Archive for the World Documentary Category

pencarian kisahnya pun bermula…

Posted in Dokumentari : Sybil Kathigasu, World Documentary on November 4, 2009 by syirfan
sybil

Sybil Kathigasu

Mungkin ramai telah sedia mengetahui bahawa saya sedang dalam rangka usaha untuk menzahirkan sebuah lagi dokumentari sejarah. Subjek saya kali ini adalah Sybil Kathigasu. Dalam asas kajian ini, jelas masalah besar yang perlu saya hadapi iaitu membawa seorang watak (hero) dalam masyarakat yang langsung tidak mengenalinya.

Mungkin agak logik bila masyarakat negara ini tidak langsung mengenali tokoh ini. Saya masih boleh menerima bila penduduk Perak sendiri tidak mengenali seseorang yang telah memberi sumbangan besar pada zaman Jepun, komunis dan British. Namun sukar untuk saya hadam bila penggiat dan pengkaji sejarah Perak sendiri kelabu dengan cerita tokoh ini.

Walaupun banyak cerita lisan berbaur negatif yang berputar pada tokoh ini, namun sumbangannya tidak boleh dinafikan walaupun sedikit. Beliau tetap telah menyumbang sesuatu.

Kini saya perlu memperkenalkan dahulu siapakah Sybil Kathigasu, penerima Anugerah “George Medal” atas keberaniannya. Beliau adalah penerima wanita tunggal negara yang pernah menerima anugerah dari kerajaan British itu. Ini adalah ceritanya…

Sybil Daly dilahirkan pada 1899 dan kemudiaanya berkahwin dengan Dr. Abdon Clement Kathigasu. Selepas berkahwin beliau mengunakan nama Sybil Kathigasu. Memperoleh 2 orang anak – Olga Kathigasu dan Dawn Kathigasu. Dalam masa yang sama membesarkan seorang anak angkat, William Pillay.

Pada peringkat awal, Sybil bertugas sebagai jururawat dan bidan di Ipoh. Beliau dan suaminya bertugas di klinik no 141, Jalan Brewster (kini dikenali sebagai jalan Sultan Idris Shah) bermula pada tahun 1926. Perlu diketahui pada masa itu hanya 4 orang doktor sahaja yang ada di Ipoh. Sybil dikenali sebagai seorang bidan yang baik.

Kebolehannya menguasai bahasa Kantonis banyak membantu komunikasi antara beliau dan pesakit. Namun kebolehan itulah yang suatu masa nanti akan mengubah takdir hidup beliau dan keluarganya.

Semuanya berubah sejurus kemasukan Jepun ke tanah Melayu. Oleh kerana Ipoh diserang hebat oleh tentera Jepun, mereka sekeluarga berpindah di Papan dan membuka klinik di sana. Di sinilah kisah kehebatan wanita ini bermula…

 

(bersambung)

 

 

 

Promosi Al-Barakah – Utusan

Posted in Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on Oktober 22, 2009 by syirfan

Al-Barakah papar ketelusan lembaga zakat

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

barakah2

SEJAK diperkenalkan ke kaca televisyen, dokumentari Al-Barakah yang memaparkan pelbagai peranan yang dimainkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), dalam membantu golongan Asnaf berjaya membuka mata pelbagai pihak.

Dalam usaha menyatakan tugas dan fungsi sebenar lembaga zakat di negara ini, LZS mengambil peluang menerbitkan rancangan tersebut khusus sebagai medium perantaraan dengan masyarakat berhubung aliran wang zakat yang dikeluarkan oleh umat Islam sepanjang tahun.

Seringkali persoalan mengenai siapa yang layak menerima, mengeluarkan serta bilangan golongan Asnaf dibangkitkan oleh masyarakat.

Segalanya berpunca daripada kurangnya informasi serta pendedahan yang diterima oleh mereka.

Menyedari hakikat tersebut, LZS memberi kepercayaan kepada syarikat FM Production (FMP), menghasilkan dokumentari tersebut untuk divisualkan sebagai pendedahan kepada penonton.

Bersiaran setiap Isnin, pukul 9.30 malam di TV9, Al-Barakah memaparkan bagaimana responden menceritakan keadaan kehidupan sebenar mereka serta peranan yang dimainkan oleh lembaga zakat dalam membantu meringankan bebanan yang mereka hadapi.

