Archive for the Kisah sebuah Istana Category

harus pergi untuk dewasa…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 20, 2010 by syirfan

Rumah kami sunyi sedikit minggu ini.

Suara Putera Syahmi Zafran (6 tahun), anak sulung yang sepatutnya memeriahkan suasana pasti tidak kedengaran. Syahmi terbang ke China awal pagi ahad yang lalu.

Mulanya sekadar cerita. Ditambah sedikit harapan. Akhirnya terzahir cita-cita Syahmi mahu ke China. Lokasi di mana ayah dan uminya hadir hujung tahun yang lalu. Dia pun mahu ke sana. Mahu terbang ke China dan mahu tiba di Tembok Besar China.

Untungnya, ayah dan ibu saya juga mempunyai keinginan yang sama. Mahu bercuti ke sana. Syahmi menumpang tuah. Terbanglah dia melengkapkan impian bersama ayah, ibu dan adik saya. Syahmi terbang dengan penuh rasa gembira.

menahan kesedihan...

Sebelum Subuh hujung minggu  kami sudah di  Lapangan Terbang. Dalam kegembiraannya, terselit juga rasa kesedihan. Kesyahduan. Pastinya sangat terasa buat Syahmi yang buat pertama kalinya pergi jauh meninggalkan ayah, umi dan adik-adiknya. Ditahannya air mata agar tidak tumpah. Dia anak lelaki. Dia sedar dia tidak boleh menangis.

Paling terasa pastinya adik perempuannya, Syahmina. Mereka tidak pernah berpisah. Tidurpun bertindih kulit. Inilah kami pertama mereka terpisah. Kami sendiri pernah meninggalkan mereka. berminggu-minggu. Saya sendiri pernah meninggalkan mereka berbulan-bulan. Tidak bagi Syahmi dan Syahmina.

Itu sebabnya terkesan sungguh bila mereka berpelukan. Saling menasihati. Saling mengingati.

Sebagai ayah dan Umi, kami sedar bahawa Syahmi harus pergi untuk melengkapkan impian. Memenuhi harapan. Syahmi harus dewasa. Dewasa dengan caranya. Syahmi mungkin terdidik dek kerjanya saya yang sering terbang ke sana-sini. Syahmi tahu ada negara bernama Russia. Syahmi tahu dimana letaknya piramid. Dia tahu berapa jumlah piramid besar di kota kematian.Tahu kota-kota besar lewat tugas saya di kota-kota itu. Syahmi tahu wujudnya sebuah negara bernama China. Dia juga mahu jadi pengembara. Peluang dia untuk dia dewasa dengan melihat dunia baru. China adalah lokasi pertamanya.

pergi untuk dewasa...

Kami sebagai ibu dan ayah melepaskan Syahmi untuk pergi melihat dunia. Melihat manusia. Menilai budaya. Menikmati gaya. Memperakui agama.

Kami melepaskan Syahmi dengan pelbagai rasa. Gembira dan sedih pastinya. Namun, Syahmi tetap harus pergi untuk dewasa!

Untuk Isteri ku…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Julai 12, 2010 by syirfan

Sayang, terima kasih kerana masih kekal di sini. Di sisi seorang suami.

Moga jalinan cinta yang kita jalin tanpa jemu itu akan kekal selamanya. Moga hari-hari indah yang kita lalui bersama akan lebih berwarna dan wangi di samping anak-anak manja kita. Harapnya juga cinta kita sentiasa dalam rahmatNYA.

Terima kasih sekali lagi kerana kekal begitu – menjadi seorang kawan, teman, sahabat, kekasih, isteri dan ibu kepada anak-anak.

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang ke-7!

Terus mencintaimu…

Syirfan

Kapten Subasa, Puteri dan “Bekeng”

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Februari 28, 2010 by syirfan

Kami punya 3 ahli keluarga baru. 3 ekor kura-kura.

Kura-kura inilah subjek pengalaman baru yang diterokai dan cuba difahami oleh putera-putera dan puteri saya.

