mewujudkan tim “Mencari Zulkarnain” dengan cara mereka sendiri.

Saya juga ditegur kerana tidak memberi jawapan sebenar, siapakah Zulkarnain – Lelaki suci dari surah Al Khafi. Namun jawapan saya sama – jika saya beritahu sapakah Zulkarnain itu mengikut kefahaman saya, maknanya berakhirlah ruang ilmu. Saya tidak mahu mengambil tugas sejarawan, saintis, ulama dan sebagainya. Biarkan saya kekal begini – seorang penerbit, penulis, penyelidik dan pengarah yang sentiasa mahu membuka ruang ilmu baru.

Selagi ia dibincangkan walaupun ia sering juga bertelingkah hujah – tidak mengapa kerana ilmu itu sedang berkembang dan diperkembangkan secara kita sedar atau tidak…

Untuk itu saya yakin Alexander, Zulkarnain akan terus hidup…

SIMS – Rindukan Eagen Sea…

Genap setahun yang lalu (tanda ingatan)

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 28, 2010 by syirfan

Hari ini, 28 Julai 2010.

Genaplah setahun peristiwa itu berlalu. Meninggalkan bait kenangan yang sukar dilupakan. Sangat terkesan lewat kesusahan yang dilalui untuk merasaikan kenikmati itu.

Hari ini genap 1 tahun Dokumentari Rosli Dhoby memenangi anugerah dokumentari Ilmiah terbaik dalam MALAM ANUGERAH FESTIVAL DOKUMENTARI 2009. Maaf, bukan untuk berbangga diri. Hanya secara tulus mengingatkan diri pada tanggungjawab dan pastinya menghargai setiap insan yang hadir dalam merealisasikan impian itu. Sekali lain, terima kasih dari hati yang dalam.

Sekadar tanda, saya sisipkan tulisan saya 1 tahun yang lalu. Untuk senyum-senyum sendirian…

 Klik sini, Rosli, Alexander Masuk Gelanggang

dan “Rosli Dhoby” bawa pulang piala…

Terima kasih sekali lagi kepada semua yang merealisasikan mimpi ini. Terima kasih.

SIMS : Rindu Sibu…

Rosli, Alexander Masuk Gelanggang…

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 29, 2009 by syirfan

Alexander Bukan Zulkarnain mula bersiaran awal tahun ini selepas lebih dari setahun dalam pembikinan. Ia satu permulaan kepada karya dokumentari ilmiah antarabangsa hasil dari sentuhan anak tempatan. Bukti bahawa anak tempatan juga berani mempertikaikan sejarah demi kefahaman sejagat.

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh baru sahaja bersiaran. Sebuah karya sejarah yang dipersembahkan dengan gaya yang agak kontemporari. Karya yang mempertikaikan fakta yang menyatakan Rosli Dhoby adalah pembunuh dan dalam masa yang sama mengangkat Rosli sebagai ikon kepada konsep perjuangan demi kemerdekaan.

Malam ini, kedua-dua karya ini masuk gelanggang. Gelanggang untuk penilaian.

Adakah mungkin Alexander atau Rosli membawa pulang gelaran Dokumentari Terbaik atau sekadar penghias majlis..

Tunggu semuanya dalam MALAM ANUGERAH FESTIVAL DOKUMENTARI 2009, malam ini di FINAS.

Siapa yang berada disisi…

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on April 27, 2009 by syirfan
Di tengah-tengah padang pasir Libya. Bersama kawan-kawan yang berusaha merealisasikan "Alexander Bukan Zulkarnain".

Di tengah-tengah padang pasir Libya. Bersama kawan-kawan yang berusaha merealisasikan "Alexander Bukan Zulkarnain".

Dimana kita berada bukanlah terlalu penting…

yang penting adalah, siapa yang berada disisi kita…

Aku terperangkap …

Posted in Buah Fikiran, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on April 23, 2009 by syirfan

img_05791

Pada mulanya, aku terperangkap dengan perspektif.  Kemudian aku terperangkap dengan isu. Tidak lama kemudiaan, aku terperangkap dengan masa. Tidak lama kemudian, budget pula memerangkap aku. Tidak lama selepas itu, aku kembali terperangkap dengan hujah. Idea juga mahu memerangkap aku. Menyusul, kekuatan diri pula cuba memerangkap. Peperangan juga mencuba nasib untuk memerangkap aku. Kemudian, kepercayaan dan disusuli dengan rasa rendah diri pula memerangkap diri. Kepercayaan dan keyakinan pula menambah derita dengan cuba juga memerangkap aku. Semua bagaikan mahu dan cuba memerangkap aku.

Selepas selesai semuanya, baru aku sedar – aku telah sedia terperangkap dalam SEJARAH!

Telah Terbit!

Posted in Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Mac 9, 2009 by syirfan

img_2907

Telah terbit – BENARKAH ISKANDAR BUKAN ZULQARNAIN.

Afareez Abd Razak – penyelidik dokumentari “Alexander Bukan Zulkarnain” telah berjaya melengkapkan dokumentari tersebut dengan terbitnya buku istimewa ini.

Buku setebal 200 muku surat ini memberi penekanan kepada perbincangan benarkah Iskandar (Alexander The Great) itu Zulqarnain. Menariknya, penulis memulakan analisis besar ini dengan membawa pembaca untuk memahami latar sejarah 4 penakluk dunia iaitu Namrud, Sulaiman, Bukhtanasaar dan Zulkarnain.

Dengan harga RM17.50 (Semenanjung Malaysia), pembaca akan memahami secara bertulis apa yang kami perjuangkan dalam dokumentari “Alexander Bukan Zulkarnain.”

Untuk saudara Afarezz, tahniah dan terima kasih!

img_2913

Terima kasih juga pada Afareez dan PTS Millennia yang menawarkan kepada saya untuk mencoret sedikit pada ruang kata pengantar. Saya sangat menghargainya.

Akhir kata – dapatkan yang original sahaja…

* bila pula buku aku nak terbit ni…

Akhirnya…

Posted in Buah Fikiran, Kajian : Alexander Bukan Zulkarnain, Senyum Tangis 'Aku' on Mac 4, 2009 by syirfan

alex-buku

Akhirnya siap!

Sebentar tadi aku baru sahaja menghantar email skrip penuh kepada editor kanan sebuah penerbit buku berkenaan penerbitan buku yang telah kami rancang sekian lama.

Terlalu sukar hendak menyelesaikan tugasan ini. Bebanan kerja dan himpitan waktu selalu jadi alasan. hehehe. Baru sebentar tadi selesai sudah penulisan panjang itu.

Idea penulisan buku ini terhasil dari kesan positif penerbitan dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain. Ia sekitar pemikiran aku yang menelusuri sejarah dan kepercayaan yang berkait dengan Alexander.

Tak ada tajuk lagi buku ini. Sebagai working title, aku letak Alexander Bukan Zulkarnain – Catatan Pemikiran.

Harap semuanya ok  menjelang april nanti…

* ada sesiapa nak cadangkan tajuk?