Penerbit rancangan itu, Nora Md. Zainal baru-baru ini ketika ditemui memberitahu rancangan tersebut berbeza dengan mana-mana rancangan berbentuk kemasyarakatan lain kerana inilah satu-satunya rancangan yang mendedahkan bagaimana ketelusan wang hasil pembayaran zakat diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Selain cuba mengetengahkan apa yang dikatakan dengan fungsi zakat, kita juga memaparkan bagaimana responden yang tidak mempunyai punca pendapatan secukupnya mengubah nasib mereka melalui bantuan zakat yang diberikan.

“Tidak ramai yang tahu tentang perkara ini. Menerusi bantuan yang diberikan juga secara tidak langsung memberi motivasi pada mereka supaya boleh berdiri sama seperti orang lain,” katanya.

Menerusi program tersebut, setiap episod bakal memaparkan asnaf yang berlainan. Dan antara bentuk bantuan yang dipaparkan termasuklah pengeluaran zakat dalam membantu golongan asnaf memulakan perniagaan, perumahan, pendidikan serta menampung rawatan kesihatan.

Menurut Penerbit Penyelaras FMP, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin pada pertemuan yang sama memberitahu, program tersebut memberi perspektif berbeza dari segi penerbitan.

“Kita mencari golongan asnaf menerusi senarai yang diberikan oleh LZS. Dari situ kita cuba selami kehidupan serta kesusahan yang dicerita sendiri oleh mereka.

“Kita biasanya berfikir bahawa zakat hanya memberi bantuan dari segi kewangan tetapi sebenarnya lebih daripada itu.

“Beza Al-Barakah dengan program realiti kemasyarakatan lain, kita nak penonton melihat bagaimana wang bantuan yang diberikan oleh zakat kepada golongan asnaf digunakan oleh mereka sehingga mampu mengubah nasib mereka,” katanya.

Akhtar pilihan tepat – Syirfan

Memilih pengacara Akhtar Sahari yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Pembangunan Korporat di Lembaga Zakat Selangor adalah pilihan yang tepat dalam mengendalikan program tersebut.

Ini kerana menurut Sirfan, pengalaman serta tugas Akhtar di LZS sememangnya diperlukan untuk memberi penjelasan serta informasi yang lebih tepat kepada penonton.

Sebagai petugas di LZS, kata Akhtar, dia melihat ramai di kalangan masyarakat yang keliru ke mana wang zakat dialirkan setiap tahun.

Menurut Akhtar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan dana RM1 juta khas untuk menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf yang terlibat dalam program tersebut.

“Ini pendekatan yang berkesan dalam menguar-uarkan kepada masyarakat tentang fungsi zakat yang sebenar kerana ramai di kalangan masyarakat yang keliru tentang aliran wang zakat.

“Harap-harap dengan adanya program sebegini penonton akan lebih jelas bagaimana wang zakat yang dibayar setiap tahun dimanfaatkan sepenuhnya dalam membantu golongan asnaf.

“Kalau boleh, kita nak mengajak pembayar zakat melihat sendiri bagaimana wang zakat yang dibayar oleh mereka di integriti dan diuruskan dengan penuh telus,” katanya.

Akhtar selesa mengacara program keagamaan

Menyingkap serba sedikit profil pengacaraan, Akhtar sebenarnya cukup sinonim mengacarakan program berbentuk keagamaan.

Persoalannya, benarkah imej sebagai petugas di LZS mungkin sedikit membataskan kebolehan Akhtar sebagai pengacara?.

Namun, bagi empunya diri segalanya tidak menjadi persoalan memandangkan dirinya cukup selesa mengendalikan pelbagai program berbentuk keagamaan.

“Saya berkerja dengan LZS sudah 15 tahun, jadi sudah tentu saya perlu menjaga imej serta nama baik LZS sendiri.

“Menjadi pengacara untuk program berbentuk keagamaan memang banyak cabaran sebab itu saya perlu sentiasa beringat dan sentiasa menjaga batasan.

“Malah, cara mengacara serta pendekatan yang digunakan untuk program sebegini juga berbeza dengan program televisyen lain.