Kami beri peluang kepada anak-anak kami untuk memberi nama kepada kura-kura ini.

Untuk Syahmi, dia memberi nama pada seekor kura-kura dengan nama – Kapten Subasa. Nama salah satu watak kartun yang disukainya.

Untuk Syahmina, dia memberi namanya – Puteri. Kura-kura itu cantik katanya.

Masalah bila tiba giliran Syamil untuk memberi nama. Syamil tidak boleh bercakap lagi. Lantas si kakaknya memberi idea, “Adik ini garang. Selalu pukul kakak. Kita bagi nama kura-kura dia – bekeng”. Bekeng mengikut loghat orang Terengganu bermaksud garang.

Kini bersama kami wujudlah 3 watak baru yang akan mengikut kami kemana sahaja. Selain menjaga Syahmi, Syahmina dan Syamil, kami kini terpaksa menjadi Kapten Subasa, Puteri dan Bekeng!

Saya bertunang hari ini…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Februari 22, 2010 by syirfan

Hari ini, 22 februari. Hari yang panjang.

Hari ini, 22 februari. 7 dulang dikirim sebagai tanda.

Hari ini, 22 februari. Satu janji termetri untuk laksana sepanjang hidup.

Hari ini, 22 februari. Saya mengikat makna cinta.

 

Hari ini, 22 feruari tahun 2002, saya bertunang!

Penamat Cerita – Beijing / Shanghai

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Januari 26, 2010 by syirfan

Salji juga mampu membunuh kawan...

Sambungan (terpaksa menyambung cerita selepas diberi kata dua oleh beberapa orang teman. hahaha)

Dari Beijing terbang ke Shanghai. Selamat tinggal salji putih.

Kerusi disebelah saya tak ada penghuni. Kosong.

Di dalam pesawat saya hanya berharap makanan segera dihidangkan. Perut memang mohon diisi. Terlalu lambat rasanya. Saya sudah impikan nasi…

Sayangnya, cik pramugari yang sepet matanya hanya menghulur sebungkus kacang. Mungkin buat alas perut sebelum makanan sebenar dihidang. Apa barang sebungkus kacang untuk mengalas perut. Saya minta lagi beberapa bungkus. Terus cik pramugari menghulur 5 bungkus kacang pada saya. Mungkin di muka saya sudah jelas tertera perkataan – manusia kelaparan.  Saya betul-betul lapar. Bayangkan beberapa hari ini saya hanya hidup dengan beberapa bungkus mee segera dan air.

Lama. Cukup lama. Mahu sahaja saya bangun dan membantu pramugari-pramuguri yang sepet matanya menyediakan makanan. Lama.

Dek kerana lama dan bosannya menunggu, saya tertidur. Saya sudah mimpikan ikan sembilang masak lemak cili api.

Sedar-sedar saya lihat dari kejauhan cik pramugari yang sepet matanya sedang mengambil bekas-bekas makanan. Apa? semua dah makan????

Berderau darah saya bila lihat situasi itu. Segera saya mengangkat tangan bertanya soalan… hahaha

Terasa kembali hidup selepas menikmati hidangan. Sangat sedap. Sangat sesuai dengan kelaparan saya.

Tidak lama kemudian, saya tiba di Lapangan Terbang Pudong, Shanghai. Tiada salji. Namun kesejukan cukup terasa. Jam baru 10 pagi.

Tanpa menunggu lama, saya segera mendapatkan maklumat penerbangan. Saya cari penerbangan terus ke Kuala Lumpur. Segera.

Jumpa. Sama seperti yang khabarkan. Petang ini ada pesawat MAS membuat penerbangan ke Kuala lumpur. Nota yang diberi oleh pihak China Airlines terus saya hulurkan kepada petugas disana. Nama saya segera didaftarkan. Saya dijanjikan dengan penerbangan dengan MAS lewat petang ini.

Sedikit masa yang ada saya sempat saya meneroka Lapangan Terbang Pudong, Shanghai. Kesejukan -1 darjah celsius  tetap membawa saya berjalan-jalan di luar lapangan terbang. Apa barang -1.

4 jam sebelum kaunter MAS dibuka, saya sudah terpacak. Saya sudah tidak percaya pada janji-janji. Saya tahu saya mesti mendapatkan tiket ke Kuala Lumpur sebentar lagi. Kalau perlu berebut dan berperang, saya sedia melakukan. Teknik-teknik Aikido mula tergambar di kepala . Hahaha

Entah bagaimana, bila kaunter dibuka semuanya berjalan sangat baik. Tiada lagi tolak menolak. Tiada lagi pergaduhan. Sangat sistematik. Sangat berbeza dengan situasi di Beijing. Saya memang mendapat tiket yang dijanjikan…

Wajah anak-anak dan isteri segera menerpa. Saya akan berada di Kuala Lumpur awal pagi nanti.

Pada tika berada di pintu pesawat MAS dan disapa “selamat datang” oleh cik pramugari bermata bundar, saya tahu saya sudah boleh melafazkan syukur…

Saya pernah berada di pelbagai lapangan terbang terpilih dunia, namun kenangan di Lapangan Terbang Beijing paling berkesan.

Saya terbang dari kesyahduan  dan bau pakaian yang memeningkan kepala. Bayangkan pakaian ini saya sudah pakai selama 3 hari… Baunya? susah mahu cerita… hehehe

Tamat (terpaksa ditamatkan kerana takut dipukul oleh teman-teman)

Sambungan Cerita di Terminal 3, Lapangan Terbang Beijing

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Januari 20, 2010 by syirfan

Salji hari pertama di Beijing...

Sambungan

Selepas mendapat pengesahan untuk terbang ke Pudong awal pagi esok, saya kembali mengeluh dan resah. Jam sudah 1 pagi. Salji di luar masih menari-nari.

Dimana hendak tidur malam ini? Kesejukan malam telah lama terasa.

Sewaktu saya termanggu-manggu mengenang nasib, terdengarlah khabar bahawa penumpang yang akan terbang ke Pudong awal pagi esok akan diberi penginapan di hotel malam ini. Cantik!

Difikir semula,  tak berbaloi juga. Jam sudah pukul 1 pagi. Pukul 4 agi pula sudah kena siap untuk check in ke Pudong. Tapi bila mengenangkan nasib yang dah tak mandi beberapa hari dan mengenang diri yang akan tidur dalam tandas malam ini, saya pun beraturlah mengikut rombongan ke hotel yang dijanjikan.

Saya bayangkan sebuah hotel yang besar di tepi lapangan terbang serta biliknya yang punya pemanas dan makanan…

Kami semua penumpang-penumpang yang akan ke Pudong akhirnya beratur panjang di luar lapangan terbang. Ulang suara, di luar lapangan terbang…

Sejuknya tak boleh nak cerita dah. Rasa nak mengalir air mata. – 17 darjah celsius!

Salji memang menggila waktu itu. Tapi rasanya tak segila kami yang menunggu bas di tengah-tengah ribut salji tu. Lambat pulak bas tu muncul…

Terketar-ketar.

2 buah bas muncul. Semunya berebut-rebut. Saya jangka dengan 2 buah bas ini langsung tidak mencukupi untuk menampung kesemua penumpang-penumpang ini. Pegawai yang bertugas pula memaksa kami semua masuk kerana katanya hanya 2 buah bas ini di sediakan untuk kami.

Akhirnya bayangkan, penumpang sebuah kapal terbang mampu dimuatkan dalam 2 buah bas. Adakah ini rekod dunia?

Kami akhirnya dihantar ke sebuah hotel yang mengambil masa 10 minit perjalanan. Hotel 3 bintang sahaja. Saya sudah mula membayangkan derita..

Tiada makanan yang disedikan. Bilik pula tidak mempunyai sistem pemanas. Macam mana nak tidur ni?

Saya ke kedai kecil di hotel ini membeli mee segera. Kelaparan. Makan dengan segera dan terus masuk ke dalam selimut. Rasanya tidur dalam ais…

Apa khabar keluarga di Malaysia agaknya?