“Setakat ini saya memang tiada masalah mengendalikan program keagamaan malah sudah semakin selesa,” katanya yang sudah empat tahun aktif mengendalikan program televisyen.

Bagaimanapun, kata Akhtar, sekiranya diberi peluang dia tetap ingin mencuba mengendalikan program lain berbentuk dokumentari dan berkaitan isu semasa.

Selain mengendalikan program Al-Barakah, Akhtar turut mengendalikan program Sebutan Syariah di Astro Oasis.  

“Rosli Dhoby” bawa pulang piala…

Posted in Buah Fikiran, Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on Julai 30, 2009 by syirfan

Festival Dokumentari Malaysia 2009 membawa makna baru… 94 dokumentari bertanding dalam gelanggang..

Rosli Dhoby : Pejuang atau Pembunuh tiba-tiba menjadikan aku ketar dalam malam anugerah tersebut. Tak lalu makan, serta tak selesa.

Aku benar-benat terperanjat apabila Rosli Dhoby dicalonkan dalam 6 kategori dari 10 kategori keseluruhan. Benar. Saya benar-benar takut. Antara memang atau tidak dan jadi isu nombor dua. Saya benar-benar takut dengan pencapaian ini. Rosli Dhoby merupakan dokumentari yang dicalonkan paling banyak kategori.

Bermula dengan Skor Muzik terbaik  dan Suntingan terbaik. Kredit ini sepenuhnya wajar diberikan pada Zaidi (editor dan penolong pengarah) yang tanpa jemu membuat kajian dan ujian. Gagal, gagal dan gagal. Akhirnya, Rosli Dhoby bersiaran dengan penuh emosi pasca sentuhan muzik dan suntingannya.

Rosli Dhoby juga dicalonkan dalam Sinematrografi terbaik. Wajah-wajah krew yang terlibat dalam penggambaran muncul satu persatu dalam kotak ingatan. Masih aku ingat basah peluh mereka melayan kerenah aku yang mahu memulakan pengambaran seawal pagi hingga santak azan subuh. Masih aku ingat lagi Intan yang terjelepok tidur di tangga keletihan.

Rosli Dhoby turut tercalon dalam kategori Skrip terbaik. Ini mungkin pencapaian tertingggi aku. Lebih menakutkan dalam kategori skrip terbaik, skrip Alexander Bukan Zulkarnain juga dicalonkan. Dari 5 pencalonan, aku pegang 2 pencalonan. Ia sememangnya saat aku mengingati wajah-wajah mereka yang tanpa jemu mengajar dan memberi sentuhan ajaib tentang makna sebuah penulisan skrip. Dari RTM yang mengajar aku menulis hingga Astro yang menajamkan lagi pena aku – semuanya buat aku sebak. Rasanya baru semalam skrip aku di tong sampahkan… Kredit untuk skrip Rosli dhoby ini wajar aku serahkan pada Jaya dari Astro yang sangat-sangat keras untuk menjadikan Rosli Dhoby sebuah karya istimewa.

Pengarah terbaik dan Dokumentari Ilmiah terbaik menjadi cagaran seterusnya. Untuk semua ini, kredit aku serahkan pada Aman (penyelidik dan Penolong Penerbit) yang tak pernah mengecewakan dalam kajianya serta Intan (Penolong Penebit) yang sentiasa mengiakan setiap arahan. Terima kasih juga pada Abang Bol Hassan (anak saudara Rosli Dhoby) yang tak pernah berkata “tidak” pada saya. Terima kasih pada semua kawan-kawan di FM Production yang memberi ruang kepada karya ini. Terima kasih pada tenaga kerja di Astro yang mengizinkan Rosli dhoby bersuara.

Pada penghujungnya, “Rosli Dhoby” tersenyum kerana memenagi anugerah Dokumentari Ilmiah Terbaik serta menjadi salah satu dari 4 dokumentari yang bakal merebut anugerah Dokumentari terbaik Malaysia di Festival Filem Malaysia awal bulan hadapan.