4 pagi saya telah siap siaga. Mandi tetapi memakai pakaian yang sama. Itu sahaja pakaian yang ada kerana semuanya telah terbang ke Malaysia.

Ya, pagi itu. Salji masih lebat. Tingginya telah mencecah lutut. Kesejukan pagi yang belum pernah saya alami dan saya beratur sekali lagi di luar hotel menunggu bas untuk ke lapangan terbang.

Terasa terlalu lama. Mungkin derita menahan kesejukan membuat masa bergerak terlalu perlahan. Dari jauh, 2 buah bas istimewa itu kelihatan.

Berhimpit ala sardin sekali lagi.

Setengah jam kemudian saya sudah beratur di kaunter dan tidak lama kemudian saya mendapat tiket untuk terbang ke Pudong. Saya terus bergerak ke terminal dan menunggu. Tidak lama kemudian muncul bas untuk membawa kami ke kapal terbang.

Memang pada waktu salji kapal terbang tidak boleh mendarat berhampiran dengan lapangan terbang kerana licin. Kapal terbang diletakkan agak jauh dari lapangannya. Bas pula tidak boleh berhenti dekat dengan dengan kapal terbang. Akhirnya kami diturunkan lebih kurang 500 meter dari kapal.

Sekali lagi meredah salji setinggi lutut. Saya benar-benar mahu terbang dari sini. Saya sudah tidak boleh berfikir waras lagi. Saya hanya mahu tinggalkan kesejukan ini. Saya mahu tinggalkan Beijing.

Saya memperoleh tempat duduk di tepi tingkap tapi tidak mahu memandang keluar. Saya makin benci pada salji.

Pada tika menungu kapal terbang bergerak, saya mendengar pengumuman. Saya mendengar jelas tentang lokasi kemana kapal ini akan terbang. Sangat jelas. Kapal ini akan terbang ke Pudong, Shanghai.

Apa? saya akan terbang ke Shanghai?

Bersambung lagi…

Sambungan cerita di Terminal 3, Lapangan Terbang Beijing

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Januari 11, 2010 by syirfan

 

Suhu di luar telah pun menceceh -17 darjah celsius. Namun hati saya cukup panas.

Pegawai di hadapan saya masih memandang saya tanpa lepas. Saya mengeluh panjang. Saya perlu tinggal di Lapangan Terbang Beijing ini untuk 5 hari lagi?

Kenalan dari Jepun yang berada di belakang saya menggeleng kepala. Simpati mungkin pada nasib saya dan mungkin menggeleng untuk nasibnya. Lama juga saya berdiri di situ mencari ketenangan. Akhirnya pada pegawai itu saya tegaskan dengan suara yang agak lantang – “Jangan buat kelakar disini. Anda mahu saya tinggal lapangan terbang ini untuk 5 hari lagi? saya tidak kira, saya mahu pulang ke Malaysia segera. Carikan saya tiket. Periksa sekali lagi sistem awak itu. Saya tidak kira. Saya mahu tiket pulang segera!” Noktah.

Terkulat-kulat pegawai bermata sepet itu bila ditempelak saya sebegitu. Untungnya beberapa pelanggan di sekeliling saya seperti memberi sokongan. Pegawai muda itu kembali mengetuk papan kekunci komputernya. Entah apa yang dicarinya. Saya sudah nekad akan terus berada di hadapannya untuk mendapatkan tiket pulang.

Saya menjangka isteri saya sedang lena dalam penerbangan pulang ke Malaysia. Mungkin dalam 2 jam pagi dia akan sampai ke KLIA. Mungkin isteri saya akan membantu saya dari sana terutamanya perlunya saya kredit telefon.

Pelanggan disebelah saya pula tiba-tiba menjerit. Dia mahu juga tiket pulang ke London segera. Waktu ini semuanya mahukan tiket – dalam apa cara sekali pun. Jejari pegawai dihadapan saya masih menari di papan kekunci. Apa yang dicarinya? Tiket atau alasan. Lama. Memang lama. Lebih sepuluh minit dia mencari. Hampir semua penumpang yang berada di hadapan kaunter menunggu dengan debar dengan sedikit sabar.

Saya menunggu matanya memandang saya. Dalam kesejukan itu saya lihat pegawai itu kerimasan. Kesian dia.

Akhirnya dia memandang saya. Tanpa suara. Saya sudah tahu jawapannya lewat mata itu. Negatif.

Saya tarik nafas panjang sekali lagi. Segala pengalaman, analisis dan kajian saya tentang dunia penerbangan bercampur baur.

Saya bersuara sekali lagi . Kali ini lebih lembut tetapi lebih membunuh. “Ok, begini. Saya tahu anda memang tidak boleh hantar saya pulang ke Malaysia sekarang. Baik, sekarang cari penerbangan keluar dari Beijing. Transitkan saya di mana-mana. Saya tahu esok ada penerbangan awal pagi ke Hong Kong. Transitkan saya ke Hong Kong. Atau hantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa yang besar. Hantar saya ke Dubai, ke Qatar atau ke mana sahaja. Kemudian dari sana dapatkan saya tiket ke Malaysia. Boleh anda lakukan itu untuk saya?”

Jelas permohonan saya. Saya perlu keluar dari Lapangan Terbang ini. Saya rela terbang ke Dubai dimana saya yakin jauh lebih selesa dan yakin saya boleh menukar matawang RM kepada matawang tempatan dengan mudah. Untuk masa ini saya sudah benci dengan kedinginan salji.

Perut kian berlagu keras. Kelaparan. Kali terakhir saya makan adalah pagi tadi. 20 Yuan dalam poket saya cukup untuk sebungkus mee segera dan air mineral. Cukup-cukup. Esok?

Pelanggan  yang mahu ke London telah beredar. Dia akan tinggal di lapangan terbang ini untuk 2 hari lagi. Tada penerbangan pulang. Kasihan. Nasib saya bagaimana agaknya.

Lama. Memang lama. Letih kaki berdiri untuk mengubah nasib. Jam telah melebihi pukul 12 tengah malam. Sistem pemanas telah ditutup. Kedinginan menyapa. Kesejukan mula terasa.

Akhirnya pegawai bertugas itu berdiri. Mengambil sesuatu dari meja belakang. Kemudian memandang saya dengan penuh rasa simpati dan bersuara perlahan, “Saya boleh dapatkan tiket encik ke Pudong. Penerbangan jam 7 pagi esok. Dari sana encik boleh dapatkan tiket ke Malaysia.”

Ok!

Saya sudah nekad untuk keluar dari terminal bertuah ini. Saya sudah tidak kira kemana. Pegawai tersebut mencetak sesuatu. Pada waktu itu saya baru terperasan, Pudong ini berada di dunia mana?

Saya akan mendapat tiket ke Pudong tetapi saya tidak tahu Pudong itu dimana. Menarik bukan? Hahaha

Bila tiket penerbangan ada di tangan, saya keluar barisan dengan beberapa rasa. Tenang bila mendapat tiket untuk keluar dari Beijing, keliru bila memikirkan apa itu Pudong dan resah memikarkan dimana hendak tidur malam ini.

Jam sudah menunjukkan 1 pagi. Salji di luar menari-nari.

Panjang lagi perjalanan untuk pulang ini. Panjang saya mengeluh…

Bersambung

Sambungan : Cerita di Terminal 3, Lapangan Terbang Beijing

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Januari 8, 2010 by syirfan

Salji di Lapangan Terbang Beijing

Sambungan…

Salji makin tebal. Terminal 3 beku.

Saya masih termanggu. Apa yang harus saya lalukan untuk kembali ke Malaysia.  Mungkin sedikit tenang bila isteri telah pun terbang balik ke Malaysia. Memang saya yang harus berkorban. Baru saya perasan bahawa di dalam beg saya tiada baju tebal yang tinggal. Isteri saya telah membawa balik kesemua pakaian kami.