Bila sang wartawan bertanya pada aku sebaik sahaja memenangi anugerah ini tentang perasaan dan harapan peribadi untuk memenangi dokumentari terbaik Malaysia awal bulan depan, aku dengan yakin berkata “dengan anugerah Doku Ilmiah terbaik, dicalonkan dalam 6 kategori serta saya dikelilingi oleh kawan-kawan yang pasti bersama dan menyokong saya dalam penerbitan yang lain, saya sudah menang. saya tak perlu berharap lagi. masa depan masih jauh. Anugerah ini hanya sebuah permulaan kecil. Doalah masa depan yang lebih cerah…”

Aku rasa, makam pahlawan di Sibu wangi malam tadi…

Ini cerita aku…

Posted in Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on Mei 26, 2009 by syirfan

Kawan-kawan…

Apa rasanya bila kita sedang membuat kerja / tugasan yang kita yakin ia tidaklah sebaik yang sering kita harapkan dan mungkin akan mengecewakan ramai orang…

Tugasan itu pula berada dalam status ‘wajib’ disiapkan.

Itulah yang sedang membelenggu diri aku…

Aku ada sebuah dokumentari yang perlu disiapkan. Pada awalnya, ia sangat sulit untuk dilestarikan. Ia hampir-hampir pada tahap mustahil. Tidak ada penebit yang mahu mencuba. Aku ambil risiko untuk cuba merealisasikannya. Ia hampir berjaya.

Namun, angin perubahan tiba-tiba melanda.

Dokumentari itu perlu diubah wajah dan rasanya untuk disesuaikan dengan wajah dan rasa baru yang ditetapkan oleh pihak tertentu. Maknanya, dokumentari ini perlu diberi nafas baru.

Dengan visual lama, teknik lama, garapan lama, budget lama – ia harus diubah menjadi serba baru. Terkulat juga seketika.

Jujurnya, aku sangat yakin ia boleh disiapkan. Disiapkan dalam tempoh yang diberi. Namun, nilai kepuasan itu hilang. Aku yakin ia tidak seindah yang sepatutnya.

Kini, ia dalam proses untuk disempurnakan. Namun jauh disudut hati, kecewa melanda.

Apa pun, ia akan keudara tidak lama lagi. Maaflah jika karya baru saya nanti tidak seunik “Kisah Ina : Balada Gadis HIV” , tidaklah wow seperti Ziarah – Russia, tidak sehebat “Alexander Bukan Zulkarnain” dan tidak seistimewa “Rosli Dhoby”…  namun ia tetap sebuah karya jujur dari saya.

Tunggulah…

Nota – Kekecewaan ini tidak merujuk kepada sesiapa pun di FM Production, kecuali dia!

Pemburu Hantu!

Posted in Buah Fikiran, World Documentary on Mei 22, 2009 by syirfan

Aku sering terhukum dengan soalan-soalan berkait dengan program baru Astro Ria ini  – Pemburu Hantu.

Aku malas nak komen lebih untuk soalan yang menyatakan – adakah hantu yang mereka jumpa itu betul atau sekadar penipuan visual?. Aku akan komen bila program ini sudah benar-benar berbekas pada penonton.

Untuk kali ini aku hanya mahu menjawap – Siapakah mereka?

PB hairi

PB is

PB anis

Nota – Mereka sedang melaksanakan tugasan mencari hantu di Perak! Ulang suara – Perak!

 

Tukar Agama!

Posted in Buah Fikiran, World Documentary on Mei 20, 2009 by syirfan

Ada kawan yang pulang dari utara. Hadir ke tempat yang pernah dilanda petaka. Katanya – disana semua telah tukar agama!

 

* Pos Dipang dalam kenangan!

Rosli Dhoby : Cerita Penerbit 2

Posted in Dokumentari : Rosli Dhobi, Senyum Tangis 'Aku', World Documentary on Mei 19, 2009 by syirfan
Rosli Dhoby ditangkap sejurus berjaya menikam Sir Duncan Steward, Gabenor General British Sarawak yang ke-2

Rosli Dhoby ditangkap sejurus berjaya menikam Sir Duncan Steward, Gabenor General British Sarawak yang ke-2

Sekeping gambar yang mungkin boleh bercerita tentang perjuangan untuk anak bangsanya.

Nantikan kemunculan Rosli Dhoby di ruang tamu anda…