Saya betul-betul sehelai sepinggang. Di kaca televisyen CNN menyiarkan bahawa Beijing lumpuh akibat salji tebal. Saya berputar-putar di sekeliling terminal 3 untuk mencari idea bagaimana untuk terbang balik ke Malaysia dan dalam masa yang sama mencari tempat panas untuk tidur malam ini.

Bila saya di tandas baru saya perasan bahawa tandas merupakan tempat yang paling panas. Ini kerana sistem pengering lantai dihidupkan sentiasa. Dengan tandas yang bagi saya bersih, saya sudah menyusun startegi – jika lewat malam ini terlalu sejuk, saya akan duduk di dalam tandas!

Terminal 3 masih kecoh. Tidak pernah sepanjang hidup saya menyaksikan pergaduhan silih berganti. Saya faham tekanan yang dialami oleh penumpang-penumpang yang terkandas di sini. Tanpa makanan dan penginapan, adakah mungkin mereka mampu bertahan dengan kesejukan yang saya lihat sudah mencapai -17 darjah celsius.

Saya juga lihat ramai yang makin terdesak kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk terus tinggal di terminal ini. Waktu inilah mereka mula menjual telefon bimbit, jam, camera dan sebagainya untuk mendapat sedikit duit yuan untuk survival. Saya hanya ada 20 Yuan dalam poket dan sekeping kad kredit yang hanya akan aktif jika saya berjaya membuat panggilan pengaktifan ke Malaysia.

Saya akhirnya beratur panjang di kaunter tiket sekali lagi. Saya tahu saya akan beratur lama untuk sampai di kaunter dan mungkin jawapan di kaunter tidak langsung memberangsangkan. Namun saya harus beratur untuk mengetahui status saya.

1 jam.

2 jam

3 jam

4 jam telah berlalu. Saya masih beratur. Di hadapan saya lihat beberapa penumpang mula menjerit-jerit dan memarahi pegawai yang bertugas. Mungkin mereka gagal mendapat tiket yang dikehendaki.

Penumpang yang beratur di hadapan saya lemah longlai bila hanya akan mendapat tiket 2 hari lagi. Ini bermakna dia harus berada di Lapangan Terbang ini untuk 2 hari lagi. Saya berdoa panjang. Saya tidak snaggup untuk berada lebih lama lagi. Macam-macam kemungkinan tergambar. saya yakin anak-anak saya tidurnya tak lena.

Bila saya berdiri di hadapan kaunter, saya terus menyatakan masalah saya. Lama pegawai itu memeriksa di komputernya. Saya resah. Adakah saya akan dapat penerbangan ke Malaysia esok?

Lama juga saya memandang pegawai ini memeriksa peluang saya untuk ke Malaysia. Dia betul-betul bakal jadi penyelamat saya. Nasib saya benar-benar bergantung padanya.

Perut sudah berbunyi. Sayangnya poket tidak berlagu.

Akhirnya pegawai itu menyatakan status saya. Perkara yang menakutkan itu benar-benar terjadi.

Tiket penerbangan balik saya ke Malaysia hanya akan diperolehi 5 hari lagi!

Ini bermakna saya harus berada di Terminal 3, Lapangan Terbang Beijing untuk 5 hari lagi??????

Saya tiba-tiba hilang nafas. Semuanya terlalu kecil buat saya..

Apa yang perlu saya lakukan untuk hidup 5 hari lagi di sini???

Di luar, salji masih menari. Dinginnya menggigit hati…

Apa yang perlu saya lalukan?

Bersambung…

Seribu Cerita di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Januari 7, 2010 by syirfan

 

Saya mungkin insan bertuah yang pernah berada di beberapa Lapangan Terbang seluruh dunia. Namun berada di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing paling terkesan dalam pengalaman hidup.

Saya dan isteri berpeluang mengunjungi Beijing baru-baru ini. Semuanya berlangsung dengan keadaan yang cukup baik dan menarik. Namun rupanya cerita deritanya bermula apabila kami mahu pulang ke Malaysia. Penerbangan yang dijadualkan pada mulanya di tunda atas alasan salji tebal. Tidak lama kemudian penerbangan tersebut dibatalkan terus.

Keadaan tiba-tiba menjadi kucar-kacir. Kesemua penerbangan hari tersebut dibatalkan. Kami semuanya terperangkap di Terminal 3. Tidak ada maklumat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu. Hampir kesemua penumpang berpusu-pusu ke kaunter pertanyaan bertanyakan nasib mereka. Tarik menarik, beberapa siri pergaduhan berlaku. Kesukaran bertambah bila pihak lapangan terbang gagal memberi maklumat yang memuaskan. Lebih-lebih lagi mereka semua sangat kurang fasih berbahasa Inggeris. 

Selepas beratur lebih 4 jam, akhirnya saya berjaya berada di hadapan kaunter tiket untuk mendapatkan tiket penerbangan paling awal keesokkan harinya. Kami dijanjikan dengan penerbangan esok petang. Ini bermakna kami terpaksa berada di lapangan terbang ini lebih dari 24 lagi.

Derita kami mula bertambah bila pihak pengurup wang tidak mahu menerima wang Malaysia untuk pertukaran ke matawang China. Mereka hanya mahu menerima Dollar atau Euro. Poket saya hanya punya wang RM. Nasib baik ada penumpang yang sudi menukarkan duit. Dapatlah saya menukar RM 35 untuk 70 Renminbi / ChiNa Yuan. Tidak cukup sebenarnya untuk kami berdua, tapi bolehlah dari tiada langsung.

Kesejukan mula menggigit pada sebelam malam. Dilaporkan suhu telah mencecah -15 darjah Celcius. Di luar salji makin tebal. Makanan yang kami boleh beli hanyalah sebungkus mee segera setiap seorang. Sebungkus bernilai 8 Yuan. Makanan lain tidak pasti status halalnya. Laporan televisyen menyatakan bahawa Beijing lumpuh akibat salji tebal yang tidak terjangka itu. Inilah salji paling teruk sejak 60 tahun. Kami pula hanya mengenang nasib tidur diatas simen malam ini. Malang bertambah bila menjelang 12 malam, pihak lapangan terbang telah menutup sistem pemanas mereka. Kami semua kesejukan dan kelaparan.

Malam itu terminal 3 bagaikan sebuah bilik tidur yang besar. Di mana sahaja ada sahaja yang terbaring. Dalam kesejukan salji dan kedinginan lantai simen, kami tidur dengan mimpi ngeri…

Awal pagi, masih ramai yang terbaring di sana-sini. Kasihan pada anak-anak yang tidak faham apa-apa. Bersyukur juga kami berdua kerana tidak membawa anak-anak bersama. Sekali lagi, mee segera jadi makanan.

Tengahari itu kami sudah siap sedia untuk mendaftar masuk. Hanya ada beberapa kaunter sahaja yang dibuka. Sekali lagi beberapa siri pergaduhan berlaku. Tolak menolak berlaku di mana sahaja. Semuanya tidak sabar untuk mendapatkan tiket. Ia sesuatu yang cukup menjelekkan.

Bila tiba di hadapan kaunter, saya merasakan nasib derita kami berdua akan berakhir. Rupanya tidak begitu. Janji yang diberikan oleh pihak penerbangan gagal mereka tepati. Kami tidak mendapat tiket yang dikehendaki. Saya tiada pilihan lain selain berkeras. Hasilnya, saya mendapat satu tiket untuk terbang ke Malaysia. Hanya satu tiket untuk kami berdua.

Pastinya saya mengambil keputusan untuk menghantar isteri saya pulang dahulu. Mungkin itu yang terbaik kerana beliau boleh membantu dari Malaysia nanti. Paling kurang keluarga di Malaysia mendapat maklumat tentang nasib kami di sini. Pastinya anak-anak di Malaysia akan kerisauan lebih-lebih lagi mereka sepatutnya sudah mendaftar di sekolah mereka. Isteri saya pula harus mendaftar di UPM bila permohonan untuk melanjutkan pelajaran diluluskan.

Akhirnya, 7 petang itu isteri saya terbang ke Malaysia. Terbang dengan membawa beg-beg kami serta harapan. Saya pula masih berada di terminal 3 dan tidak tahu bila akan mendapat tiket untuk pulang di Malaysia. Dalam poket hanya ada 20 Yuan dan kredit telefon yang hanya mengizinkan saya menghantar 4 mesej sahaja lagi.

Salji masih lebat di luar. Suasana terminal 3 masih kucar-kacir. Ada bebeberapa siri pergaduhan lagi.

apa yang perlu saya buat sekarang?

BERSAMBUNG…

Zalina Maizan, Pashmina dan Tanda Kemanusiaan…

Posted in Kisah sebuah Istana, Senyum Tangis 'Aku' on Disember 18, 2009 by syirfan

Berita Mahkamah dalam akhbar Utusan hari ini nampak biasa sahaja. Namun ada cerita manusia disebalik berita ini. Tahniahlah pada Zalina Maizan yang membawa nilai kemanusiaan dalam ruang mahkamah itu.

Mungkin si ibu seorang pengedar dadah, namun si anak tiada dosa dengan dunia…

Untuk isteriku , Zalina Maizan – kita beli pashmina baru…

Ambiya baru bersalin hadapi tuduhan dadah

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Dengan tangan yang bergari, wanita itu cuba mengimbangi bayinya yang baru berusia dua minggu ketika berjalan menuju ke sebuah kerusi di sebelah kandang tertuduh.

Dalam kepayahan, dia memangku anaknya yang mula kelaparan sebelum garinya dibuka buat sementara bagi membolehkan wanita itu memberi susu botol kepada bayi yang masih merah itu.

Kelibat wanita warga Myanmar, Ambiya Mohamad, 37, yang juga salah seorang tertuduh dalam kes mengedar dadah menyebabkan semua pihak di dalam Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjadi sayu.

Naluri keibuan wartawan Bernama, Zalina Maizan Ngah mula tersentuh sebaik mendengar rengekan bayi yang tidak selesa dan kesejukan di dalam mahkamah menyebabkan dia menyelimuti bayi itu yang masih di pangkuan ibunya menggunakan sehelai selendang ‘pashmina’ miliknya.

Bapa bayi tersebut, Lim Siau Seng, 29, kelindan lori seorang warga tempatan turut didakwa bersama dalam kes itu hanya mampu tersenyum tanda ‘terima kasih’ atas belas ihsan wartawan berkenaan.

Turut didakwa dalam kes mengedar dadah, seorang lagi warga Myanmar, Arafah Abu, 30, dan pekerja kontrak warga tempatan, K. Vigneswaran, 23.

Ambiya, bekerja sebagai pembantu kedai makan sebelum ditangkap dan Arafah pula pemegang status pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR).

Dia sedang mengandung dua bulan ketika ditangkap pada April lalu dan melahirkan bayi itu dua minggu lalu semasa masih ditahan reman di Penjara Kajang.

Kesemua mereka didakwa mengedar 3.15 kilogram heroin pada pukul 5 petang, 3 April lalu di tempat letak kereta, Jalan Manis 6 di hadapan Maybank Taman Segar, Cheras di sini.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mereka diwakili peguam bela Nagarajan Peri manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazelan Jamaludin.

Kes itu yang disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab. Aziz hari ini ditangguhkan sehingga 15 Januari depan kerana laporan kimia belum siap.

Sejurus prosiding selesai, beberapa langkah sebelum memasuki lokap mahkamah, Ambiya berpaling semula kerana ingin memulangkan selendang wartawan Bernama yang masih menyelimuti anaknya.

Bagaimanapun, Zalina memberi isyarat supaya menyimpan selendang itu.

Sambil memegang erat pashmina dan anaknya, Ambiya memberikan senyuman sebelum masuk ke lokap.